Guru Hina Pasukan Keselamatan Kes Terpencil – Awang Adek – Bernama


Guru Hina Pasukan Keselamatan Kes Terpencil – Awang Adek

BACHOK: Tindakan seorang guru di negeri ini yang menghina anggota keselamatan dalam Operasi Daulat di Sabah merupakan kes terpencil dan tidak menggambarkan pendirian lebih 30,000 guru di Kelantan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, sebahagian besar guru di Kelantan menyokong penuh tindakan kerajaan memburu pengganas di Lahad Datu, Sabah.

“Mereka berdiri teguh di belakang kerajaan dalam usaha mendaulatkan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok di sini, Jumaat.

Guru lelaki berusia 37 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Tok Bali itu dikatakan menghina pasukan keselamatan di Lahad Datu melalui laman sosial Facebook miliknya. Dia dibebaskan sementara dengan jaminan polis pada Khamis.

Dia ditahan di sebuah rumah dekat Gong Serapat, Pasir Puteh pada 14 Mac lalu.

Ketika berucap pada majlis itu, Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata jika Barisan Nasional kembali memerintah Kelantan, banyak lagi projek besar akan dibina di Bachok.

Ini termasuk hospital daerah dengan peruntukan RM100 juta di Bakong dan Universiti Teknologi Mara di Sungai Dua atau Kampung Kemayan. –BERNAMA

Guru hina anggota keselamatan Op Daulat direman – Sinar Harian


Guru hina anggota keselamatan Op Daulat direman

ADILA SHARINNI WAHID
15 Mac 2013
Suspek
Suspek seorang guru (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

KOTA BHARU – Seorang guru yang didakwa menghina anggota keselamatan berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Habri Muhamad terhadap guru yang berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden, Mohd Kamal Zainal berkata, perintah reman dibuat bagi membolehkan pihak polis mengendalikan siasatan terhadap kes guru berkenaan.

“Reman tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan berkuat kuasa hari ini sehingga Isnin, 18 Mac,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Suspek merupakan seorang guru yang bertugas di Tok Bali, Pasir Puteh. Dia tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi.

Dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh setelah laporan diterima berhubung kenyataan dalam akaun Facebook miliknya yang menyatakan: “semua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Lahad Datu, Sabah, adalah sebagai ‘anjing-anjing’ yang mati katak, memandangkan tidak dapat mempertahankan negara dari serangan puak Sulu.”

Guru diberkas – Utusan


Guru diberkas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU 14 Mac – Polis telah menangkap seorang guru yang bertanggungjawab menghina pasukan keselamatan sebagai ‘anjing’ dan menganggap kematian mereka sebagai ‘mati katak’ dalam laman sosial Facebook miliknya, baru-baru ini.

Guru itu, Mohd. Lotfi Nor, 37, ditangkap ketika bersembunyi di kampungnya di Pasir Putih kira-kira pukul 7 malam ini.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar di sini hari ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat sebelum ini mengikut Seksyen 41 Akta Hasutan 1948.

“Siasatan segera akan dijalankan kerana tindakan lelaki itu yang dipercayai mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, Pasir Puteh di sini bukan sahaja melampau tetapi boleh meracuni fikiran orang ramai.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130315/je_01/Guru-diberkas#ixzz2NacGXhZR
© Utusan Melayu (M) Bhd