Guru, PIBG perlu isytihar perang – Metro


Guru, PIBG perlu isytihar perang

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MASALAH pelajar ponteng sering dihadapi setiap sekolah dan ibu bapa, terutama membabitkan pelajar sekolah menengah. Gejala ponteng sekolah ini biasanya dilakukan pelajar secara berseorangan serta dalam berkumpulan.

Budaya ini bukanlah perkara baru tapi kini tempat menjadi tumpuan pelajar ponteng adalah di kafe siber selain tempat biasa di pusat beli-belah, kawasan taman, restoran dan rumah kawan yang sering dijadikan kawasan lepak.
Pada tahun baru ini, ibu bapa dan guru mestilah berazam mengelakkan pelajar ponteng, terutama di kafe siber. Daripada lapan jenis salah laku disiplin yang disenaraikan Kementerian Pelajaran, isu ponteng berada di tangga kedua selepas salah laku kurang sopan, diikuti jenayah, tidak pentingkan masa, kekemasan diri, laku musnah dan berunsur kelucahan. Semuanya membabitkan individu yang bermasalah.

 

Kajian dari segi psikologi personaliti individu mendapati, mereka yang kerap ponteng sekolah disebabkan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bermasalah dengan guru juga pengaruh persekitaran dan rakan sebaya.
Banyak rakan sebaya yang mendorong pelajar untuk berseronok di kafe siber. Suasana persekitaran dan keruntuhan atau kepincangan institusi keluarga turut menyumbang kepada ponteng sekolah.
Pengkaji bersama tokoh psikologi MR Ryckman bersepakat mengatakan rakan sebaya mempengaruhi pelajar yang lemah personalitinya.

 

 

Kajian turut menunjukkan pelajar tingkatan dua dan tiga paling ramai terbabit dengan ponteng sekolah.
Kebanyakan pelajar terbabit dengan gejala ponteng menggunakan wang belanja sekolah di kafe siber selain untuk merokok. Mereka selain bermain permainan video juga melayari laman sosial dan mencuba permainan judi dalam talian.

 

Sikap pengusaha kafe siber yang membenarkan pelajar sekolah, terutama berpakaian seragam dan pada waktu sekolah amat dikesali dan seharusnya diambil tindakan.
Pengusaha kafe siber yang tidak bertanggungjawab ini ada juga memasang kamera litar tertutup dipercayai bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.
Terdapat juga papan tanda yang menyatakan pelajar sekolah dilarang masuk, tetapi amaran itu hanya untuk mengabui pihak berkuasa tempatan.
Gejala ponteng ini tidak seharusnya berlaku jika seseorang pelajar mempunyai azam untuk belajar, bercita-cita tinggi serta mendengar nasihat ibu bapa dan guru.
Difahamkan, pihak polis selalu membuat serbuan tetapi pelajar yang ‘kaki ponteng’ ini tidak serik serta tidak takut dicekup.
Tindakan tegas perlu dilaksanakan sama ada ke atas pelajar mahupun ke atas pengusaha kafe siber yang tidak bertanggungjawab bagi mengelak gejala ponteng sebelum lebih ramai pelajar terjebak.
Usaha bersepadu antara guru, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mestilah efektif untuk menarik minat pelajar berada di sekolah.
Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah adalah aset terpenting negara pada masa depan. Jika mereka banyak membuang masa akibat ponteng, diri sendiri dan negara akan kerugian.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02