Remaja perempuan antara ditahan curi besi – Sinar Harian


Remaja perempuan antara ditahan curi besi
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012

Harun menunjukkan barangan rampasan dalam kejadian mencuri besi di sebuah kilang di kawasan perindustrian Tanjung Agas, Sungai Mati 21 Jun lalu.
MUAR – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun antara 11 suspek yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan mencuri besi di sebuah kilang dalam kawasan perindustrian Tanjung Agas, Sungai Mati, dekat sini.

Lima ditahan pada 21 Jun lalu, jam 2.40 petang, manakala enam yang lain ditahan jam 4.30 petang, pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ketika ditahan kesemua suspek sedang asyik mencuri besi dalam kilang berkenaan.

Menurutnya, empat daripada suspek yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan kegiatan tersebut didalangi warga tempatan yang juga merupakan seorang kontraktor berusia 39 tahun.

“Kilang ini yang menyimpan banyak besi lama menjadi tumpuan suspek sejak beberapa bulan lalu. “Namun, kegiatan mereka terbongkar apabila pengawal keselamatan kilang ini melihat sekumpulan individu mencurigakan memasuki kawasan kilang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam. Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pengawal keselamatan itu, sekumpulan anggota polis dari IPD Ledang dan Balai Polis Sungai Mati ke kilang berkenaan dan menahan kesemua suspek.

Katanya, turut dirampas ialah sebuah fork lift, tujuh tong silinder gas besar, empat tong gas memasak, satu gulung kabel getah berserta nozel, sebuah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah motosikal dan 10 keping besi.

“Kesemua suspek yang berusia 17 hingga 39 tahun, kemudiannya dibawa ke IPD Ledang untuk siasatan lanjut. “Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan bebas dadah selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka,” katanya.

Mayat hancur dirempuh treler – Kosmo


Mayat hancur dirempuh treler

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 

SALAH seorang mayat remaja yang terpelanting selepas MPV jenis Honda Stream yang dinaiki bersama sembilan lagi rakan mereka dirempuh treler.

 

SITIAWAN – Tujuh remaja maut termasuk dua beradik menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan beberapa anggota badan hancur apabila kenderaan pelbagai guna (MPV), Honda Stream yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan tong gas di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyebabkan Badrul Isa Sulaiman, 19; adiknya, Mohamad Hadi, 17, serta sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15, maut. Turut maut ialah tiga rakan sekampung mereka, Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dan Muhamad Shafik Redzuan Yusuf, 16.

Kesemua mereka mati dengan beberapa anggota badan mereka hancur di tempat kejadian.

Pemandu MPV terbabit, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, yang mengalami kecederaan parah di kepala pula meninggal dunia pada pukul 8.35 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seri Manjung dekat sini.

‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’ – Metro


‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MANJUNG: “Arwah pernah menolak apabila mahu dibelikan seragam baru. Rupa-rupanya, dia (arwah) sudah tahu dia takkan sempat meneruskan persekolahan tahun ini,” kata Yusuf Said, 46, bapa kepada arwah, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, mangsa kemalangan maut.

Muhammad Shafik Redzuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Lekir, di sini, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream dinaiki bersama sembilan rakan lain merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas.
Yusuf yang juga seorang nelayan berkata, beberapa hari lalu, dia pernah menawarkan pakaian sekolah baru kepada arwah, namun anaknya menolak.

 

Dia berkata, arwah juga dilihat tidak begitu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru tahun ini selain banyak mendiamkan diri.
“Malah, arwah hanya mahu saya membelikannya pakaian sukan baru. Dia (arwah) turut memaklumkan baju seragam sekolahnya yang lama masih elok dan tidak perlu membazir wang untuk membeli yang baru.
“Saya akur dengan permintaan itu, namun tidak menyangka ia petanda arwah pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, semalam.

 

 

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dia keluar minum bersama rakan-rakan di Pekan Lekir.
Yusuf berkata, kira-kira jam 12.30 malam, dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

 

“Saya terkejut dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana arwah tidak meminta izinnya untuk keluar ke mana-mana malam semalam (kelmarin).
“Kebiasaannya, arwah akan memaklumkan kepada saya setiap kali mahu keluar rumah terutama pada waktu malam,” katanya.

Ajal lepas rai 2012 – Metro


Ajal lepas rai 2012

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MANJUNG: Mayat enam remaja belasan tahun bertaburan di sepanjang 30 meter jalan raya apabila kenderaan Honda Stream yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Batu 6, Jalan Sitiawan – Lekir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, semua mangsa baru pulang meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan.
Difahamkan ketika kejadian, seramai 10 orang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan sebelum bertembung sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG yang dalam perjalanan dari arah Teluk Intan.

 

Rempuhan kuat itu menyebabkan enam mangsa yang duduk di belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mati di lokasi kejadian.
Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala bagaimanapun meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi kereta model Honda Civic dipandu seorang lelaki.

 

 

Treler berkenaan turut melanggar kedai keropok lekor dan buah-buahan.
Menurutnya, semua penumpang MPV terbabit yang baru menyambut tahun baru dengan keluar minum di bandar Sitiawan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir di sini.