Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma – Kosmo


Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma


ROSMAH sambil diiringi Saie Kie (kanan) bersalaman dengan kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan agar kanak-kanak diberi makan dan menonton wayang secara percuma sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia setiap tahun.

Beliau berkata, restoran dan panggung wayang wajar menjalankan tanggungjawab sosial untuk meraikan kanak-kanak yang bakal menjadi pewaris negara.

“Dahulu, apabila kami menyambut Hari Kanak-kanak, kami bukan sahaja berkumpul di stadium, kami juga boleh masuk ke mana-mana restoran atau panggung wayang secara percuma. Saya pun berasa hairan macam mana amalan ini dihentikan sekarang.

“Jadi, saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kementerian berkenaan untuk berbincang dengan pengusaha restoran dan panggung wayang agar kanak-kanak boleh menonton wayang dan makan secara percuma pada Hari Kanak-Kanak,” katanya pada majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini semalam.

Tema sambutan tahun ini adalah Karisma Kanak-Kanak: Serlahkan Potensimu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.