Polis siasat cap jari suspek kes samun sekolah – Bernama


Polis siasat cap jari suspek kes samun sekolah
2012/06/15

SHAH ALAM: Polis sedang mengenal pasti beberapa kesan cap jari dipercayai milik tiga individu yang disyaki terbabit dalam kes samun di sebuah sekolah rendah di Batu 14, Puchong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah, berkata kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian itu sedang dianalisis oleh Jabatan Forensik dalam usaha menjejaki semua suspek.
“Kami percaya akan dapat memberkas mereka dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain cap jari, polis juga meneliti rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di sekolah itu.

Dalam kejadian awal pagi semalam, sekolah itu mengalami kerugian hampir RM250,000 setelah disamun tiga lelaki, membabitkan wang tunai RM30,000, sebuah Toyota Camry dan sebuah lori kecil.

Menurut polis, suspek berumur antara 20 dan 30 tahun itu menggunakan parang dan satu objek menyerupai pistol untuk menahan sembilan mangsa, termasuk petugas sekolah, yang dibebaskan sebelum suspek melarikan diri. – BERNAMA

Sekolah dirompak – Metro


Sekolah dirompak
Oleh Wan Faizal Ismayatim

2012/06/15

PUCHONG: Dua belas orang termasuk tujuh wanita menempuh detik cemas apabila diikat dan diarah meniarap atas rumput sebelum tubuh mereka ditutup dengan langsir oleh sekumpulan penyamun yang merompak sebuah sekolah di sini, semalam.

Dalam kejadian di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Han Ming di Batu 14 di sini, perompak bersenjatakan parang melarikan Toyota Camry milik pengusaha kantin, sebuah lori, wang tunai RM30,000 milik Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), barang kemas serta telefon bimbit.
Kumpulan perompak bertopeng itu dipercayai masuk melalui pagar utama kira-kira jam 2 pagi sebelum mengacukan parang kepada dua pengawal keselamatan dan menjadikan mereka serta enam wanita pekerja kantin, lima daripadanya warga asing sebagai tawanan.
Difahamkan, semua mangsa dikumpulkan di satu kawasan sebelum diikat dengan dawai dan diarahkan meniarap atas rumput serta masing-masing kemudian ditutup dengan langsir yang diambil dari bilik darjah.

Dua lelaki menaiki sebuah lori menghantar pesanan akhbar turut ditawan kumpulan perompak jam 4.30 pagi, manakala seorang kakitangan yang datang setengah jam kemudian juga ‘ditahan’ sebelum seorang wanita pemilik kantin diperlakukan seperti mangsa lain sebaik tiba jam 5.30 pagi.

Kakitangan sekolah, S Nagaraja, 54, berkata dia tiba di sekolah jam 5 pagi dan membuka pagar seperti biasa sebelum seorang suspek dari belakang mencengkam tengkuknya sambil mengacah seolah-olah mahu mengeluarkan pistol.

“Mereka kemudian mengikat kedua-dua tangan saya dengan dawai sebelum mengarahkan saya meniarap atas rumput bersama mangsa lain. Saya hanya mampu mendiamkan diri bagi mengelak dicederakan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.
Beliau berkata, selain melarikan Toyota Camry milik pengusaha kantin, lori membawa akhbar, telefon bimbit dan pelbagai barang kemas mangsa, penjenayah turut menceroboh masuk bilik PIBG dan melarikan wang tunai dianggarkan dalam peti besi dianggarkan hampir RM30,000.

Difahamkan, kumpulan perompak masuk ke bilik PIBG melalui siling tandas bersebelahan bilik guru sebelum memecahkan peti besi dan melarikan wang tunai terbabit.

Pecah peti besi PIBG – Metro


Pecah peti besi PIBG
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Idayu@hmetro.com.my

LICIK…empat penyamun masuk melalui siling sekolah Cina di Puchong, semalam.
SUBANG JAYA: Empat lelaki bersenjatakan parang dan pistol mainan melarikan wang tunai RM30,000 dari sebuah sekolah Cina di Batu 14, Puchong, dekat sini, selepas memecahkan peti besi dalam bilik guru sekolah berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian antara jam 2 pagi dan 6 pagi itu, kumpulan penjenayah bertopeng terlebih dulu mengikat tangan 12 individu iaitu tiga pengawal keselamatan, seorang tauke kantin bersama enam pekerjanya serta dua penghantar surat khabar menggunakan kabel elektrik dan mengarahkan mereka baring atas rumput sebelum menggeledah bilik guru berkenaan.

Selain melarikan wang tunai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penjenayah itu turut melarikan Toyota Camry milik tauke kantin serta lori akhbar.

Difahamkan, kumpulan penyamun terbabit dipercayai menceroboh masuk ke dalam bilik guru itu melalui siling tandas dipecahkan sebelum membuka peti besi mengandungi wang tunai.