Tranformasi pendidikan Orang Asli gariskan tujuh inisiatif – Bernama


Tranformasi pendidikan Orang Asli gariskan tujuh inisiatif

21 Jun 2012
KUALA LIPIS – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan merangka satu paradigma perubahan pendidikan yang menyeluruh di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli yang menggariskan tujuh inisiatif untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang membanggakan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif pertama adalah pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid Orang Asli bermula di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian.

“Dalam konteks ini, kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat akan dipertingkat kualitinya dengan memastikan segala isu dan permasalahan anak-anak Orang Asli dapat diselesaikan segera,” katanya ketika berucap melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua adalah memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif ketiga, katanya, mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah sebanyak 6 peratus setiap tahun mulai tahun depan. Berdasarkan statistik terkini, kadar keciciran ini ialah 30 peratus.

“Keadaan ini amat membimbangkan dan merugikan negara jika tidak diambil tindakan lebih drastik.

“Justeru, saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah menengah akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali dengan memastikan setiap murid Orang Asli berjaya mendapat pencapaian akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata menerusi inisiatif keempat pula, Kementerian Pelajaran memutuskan pengambilan pelajar bagi Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis ditingkatkan mengikut keperluan semasa.

“Usaha ini bertujuan supaya lebih ramai guru dalam kalangan Orang Asli dapat berkhidmat kepada masyarakat mereka sendiri di samping mengimbangi kadar bilangan guru mengikut kaum,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka mewujudkan jawatan Pembantu Pengurusan Murid dari kalangan Orang Asli bagi membantu guru mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid.

“Inisiatif kelima adalah penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menambah lagi empat buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9. Model K9 ini adalah gabungan pendidikan rendah dan menengah rendah sehingga Tingkatan 3 yang dilengkapi dengan kemudahan asrama yang bersesuaian,” katanya.

Muhyiddin berkata inisiatif keenam adalah memperkasa jalinan kerjasama melalui pewujudan hubungan yang lebih strategik dengan rakan sinergi, rakan di lapangan serta rakan antarabangsa bagi membolehkan hasrat untuk merealisasikan transformasi itu tercapai.

Beliau berkata inisiatif terakhir adalah mewujudkan satu Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli.

Menurutnya, sistem itu mengandungi aspek auditan pencapaian prestasi sekolah-sekolah dan murid Orang Asli yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan dan pembetulan dari semasa ke semasa.- Bernama