Tuah biji nangka – Metro


Tuah biji nangka

Oleh SHARIFFUDIN MOHAMED dari Pittsburgh, Amerika Syarikat
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PITTSBURGH: Siapa sangka projek menggunakan biji nangka boleh membawa kejayaan kepada seorang anak muda tingkatan lima dari Kuching, Sarawak, untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Anak muda berusia 17 tahun itu mendapat tempat ketiga dalam Kategori Sains Alam Sekitar di Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel (ISEF 2012) di Dewan Konvensyen David Lawrence di sini, yang melabuhkan tirainya, kelmarin.
Benjamin Ngie Xiong Wong yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching, mengemukakan ujian menggunakan serbuk biji nangka untuk membersihkan kekotoran air sungai.

 

Projeknya menarik perhatian juri kerana bukan saja sesuatu yang menakjubkan, malah dapat membantu penduduk luar bandar memperoleh air bersih dengan menggunakan bahan pertanian seperti biji nangka.
Benjamin menjalankan ujikaji mengenai projek terbabit lebih setahun lalu dengan bantuan guru sekolahnya.
Beliau menyertai ISEF 2012 sejak Sabtu lalu bersama tujuh lagi pelajar tingkatan lima dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, MRSM Taiping, MRSM Muadzam Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Maokil, Labis, Johor.

 

 

Seorang guru dari MRSM Taiping, Wan Rohani Harun pula menerima Anugerah Guru Agilent berikutan cadangannya untuk menggunakan sumbangan kewangan dalam bidang sains dan memajukan penyelidikan pelajar dianggap terbaik.
Beliau tidak datang ke sini, cuma diwakili pelajarnya, Wan Muhammad Syafiq Wan Mohd Zainuddin yang mengambil anugerah berkenaan.

 

Sementara itu, mengulas kemenangannya, Benjamin yang menerima hadiah wang tunai RM3,000 sumbangan Intel berkata, dia tidak sangka mampu memperoleh tempat ketiga selepas melihat projek pelajar lain yang hebat dari seluruh dunia.
“Saya sungguh tidak menduga. Sebaik tiba di sini, saya melihat projek yang dilakukan pelajar lain dalam kategori sains alam sekitar tidak kurang hebatnya.
“Terasa projek saya seperti tidak diminati juri,” katanya yang mahu menjalankan ujian lanjut berhubung penggunaan biji nangka itu untuk kebaikan masyarakat luar bandar di Sarawak Beliau bagaimanapun berbangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia bersama ahli rombongan lain. Apapun penyertaan Malaysia dalam ISEF perlu lebih mendapat perhatian semua pihak, terutama dalam soal membawa projek yang boleh memenangi hadiah utama.
Rombongan seramai tiga guru dan lapan pelajar itu diketuai Pensyarah Kejuruteraan Universiti Malaya, Zamri Zainon.
ISEF dianjurkan Persatuan Untuk Sains dan Umum, Amerika Syarikat ditaja Intel setiap tahun.
Ia dianggap bertaraf Sukan Olimpik dalam bidang sains dan kejuruteraan membabitkan penyertaan 15,000 pelajar sekolah menengah dari lebih 60 negara.