PUTRAJAYA: Seorang ayah menggelarkan dirinya sebagai Doraemon, manakala dua anaknya sebagai Giant dan Nobita untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada mereka yang menyertai Majlis Khatan Perdana anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, semalam.
Zaidi Harun, 39. menggelarkan dirinya Doraemon memberi semangat kepada anak sulung, Muhammad Adam Harith, 10 dan kedua, Muhammad Alif Hazran, 9 walaupun proses berkhatan sudah selesai bagi menenangkan kedua-dua anak lelakinya.
Tindakan itu dibuat selepas Muhammad Adam menangis ketakutan ketika dibius doktor sebelum dikhatankan, berbanding Alif yang lebih tenang dan hanya mengerang sepanjang proses itu.
“Ayah Doraemon, abang (Muhammad Adam) Giant, jadi kena kuat, tak boleh menangis. Alif pula Nobita, kena kuat juga, tak boleh mudah menyerah kalah ketika berdepan dengan sebarang kejadian.
“Kalau nak jadi pemimpin pun tak boleh takut kena berani,” katanya ketika menenangkan anaknya.
Sementara, Alif Hazran ketika ditemui berkata, dia hanya gementar dan takut ketika dibius doktor, tetapi perasaan itu hilang ketika proses berkhatan walaupun sakit sikit.
“Saya tak menangis, abang yang menangis. Takut juga bila nak khatan, tapi bila selesai dah rasa lega. “Lepas ni saya dan abang kena berpantang dulu, tak boleh lasak sangat,” katanya ketika ditemui.