Tujuh Lelaki Bebas Daripada Tuduhan Rogol Gadis Bawah Umur – Bernama


Tujuh Lelaki Bebas Daripada Tuduhan Rogol Gadis Bawah Umur

JOHOR BAHARU: Tujuh lelaki dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa, daripada tuduhan merogol seorang gadis berumur 16 tahun di sebuah hotel, di sini tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar melepas dan membebaskan Mohammad Rafiuddin Zainuddin, 22, Khairussani Ahmad, 26, Norazam Hamdan, 29, Mohammad Alif Ali Hashim, 23, Muhammad Saifuddin Abdul Rahman, 26, Mohamed Razif Kasim, 30 dan Mohamad Shafiq Abdul Jalil , 21, setelah pihak pembelaaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munsabah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bilik 204, Hotel Fully, nombor 41 & 47, Jalan Teratai 2, Taman Johor Jaya di sini, kira-kira pukul 12.30 malam, 22 Mei 2011.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 376 (2) (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Zamri dalam penghakimannya berkata terdapat pelbagai percanggahan fakta di dalam keterangan yang diberi oleh mangsa selaku saksi utama sehingga menimbulkan keraguan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir dan Mohd Shujaa Halim. –BERNAMA