Tujuh sekolah di Kelantan ditutup esok kerana banjir – Bernama


Tujuh sekolah di Kelantan ditutup esok kerana banjir

2012/01/03

KOTA BHARU: Tujuh sekolah di Kelantan, iaitu tiga di Tumpat dan masing-masing dua di Rantau Panjang dan Gua Musang terpaksa ditutup esok berikutan bencana banjir.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang, berkata penutupan itu yang membabitkan lebih 2,000 pelajar susulan sekolah dilanda banjir, khususnya di Rantau Panjang yang dibanjiri limpahan air Sungai Golok.

Tiga sekolah rendah di Tumpat itu terpaksa diberhentikan sesi persekolahan sehingga 12.30 tengah hari ini kerana air mula menggenangi bangunan sekolah berkenaan, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong, SK Telok Jering dan SK Simpangan.

Hussin berkata guru besar sekolah berkenaan telah mengumpul semua murid dan memberi taklimat mengenai keselamatan dan ibu bapa telah dihubungi untuk mengambil anak-anak mereka.

Dua sekolah di Gua Musang ialah SK Bihai dan SK Balar manakala di Rantau Panjang ialah Sekolah Agama Al-Falah dan Sekolah Agama Al-Dinniah.

“Pihak sekolah telah diminta memantau keselamatan murid bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata semua sekolah terlibat akan memulakan persekolahan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – BERNAMA