Tukang kebun terkejut temui mayat di sekolah


Tukang kebun terkejut temui mayat di sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA TINGGI – Seorang tukang kebun Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dr Syed Nasir di Felda Pasak di sini  terkejut apabila kehadirannya untuk memotong rumput di belakang bangunan sekolah itu pagi tadi membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.

Lelaki terbabit dipercayai berada di sekolah itu untuk mencuri wayar tembaga.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, siasatan awal mendapati usaha lelaki terbabit gagal apabila terjatuh dari bangunan sekolah setinggi tiga tingkat sebelum mati di tempat kejadian.

“Turut dijumpai di tempat kejadian pemotong wayar, tiga gulung wayar tembaga serta motosikal dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk urusan bedah siasat.