Guru cedera dilanggar peragut – Utusan


Guru cedera dilanggar peragut

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

ZURA Ashikin dirawat di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

KOTA BHARU 22 Sept. – Ketika pihak polis mempergiatkan usaha mencegah jenayah ragut di bandar Kota Bharu ekoran kejadian ragut dan tetak yang berlaku hujung bulan lalu, aktiviti jenayah itu kini beralih pula di pinggir bandar ini.

Dalam kejadian di Pasir Tumboh di sini pagi semalam, seorang wanita bukan sahaja diragut beg tangannya, malah penjenayah berkenaan turut melanggar mangsa dengan kereta ketika melarikan diri.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8 pagi itu menyebabkan guru pra sekolah, Zura Ashikin Mustafa, 48, bukan sahaja kerugian hampir RM2,000 malah tindakan kejam penjenayah itu menyebabkan mangsa patah tulang pinggul dan mengalami beberapa kecederaan lain.

Zura Ashikin yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Hashim di sini berkata, dia baru sahaja keluar dari sebuah bank di situ dan singgah ke kedai buku berhampiran untuk membeli beberapa barang bantuan persekolahan.

“Saya membeli polistirena dan baru sahaja hendak meletakkan barang itu ke dalam kereta Proton Waja saya dengan beg tangan disangkut di bahu kiri.

“Tiba-tiba beg tangan saya direntap dari belakang oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar lalu saya terjatuh dan terseret sejauh kira-kira tiga meter.

“Belum pun sempat bangun, tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki suspek datang dan salah satu tayarnya melanggar saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini hari ini.

Menurutnya, beg tangan tersebut berisi sejumlah wang serta sebuah telefon bimbit.

“Beberapa saksi memberitahu bahawa kereta yang digunakan suspek turut dinaiki beberapa orang lelaki,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi berkata, selepas melanggar wanita itu, kereta suspek terus menuju ke Jalan Peringat.

“Mangsa patah tulang pinggul kiri serta luka di kedua-dua ibu jari kaki, lutut kanan dan kaki kiri. Mangsa sedang dirawat di HUSM dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis memohon orang ramai yang melihat kejadian ini agar tampil memberi maklumat,” katanya.

Kejadian ragut itu merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan apabila pada 30 Ogos lalu seorang wanita cedera parah di tangan kiri akibat ditetak ketika cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut.

Kedua-dua suspek bagaimanapun ditangkap dalam tempoh tidak sampai dua minggu dan susulan daripada kejadian itu, lebih 100 anggota polis wanita ditugaskan di 20 kawasan tumpuan ramai di bandar ini untuk menyedarkan orang ramai terutama golongan wanita mengenai ciri-ciri keselamatan yang perlu diambil.