Bantuan sekolah ringan beban ibu – Sinar Harian


Bantuan sekolah ringan beban ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2013
Bantuan sekolah ringan beban ibu
Noor Zahidi (kiri) menyampaikan sumbangan RM200 kepada anak Che Jah, Mohd Nazim Said, 16.

TUMPAT – “Nasib anak yatim terus terbela apabila dua anak saya yang bersekolah menerima bantuan anak yatim RM200 setiap orang,” kata Che Jah Safie, ibu tunggal tujuh anak.

Che Jah berkata, sebelum ini anaknya layak menerima bantuan awal persekolahan RM100 setiap orang, dan satu lagi bantuan diterima di bawah bantuan anak yatim yang bersekolah.

“Ia meringankan beban saya yang tidak bekerja untuk menyara dua anak yang masih bersekolah di tingkatan empat dan darjah lima,” katanya.

Menurutnya, sejak kematian suami empat tahun lalu, dia ditanggung anak-anak yang sudah bekerja.

“Mujurlah bantuan itu berterusan apabila saya juga layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bantuan Baucar Karisma@Hati Rakyat bernilai RM200 baru-baru ini,” katanya.

Che Jah berkata, memandangkan yuran persekolahan sudah dibayar dan pakaian sekolah anak telah dibeli, wang diterima anaknya akan diguna untuk belanja harian sekolah.

“Saya akan gunakan wang itu untuk duit saku anak-anak dan tambang persekolahannya, sekurang-kurangnya bulan ini saya tidak perlu mengeluarkan belanja untuk mereka,” katanya.

Bantuan disampaikan penyandang Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan Mukim Bendang Pak Yong, Ismail Awang Senik.

Noor Zahidi berkata, seramai 219 pelajar anak yatim bersekolah di Dun Pengkalan Kubor layak menerima bantuan tersebut.

Pelajar mati lemas di Sri Tujuh – Kosmo


Pelajar mati lemas di Sri Tujuh

 

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my

 

ANGGOTA bomba dan penyelamat mencari Hazril yang hilang selepas ditarik ombak besar di pantai Sri Tujuh, Tumpat semalam.

 

TUMPAT – Kegembiraan sepuluh sahabat berkelah di pantai Sri Tujuh di sini kelmarin berakhir dengan kesedihan apabila seorang daripada mereka yang hilang ditemui mati lemas terdampar di pantai semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, mangsa, Mohamad Hazril Ab. Rahman, 17, hilang manakala dua rakannya, Mohd. Haizat Farhan Che Aziz, 17, dan Syed Mohd. Sharul Syed Omar, 17, berjaya menyelamatkan diri.

Hazril pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut dihanyutkan ombak sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa mandi sebelum dia hilang. Jarak tempat Hazril mandi dan pantai pula kira-kira 50 meter.

Cerita Haizat, sebelum kejadian, Hazril merupakan orang pertama turun ke laut manakala dia dan rakan-rakan lain masih makan makanan yang dibawa untuk berkelah di pantai Sri Tujuh.

“Beberapa minit selepas itu, saya dan lima lagi rakan ikut terjun ke laut dan kami seronok mandi laut beramai-ramai.

“Tiba-tiba ombak besar datang dan tarik kami bertiga ke kawasan dalam sehingga kaki sudah tidak berpijak pada dasar laut lagi,” kata remaja itu ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2LFH5iDDT
Hakcipta terpelihara

Pendidikan Terlalu Berharga Untuk Dipolitikkan – PM – mStar


Pendidikan Terlalu Berharga Untuk Dipolitikkan – PM

Oleh MAZWIN NIK ANIS dan SYED AZHAR

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan tidak akan meminggirkan negeri-negeri diterajui Pembangkang dalam hal pendidikan kerana ia terlalu berharga untuk dijadikan sebagai agenda politik.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Kelantan berada di bawah pemerintahan pembangkang PAS selama lebih 20 tahun, para pelajar di negeri itu menikmati faedah yang sama dengan mereka di tempat lain.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan pandangan dan kita boleh berhujah mengenai sesuatu isu.

“Tetapi kita menyedari bahawa pendidikan adalah jauh lebih berharga untuk ia dipolitikkan.”

“Kehadiran saya di sini hari ini adalah untuk mengulangi pendirian kerajaan,” katanya semasa lawatan sehari ke Kelantan pada Ahad.

Najib menegaskan bahawa kerana perhatian yang serupa diberikan kepada negeri itu, Kelantan muncul sebagai kedua terbaik dalam peperiksaan UPSR yang lalu.

Najib berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan sekolah RM100 kepada 3,274 pelajar dari tiga sekolah di sini.

Beliau turut melancarkan program Janji Ditepati dan membuat lawatan di Pasar Siti Khadijah.

Remaja lelaki nyaris diculik – Sinar Harian


Remaja lelaki nyaris diculik
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Julai 2012
TUMPAT – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila nyaris diculik dua lelaki apabila dia ditarik masuk ke dalam sebuah van ketika melintas jalan untuk ke sekolahnya di Pasir Pekan, kelmarin.

Bagaimanapun pelajar terbabit berjaya melepaskan diri selepas tangan kirinya terlepas daripada pegangan penculik itu.

Kejadian berlaku apabila pelajar terbabit didatangi sebuah van yang bergerak perlahan menghala ke Jambatan Sultan Yahya di sini dalam keadaan mencurigakan lalu menghampirinya.

Ibu mangsa seorang guru sains di sebuah sekolah rendah di sini yang enggan dikenali memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.50 petang apabila anaknya berjalan kaki bersendirian untuk melintas jalan di hadapan gerai buger berdekatan dengan stesesen minyak Petronas Pasir Pekan.

“Dia keluar dari rumah berjalan kaki ke sekolahnya di seberang jalan untuk latihan sukan.

“Nasib baik anak saya berjaya melepaskan diri walaupun berlaku tarik menarik antara anak saya dengan salah seorang penculik itu,” katanya.

Menurutnya, selepas tangannya terlepas daripada penculik itu, anaknya terus melarikan diri ke seberang jalan dan terus belari masuk ke kawasan sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima kejadian tersebut.

“Saya nasihatkan kepada pelajar supaya berhati-hati sekiranya didatangi orang yang tidak dikenali, ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing- masing untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti ini,” katanya.