Pelajar cemerlang di Kumon
nasri.jamaludin@kosmo.com.my
MENDAPAT keputusan yang cemerlang terutamanya dalam subjek mencabar seperti Matematik pasti memberikan kegembiraan kepada para pelajar.
Begitulah yang dirasai dua beradik, Nur Almas Aliah Misan, 15, dan kakaknya, Nur Marha Aisyah, 16, yang sering mencatat keputusan cemerlang dalam subjek berkenaan.
Rahsia mereka adalah mengikuti kaedah pengajaran subjek berkenaan di Kumon Asia & Oceania Pte. Ltd. (Kumon) cawangan Taman Tun Dr. Ismail 2, Kuala Lumpur.
Almas yang mengikuti kelas tersebut sejak berusia enam tahun memberitahu, di Kumon, para pelajar diajar lebih ke hadapan berbanding subjek yang diajar di sekolah biasa.
“Kami diberikan latihan matematik setiap hari dan sekiranya mempunyai masalah atau pertanyaan boleh diajukan ketika menghadiri kelas yang diadakan dua kali seminggu.
“Hasilnya, saya mendapat keputusan 90 markah ke atas dalam setiap peperiksaan di sekolah biasa,” katanya ketika ditemui pada Kumon Advanced Student Forum 2012 di Hotel One World Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 216 pelajar berjaya menamatkan program pembelajaran Kumon manakala 416 pelajar lagi menerima status Advanced Student.
Sijil-sijil kecemerlangan itu disampaikan oleh Pengurus Wilayah Kumon, Miho Izumi, dan turut dihadiri Pengurus Besar Kumon di Malaysia, Masahiro Takatsu.
Di negara ini, sebanyak 40,000 pelajar mengikuti kaedah Kumon dengan separuh daripadanya telah mendapat pengiktirafan Advanced Student.
Kaedah Kumon memberikan cabaran kepada para pelajar untuk belajar subjek yang lebih tinggi daripada di sekolah. Berbeza dengan sistem pendidikan di sekolah, pendidikan di Kumon memberi fokus kepada kebolehan seseorang pelajar. Dengan itu potensi setiap anak dapat berkembang secara maksimum.
Ia bukan sahaja membantu para pelajar melepasi tahap pembelajaran biasa, malah menjadikan mereka lebih berdisiplin dan berdikari.
Keberkesanan kaedah Kumon terbukti apabila pelajar sederhana berjaya menjadi pelajar cemerlang. Pada mulanya, pada pelajar itu diberikan latihan mudah untuk mendapat markah tertinggi dan apabila memperoleh keyakinan, latihan yang lebih susah diberikan peringkat demi peringkat.
Menurut Masahiro, apabila para pelajar atau kanak-kanak berjaya menguasai subjek yang susah dan melepasi paras gred di sekolah, keyakinan diri serta semangat mereka akan meningkat.
“Di Kumon, para pelajar yang sudah mendahului sekurang-kurangnya enam bulan berbanding subjek di sekolah biasa akan diberikan gelaran Advanced Student,” katanya.