Tuntutan beri kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu – Utusan


Tuntutan beri kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu

SHAH ALAM 2 Nov. – Tindakan pihak tertentu mendesak kerajaan supaya melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah bakal memberikan kesan yang ‘amat malang’ kepada perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

Merujuk desakan oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) sebelum ini, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya timbul dalam keadaan kerajaan sedang berusaha memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan itu.

Beliau berkata, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bukan hanya mengambil kira prestasi murid kesan daripada pelaksanaan dasar tersebut, malah ia melibatkan aspirasi negara untuk membentuk jati diri, nasionalisme serta perpaduan menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Adalah satu yang amat malang jika ada pihak tertentu seperti PAGE yang dipimpin oleh orang Melayu sendiri menentang keputusan kerajaan (memansuhkan PPSMI) dan mereka juga memberi tekanan serta mengugut untuk tidak menyokong kerajaan jika tuntutan tidak dipenuhi.

“Kerajaan dilihat telah melakukan yang terbaik dengan memansuhkan PPSMI demi satu agenda yang lebih besar iaitu pengukuhan perpaduan, nasionalisme, jati diri dan keperibadian rakyat negara ini dan dalam hal ini bahasa Melayu adalah instrumen yang paling sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perbincangan panel Program Rapat 1Malaysia bersama warga pendidik daerah Klang di sini, hari ini.

Turut menyertai sesi perbincangan panel itu ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajaran Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian.

Kok Seong tidak menolak kemungkinan pihak yang mendesak pelaksanaan PPSMI sebagai golongan yang tidak yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

“Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah hebat dan pernah menjadi lingua-franca digunakan dalam pentadbiran, ekonomi, perundangan dan diplomatik di rantau nusantara.

“Dalam konteks moden, bahasa Melayu telah dibangun dan dimajukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) sejak 1956 lagi dan ia mampu berkembang sebagai bahasa ilmu. Malah, orang asing pun ketika ini dilihat yakin dan giat mempelajari bahasa kebangsaan ini di pusat pengajian di negara luar.

“Ironinya di sini, golongan penutur bahasa Melayu dilihat tidak yakin terhadap kemampuan bahasa itu, ini amat malang untuk negara kita,” katanya.