3 beradik yatim tabah – Metro


3 beradik yatim tabah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: “Kami tiga beradik perlu tabah menjalani kehidupan di rumah anak yatim ini kerana mahu mendapat pendidikan dunia dan akhirat dengan sempurna selepas kehilangan ibu bapa,” kata Nadzirah Mohd Yusof, 13, yang kini tinggal bersama dua adiknya, Mohd Lokman, 12, dan Mohd Mokhtar, 11, di rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah, Kampung Sadik, Kupang, dekat sini.

Menurutnya, selepas ibu bapanya meninggal, mereka bertiga ditempatkan di rumah kebajikan itu bersama 20 anak yatim lain dan mendapat penjagaan baik termasuk dalam soal pendidikan agama dan pelajaran di sekolah.
Katanya, bapanya, Mohd Yusof Md Isa meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu kerana sakit jantung manakala ibu mereka, Shida Amin Gol, meninggal dunia kerana kanser, tahun lalu.

 

“Kami bertiga memohon tinggal di rumah kebajikan ini kerana kehidupan lebih terjamin, sekali gus dapat meneruskan persekolahan seperti biasa berikutan kakak, Izzati, 19, sedang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis dan sering menjenguk mereka apabila pulang bercuti.
“Sokongan semua pihak termasuk penjaga, Khazimah Yaakob, amat baik kerana beliau amat prihatin tanpa pernah mengenal penat lelah. Dialah ibu yang menjadi tempat kami mencurah kasih sayang selain gelak tawa rakan sebaya,” katanya ketika lawatan Persatuan Kelab MyVi Xtream Malaysia dan Kelisa K7C yang menyalurkan sumbangan barangan makanan serta melakukan kerja amal, kelmarin.
Ketua Pembangunannya, Shahrizal Asaari berkata, walaupun sibuk, pihaknya sentiasa cuba mengadakan program berkenaan, sekali gus membantu meringankan bebanan keluarga susah.