Tarikan kembar tiga – Metro


Tarikan kembar tiga

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: Kehadiran tiga beradik kembar perempuan yang mendaftar sebagai murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera, di sini, semalam menimbulkan keceriaan kepada warga sekolah itu sekali gus mencatat sejarah.

Tiga beradik iaitu Norain Nabiha, Norain Najihah dan Norain Nasuha Nasir, 7, dari Kampung Telok Pendiat, Pulau, dekat sini, ternyata mencuit perasaan rakan lain dan guru sekolah dengan aksi dan gelagat tersendiri mereka.
Ibu mereka, Normah Ahmad, 40, berkata ketiga-tiga anak kembarnya bangun seawal jam 6 pagi dengan berpakaian sekolah baru kerana begitu teruja memasuki alam persekolahan.

 

Menurutnya, mereka juga bersiap sedia dengan pakaian dan beg sekolah serta buku yang disusun sejak malam kelmarin kerana kesungguhan ke sekolah.
“Alhamdulillah, anak-anak saya bangun awal sebelum bersiap untuk ke sekolah. Malah, mereka sungguh bersemangat menjalani sesi persekolahan sekali gus dapat bertemu rakan baru,” katanya yang turut ditemani suaminya, Nasir Hashim, 44.
Kembar tiga berkenaan ditempatkan di Kelas Tahun Satu Kreatif turut disambut Guru Besar, Idris Said, yang ternyata gembira dengan kedatangan mereka.

 

 

Menurut Normah, ketiga-tiga kembar berkenaan kelihatan rajin dan mampu membaca kerana memasuki pra-sekolah sejak tahun lalu.
Katanya, mereka mahu mengikuti jejak abang sulung, Mohd Nasrul, 20, yang kini berada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.

 

Manakala abang kedua, Mohd Nazrin,16, belajar di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan seorang lagi kakak, Norain Nabilah, 14, belajar di Sekolah Menengah Baling (SMB), dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02