Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A – Bernama


Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A

29 Disember 2012

BACHOK – Kerajaan pusat memperuntukkan RM492,200 menerusi wang ihsan bagi program anugerah kecemerlangan pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di semua sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata seramai 4,922 pelajar masing-masing menerima RM100 menerusi majlis penyampaian yang diadakan di setiap kawasan Parlimen sepanjang bulan ini.

“Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pengagihan kecemerlangan UPSR di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.

Seramai 665 pelajar cemerlang Tahun Enam dari 34 sekolah rendah di Bachok menerima sumbangan wang ihsan yang diagihkan secara tunai berjumlah RM66,500.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pemberian itu sebagai menghargai kesungguhan pelajar mengharumkan nama Kelantan yang berupaya berada di tangga kedua cemerlang selepas Putrajaya dalam UPSR tahun ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang akan turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan menengah rendah, pelajar tingkatan enam dan bakal penuntut universiti.

Awang Adek menegaskan bahawa perbelanjaan wang ihsan digunakan sebaik mungkin dengan pengagihannya dilaksanakan secara telus dan adil serta lengkap dengan laporan auditnya.

“Ini adalah wang rakyat dan saya bertanggungjawab memegang amanah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir wang berkenaan bagi keperluan rakyat berasaskan prosedur yang diputuskan di peringkat jawatankuasa pengagihan,” katanya.  – Bernama

Tiada lagi air mata sedih ibu, anak cacat penglihatan dapat 5A – Bernama


Tiada lagi air mata sedih ibu, anak cacat penglihatan dapat 5A

19 November 2012

JOHOR BAHARU – Lapan tahun lalu, Khairulbariyah Abdul Aziz, 47, sering mengalirkan air mata sedih bila mengenangkan nasib anaknya Muhammad Khairulimran Adam yang cacat penglihatan.

Hari ini, air mata itu mengalir lagi, bukan sedih tetapi air mata kegembiraan apabila anaknya itu mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Kami sedar Imran mengalami masalah penglihatan ketika berusia lima tahun apabila dia kerap langgar barang di rumah. Ini kemudian disahkan oleh doktor,” kata suri rumah itu.

Katanya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anak yang serba kekurangan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Saya gembira apa yang saya terapkan kepadanya dilakukan dengan baik, kerana kerap berpesan kecacatan yang ada bukan alasan untuk tidak berjaya, dan hari ini saya berbangga dengannya dan saya harap beliau terus cemerlang kerana perjalanannya masih jauh,” kata Khairulbariyah.

Muhammad Khairulimran dari Sekolah Kebangsaan Kempas, turut dinobatkan pelajar cemerlang kategori calon berkeperluan khas.

Beliau yang bercita-cita menjadi chef mengakui penglihatan yang kabur di sebelah kanan dan buta di sebelah kiri tidak menjadi penghalang untuk dia mencintai ilmu.

“Memang sukar hendak membaca. Saya menggunakan kanta dan bukan braile, saya perlu baca berulang kali dan hanya boleh melihat sebelah mata,” katanya.

Ong Mee Nyock, 49, pula amat berpuas hati apabila penat lelahnya selama ini berbalas dengan kejayaan anak bongsunya Wong Yao Zhong, 12, yang mendapat keputusan 5B, 2C.

“Sejak dari hari pertama dia bersekolah saya akan menghantar dan datang ketika rehat untuk urus Yao Zhong kerana dia tidak mampu urus dirinya sendiri khususnya untuk ke tandas.

Yao Zhong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang Dua mengalami sakit tulang belakang sejak lahir dan memerlukan sokongan.

“Dia seorang yang berdikari dan saya harap dia mampu urus dirinya dan menjadi orang yang berjaya,” kata ibunya.

Sementara itu, Haffizal Hamdan, 12, dari Sekolah Pengkalan Tereh, Kluang menjadi pelajar Orang Asli cemerlang dengan keputusan 4A, 1B.

Beliau yang bercita-cita menjadi guru matematik berkata akan belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan anak Orang Asli juga mampu berjaya. – Bernama

Murid autisme, anak tukang masak peroleh 5A – Bernama


Murid autisme, anak tukang masak peroleh 5A

19 November 2012

PEKAN – Siapa sangka seorang murid yang mengidap sindrom autisme mampu melakar kejayaan dengan memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Murid istimewa itu, Muhammad Fikri Sabri, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram, dekat sini menjadikan kata-kata semangat ibu bapnya sebagai azimat untuknya mengejar kejayaan.

“Mak saya kata, kalau pergi sekolah, ada telinga dengar, ada mata pandang ada mulut diam. Ini rahsia besar tau. Tumpu perhatian masa guru tengah mengajar. Itu perkara biasa bagi murid. Lepas tu sentiasa ulang kaji,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Bapa Muhammad Fikri, Sabri Abdullah, 50, pula berkata kejayaan anak bongsu daripada empat beradik itu adalah hadiah terbesar dalam hidup mereka sekeluarga.

Katanya kejayaan yang diraih anaknya hari ini membuktikan kanak-kanak autisme juga boleh berjaya walaupun dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

“Memang dari dulu saya dah cakap kat dia, kalau minat belajar saya nak dia naikkan nama sekolah ini. Alhamdulillah semua cita-cita dan doa saya Allah kabulkan,” katanya.

Katanya selain tunjuk ajar daripada guru, beliau sendiri turut menerapkan elemen keagamaan dalam diri anaknya itu dengan mengajarnya berzikir sejak kecil lagi.

Seorang lagi murid cemerlang, Nik Fahimah Nik Mohamad dari SK Permatang Badak dekat Kuantan yang kematian ayahnya sejak kecil membuktikan kesusahan hidup yang dialami keluarganya tidak menghalang dia mendapat keputusan 5A.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata tanpa usaha, pengorbanan dan dorongan daripada anggota keluarga termasuk ibu tersayang kejayaan yang dikecapi hari ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

“Selain memberi tumpuan di dalam kelas, saya juga tidak pernah ketinggalan mengikuti kelas tambahan di sekolah dan menjelang UPSR saya juga tidak lagi menonton televisyen agar lebih fokus mengulang kaji pelajaran di rumah,” katanya menceritakan resepi kejayaannya.

Dalam pada itu, ibunya Che Som Hasan, 43, yang bekerja sebagai tukang masak nasi Arab bersyukur dengan kejayaan anak bongsunya itu kerana berjaya mengikut jejak langkah tiga lagi adik-beradiknya yang turut mendapat 5A dalam UPSR sebelum ini.

“Alhamdulillah..Allah telah memakbulkan doa saya.. ketika saya menunaikan umrah baru-baru ini saya turut mendoakan agar Nik Fahimah berjaya mendapat 5A dalam UPSR dan saya harap dengan kejayaan ini cita-citanya mahu menjadi seorang doktor kelak akan jadi kenyataan,” katanya dengan nada gembira. – Bernama

Seramai 517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini – Bernama


Seramai 517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini

11 September 2012
upsr
Sebahagian pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II tekun menjawab soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di dewan sekolah itu di sini, hari ini. — fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis ini.

Pelajar-pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Sementara seramai 52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan tersebut.

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari  Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR.

Malah beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini.

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini.

Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat.

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok.

Sementara itu, di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun.

“Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lepas.

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lepas.

Semetara itu di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR.

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya.

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas.- Bernama

Muhyiddin: KSSM, KSSR dilancar 2017 – Bernama


Muhyiddin: KSSM, KSSR dilancar 2017

11 September 2012
Muhyiddin: KSSM, KSSR dilancar 2017
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin meneliti buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran merancang melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menjelang 2017.

Kurikulum sekolah di kedua-dua peringkat rendah dan menengah akan disemak semula bagi menerap gabungan ilmu dan kemahiran yang seimbang seperti fikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

Kurikulum baru itu juga akan menyokong jalur pembelajaran yang dipertingkat untuk pelajar berprestasi tinggi menyelesaikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa empat dan bukan lima tahun, dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa lima dan bukan enam tahun.

Ini terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ia dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di majlis itu.

Ketika membentangkan dokumen itu, Muhyiddin berkata: “Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring pelaksanaan kurikulum baru.

“Sebagai contoh, UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi (higher-order thinking questions).” -Bernama

Pelajar perempuan dikhuatiri lemas selepas selamat anak saudara – Bernama


Pelajar perempuan dikhuatiri lemas selepas selamat anak saudara
2012/06/29

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya dalam kejadian di Sungai Kedai Buluh di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Nur Fitriah Mat Yassin, murid Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh 1 di sini, dipercayai lemas selepas menyelamatkan anak saudaranya Mohd Isra Sufian, 9, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari.
Dua lagi anak saudara mangsa, Nur Shazrina Sofia, 7, dan Nur Shazrina Alia, 5, yang juga adik kepada Mohd Isra yang mandi bersama-sama berjaya menyelamatkan diri masing-masing.
Mohd Isra yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, ibu saudaranya itu mengajak mereka bertiga mandi di sungai berkenaan, namun dia tidak bernasib baik apabila hampir lemas ketika mandi di tempat yang dalam berikutan air yang deras.

“Bagaimanapun, mak su (Nur Fitriah) datang menyelamatkan dengan menarik tangan saya untuk dibawa ke tempat yang cetek, bagaimanapun mak su tidak bernasib baik dan mula tenggelam timbul di dalam air.

“Saya kemudian menjerit meminta tolong dan ada penduduk yang tinggal berdekatan datang menghulurkan bantuan, namun terlambat apabila kelibat mak su hilang daripada pandangan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Bapa mangsa, Mat Yassin Mat Yahya, 51, berkata ketika kejadian tersebut beliau sedang berada di rumah sebelum menunaikan solat Jumaat, segera bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu oleh seorang penduduk kampung.
Mat Yassin berkata, Nur Fitriah adalah anak bongsu daripada lapan beradik dan memang sukakan aktiviti lasak serta sering kali mandi di sungai berkenaan.

Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi Negeri, Shahrin Yusmal Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.15 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan 10 anggota bomba daripada Balai Bomba Kota Bharu dan dua anggota daripada Balai Pengkalan Kubor.

“Kita turut menerima bantuan daripada 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), empat anggota sukarela Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Kota Baharu serta lima anggota polis. Operasi berkenaan diketuai oleh Pengarah JBPM Kelantan, Azmi Osman,” katanya. – BERNAMA

Sekolah terbakar, tutup 3 hari – Kosmo


Sekolah terbakar, tutup 3 hari
Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

API membakar bilik-bilik di aras tiga bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua, Kajang, Selangor semalam.

KAJANG – Sesi pembelajaran 1,383 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua di Jalan Low Ti Kok di sini tergendala apabila satu blok tiga tingkat sekolah itu musnah dalam kebakaran semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu bermula dari sebuah bilik mesyuarat di tingkat tiga yang dijadikan bilik tuisyen bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini.

Api dikatakan berpunca daripada alat penyaman udara yang tiba-tiba mengeluarkan asap dan disusuli dengan percikan api yang menyambar bilik mesyuarat itu sebelum merebak ke bilik-bilik lain di blok itu.

Semasa kejadian, seramai 40 murid berada di bilik mesyuarat tersebut kerana menghadiri kelas tuisyen yang sepatutnya tamat pada pukul 3.30 petang.

Guru kaunseling SK Rawai seru murid berbudi pada ibu – Sinar Harian


Guru kaunseling SK Rawai seru murid berbudi pada ibu
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Jun 2012
BUKIT PAYONG – Islam meletakkan ibu pada kedudukan yang tinggi dan mulia sejajar dengan pengorbanan yang dilakukan sejak mengandung sehinggalah anak dewasa dan menjadi manusia di bawah didikan mereka.

Menurut seorang penceramah, Aziz Harun, ia dapat dibuktikan sebaik sahaja seorang ibu melihat anak yang dilahirkan selamat dan sempurna, wajah ibu yang berkerut menahan kesakitan bertukar dengan senyuman dan linangan air mata kegembiraan.

“Belum hilang sakit bersalin, terpaksa pula berjaga malam kerana rengekan dan karenah si bayi yang masih belum mengerti apa-apa. Namun demi anak, seekor lalat mahupun nyamuk tidak akan dibiarkan hinggap pada badan. “Tanpa pertimbangan yang waras, mudah sahaja untuk kita berkata ia adalah lumrah bagi setiap manusia yang bergelar ibu. Namun jika menghalusi pengorbanan mereka, segunung emas belum tentu dapat membayar kasih sayang dicurahkan,” katanya.

Aziz yang juga merupakan guru kaunseling di Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai berkata demikian pada sesi kaunseling bersama 130 murid dari SK Bukit Payong yang menyertai Program Motivasi dan Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini.

Mengulas lanjut, menurutnya, betapa besarnya pengorbanan ibu yang perlu anak hargai sehingga Rasulullah SAW sendiri menyuruh kita berbuat baik tiga kali kepada mereka yang bergelar ibu sebelum kepada ayah walaupun ayah adalah ketua keluarga.

“Malah, dalam satu hadis yang lain, Rasulullah pernah menyebut bahawa syurga di bawah tapak kaki ibu yang mana mentaati mereka adalahsyarat untuk masuk ke syurga,” katanya. Sehubungan itu, setiap anak dituntut agar sentiasa berbuat baik kepada ibu masing- masing termasuk memenuhi keperluan material, memberikan kasih sayang serta menjaga hati mereka agar tidak tersinggung oleh perbuatan mahupun kata-kata.

JATI minta pendidikan Islam jadi subjek wajib lulus – Bernama


JATI minta pendidikan Islam jadi subjek wajib lulus

2012/04/08

BUTTERWORTH: Jalur Tiga (JATI) akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi meminta mata pelajaran Pendidikan Islam menjadi salah satu subjek wajib lulus dalam peperiksaan sebagaimana subjek wajib lulus yang lain.

Presidennya, Datuk Dr Hasan Ali, berkata permintaan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata-mata. “JATI juga mahu mata pelajaran Pendidikan Islam dijadikan subjek wajib lulus kepada pelajar Islam dalam peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Bagaimanapun memorandum itu akan diserahkan selepas JATI berjaya mengumpulkan seramai 500,000 ahlinya dan kita yakin mampu memperoleh jumlah berkenaan menjelang enam bulan akan datang,” katanya ketika menyampaikan ceramah Selamatkan Akidah anjuran Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) Pulau Pinang di Bukit Jelutong Permatang Pasir, dekat sini, malam tadi.

Hasan yang juga bekas EXCO kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menyampaikan ceramah di hadapan lebih 5,000 orang di Bukit Jelutong yang merupakan siri jelajahnya ke seluruh negara.

Hassan dalam ceramahnya, sekali lagi menegaskan supaya pengundi Melayu khususnya di Pulau Pinang menjadikan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sebagai peluang untuk menyelamatkan serta melindungi hak keistimewaan Islam, orang Melayu dan institusi raja daripada dihapuskan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang.

Katanya, undi orang ramai akan menjadi penentu kerajaan mana yang boleh mempertahankan ketiga-tiga keistimewaan tersebut yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebagai orang Islam, mereka wajib mempertahankan ketiga-tiga perkara itu dan juga wajib memilih pemimpin yang benar-benar dapat menyelamatkannya.

“Saya mahu untuk PRU-13 nanti terutama orang Pulau Pinang, mari kita selamatkan ketiga-tiga ini. Saya minta tolong sangat-sangat. Perubahan ini mesti dilakukan bila tiba PRU-13,” katanya. – BERNAMA