Kanak-kanak 12 tahun mampu jinakkan ular – Sinar Harian


Kanak-kanak 12 tahun mampu jinakkan ular

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Jun 2013
Kanak-kanak 12 tahun mampu jinakkan ular
Mohd Hamdan tersenyum melihat gelagat Muhammad Aidil Fazli dibelit ular sawa yang baru ditangkap mereka.

KUALA KRAI – Biarpun baru berusia 12 tahun, Muhammad Aidil Fazli Mahadi ada keistimewaan tersendiri apabila mampu menjinakkan beberapa spesis ular berbisa sejak dua tahun lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, dekat sini, itu malah dianggap beruntung kerana mendapat didikan abang sendiri, juga seorang penjinak ular tersohor, Mohd Hamdan Mahadi.

Muhammad Aidil Fazli berkata, dia mula tertarik dengan reptilia itu kira-kira dua tahun lalu selepas sering bermain ular yang dibawa pulang abangnya ke rumah mereka di Guchil 1.

“Bila abang nampak saya minat bermain dengan ular, dia suka bawa saya bersama bila dipanggil untuk menangkap ular dan masa buat persembahan,” katanya semalam.

Muhammad Aidil Fazli berkata, semenjak mula berjinak dengan ular, dia pernah dua kali dipatuk tedung senduk dan sekali digigit ular sawa namun bersyukur kerana tidak cedera serius.

“Setakat ini, abang hanya beri saya tangkap ular sawa dan kadang-kadang tedung senduk tetapi tedung selar memang dia tak benarkan saya tangkap lagi,” katanya.

Mohd Hamdan pula berkata, dia tidak membenarkan Muhammad Aidil Fazli menangkap tedung selar kerana adiknya belum cukup mahir untuk menjinakkan reptilia berbisa itu.

“Kalau ular sawa dan senduk, adik saya sudah boleh jinakkan sendiri tanpa bantuan saya tetapi kalau tedung selar, saya akan tangkap sendiri.

“Masa saya buat persembahan ular, dia boleh bermain dengan tedung selar tetapi kalau nak tangkap, memang dia tak boleh lagi buat masa sekarang,” katanya.

Ular teman ulang kaji – Metro


Ular teman ulang kaji

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TIDAK GENTAR...Wan Nor Amirah menjadikan ular sawa sebagai teman.
TIDAK GENTAR…Wan Nor Amirah menjadikan ular sawa sebagai teman.

PASIR MAS: “Mirah hanya suka ular sawa dan tidak pernah rasa takut, malah sayang padanya,” kata Wan Nor Amirah Wan Apendi, 12, dari Kampung Bechah Tendong, di sini.

Dia tidak gentar menjadikan ular sawa seberat lima kilogram (kg) dan dua meter panjang sebagai teman karibnya sejak kecil dan sering menemaninya setiap hari ketika meluangkan masa lapang, menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.
Minat terhadap ular itu turut dikongsi semua adik-beradiknya iaitu abang sulungnya, Mohd Asraf, 28, Wan Mohd Arif, 26, Wan Nor Azain, 21, Wan Mohd Aziz, 15, dan adiknya, Wan Nor Alysya, 9.

 

Menurut Wan Nor Amirah, dia memanggil reptilia itu sebagai ‘Sayang’ dan dia lebih dikenali dengan ‘Mirah Ular’ di kalangan guru dan rakan sekolah.
“Mirah dan ayah juga akan memandikan ‘Sayang’ seminggu sekali dan memberinya ayam antara seekor hingga tiga ekor sebagai makanan setiap sebulan dua kali,” katanya.
Ular itu adalah milik bapanya, Wan Apandi Wan Daud, 51, yang juga mempunyai kepakaran menjinakkan ular selain mempunyai koleksi enam ekor ular terdiri daripada jenis sawa, tedung selar dan senduk.

 

 

Wan Apandi berkata, dia memelihara semua ular berkenaan untuk tujuan membuat persembahan bermain ular di khalayak ramai.