Dadah: 3 termasuk guru, pengawal diberkas – Utusan


Dadah: 3 termasuk guru, pengawal diberkas

Tun Hisan Tun Hamzah (kiri) bersama Nordin Kadir (dua dari kiri) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 17 Jan. – Kegiatan seorang guru sekolah memandu menggunakan premis tempatnya bekerja sebagai stor dadah terbongkar apabila polis menemui 153.9 kilogram ganja selepas menyerbu sekolah tersebut di tepi Lebuh Raya Karak, Kuala Lumpur dekat sini kelmarin.

Serbuan pukul 4.30 pagi itu dibuat kira-kira dua setengah jam selepas guru lelaki terbabit yang berusia 30 tahun diberkas bersama 1.9 kilogram ganja di kawasan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Gombak dekat sini.

Kesemua ganja itu sekiranya dibungkus, mampu menghasilkan 34,200 peket kecil yang harga pasarannya bernilai RM1.7 juta atau RM50 sepeket.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, semasa serbuan di sekolah memandu itu, polis turut memberkas dua lagi suspek iaitu pengawal keselamatan warga Indonesia dan penganggur warga tempatan, masing-masing berusia 38 dan 33 tahun.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, sindiket tersebut dipercayai memperoleh bekalan ganja berbentuk 79 ketulan mampat dan setiap satu seberat kira-kira dua kilogram dari negara jiran.

“Polis mendapati sindiket ini cuba menukar taktik dengan membungkus ganja mampat yang dirampas dengan berat dua kilogram setiap bungkus berbanding satu kilogram sebelum ini.

“Berdasarkan harga pasaran, setiap satu kilogram ganja mampat berharga RM3,400 dan ini bermakna, keseluruhan 153.9 kilogram ganja mampat yang ditemui bernilai RM523,260. Bagaimanapun selepas dipeketkan, sindiket berkenaan akan memperoleh sehingga RM1.7 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir.

Tun Hisan berkata, pihaknya masih menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan individu lain di sekolah memandu tersebut. Dua daripada suspek positif mengambil dadah.

Menurut beliau, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Alphard milik salah seorang suspek semasa serbuan di sekolah memandu,” katanya.

Sekolah memandu jadi stor ganja – Utusan


Sekolah memandu jadi stor ganja

17/01/2012 3:35pm

 

 

Oleh AZIAN AZIZ

 

SHAH ALAM 17 Jan. – Kegiatan seorang guru sebuah sekolah memandu yang menggunakan premis tempatnya bertugas sebagai stor simpanan 153.9 kilogram ganja bernilai RM1.7 juta terbongkar apabila polis menyerbu sekolah tersebut yang terletak di tepi Lebuh Raya Karak Gombak dekat sini kelmarin.

Serbuan pukul 4.30 pagi itu dibuat kira-kira dua jam selepas guru lelaki berusia 30 tahun itu diberkas bersama 1.9 kilogram ganja di kawasan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Gombak dekat sini kelmarin.

Semasa serbuan di sekolah memandu, polis turut memberkas seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang masing-masing berusia 38 tahun dan 33 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua yang ditahan dipercayai terlibat dengan satu sindiket pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang yang telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu. – UTUSAN