ULU YAM: Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SMSHS) di sini kini bagaikan ‘pusat takungan banjir’ kesan aktiviti perladangan yang tidak mengikut piawaian. Sejak beberapa bulan lalu, sekolah berkenaan berdepan masalah banjir hingga membebankan pihak pengurusan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Suhaimi Deraman berkata, masalah banjir kilat bukan saja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah membabitkan soal keselamatan dan kesihatan pelajar.
“Sekolah ini bukannya terletak di lokasi banjir tapi masalah itu berlarutan sudah berbulan-bulan lamanya. Bukan setakat kemusnahan harta benda yang menjadi masalah utama, malah perkara yang membimbangkan kami ialah soal keselamatan seperti kehadiran ular berbisa serta kesihatan warga sekolah kerana banjir membawa bersama lumpur dari ladang terbabit.
“Sesi pembelajaran pelajar terjejas kerana masalah ini. Ketika banjir kilat, baru-baru ini, pihak sekolah termasuk guru dan pelajar dengan kerjasama pihak bomba baru terpaksa melakukan operasi pembersihan lumpur ekoran kesan hujan lebat,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah sudah mengambil segala tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu tetapi kemampuan dan bidang kuasa terbatas menyebabkan ia berlarutan.