Remaja terjun kereta elak dirogol terima 7 jahitan – Utusan


Remaja terjun kereta elak dirogol terima 7 jahitan

ALOR GAJAH 30 Mac – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerima tujuh jahitan di kepala setelah dia nekad terjun dari sebuah kereta bagi mengelak dirogol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan lelaki berusia 17 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Perdana Jernih, Kuala Sungai Baru menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja itu bagaimanapun kehabisan minyak menyebabkan mereka terpaksa berhenti di tepi jalan sementara menunggu bantuan bapa remaja lelaki itu.

“Semasa sedang menunggu, sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna jingga berhenti dan pemandunya menawarkan bantuan untuk menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Mangsa kemudian bersetuju menumpang kereta itu kerana mendapati ada seorang remaja perempuan turut berada dalam kenderaan tersebut yang didakwa suspek sebagai anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Umar Ali berkata, rakan lelaki mangsa pula tidak menaiki kereta tersebut kerana menunggu kehadiran bapanya yang akan datang membawa petrol untuk motosikalnya.

Katanya, setelah beredar, pemandu kereta itu tidak menghantar mangsa terus pulang ke rumah dengan memberi alasan sudah terlambat menghantar anaknya ke sekolah.

“Setelah menghantar anaknya ke sekolah, suspek memandu ke arah Linggi dan enggan menghantar mangsa pulang, malah mula bercakap perkara lucah menyebabkan mangsa bimbang,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 12 kilometer selepas itu, mangsa nekad terjun dari kenderaan berkenaan setelah cubaannya membuka pintu kereta tersebut gagal kerana berkunci.

Berikutan tindakan beraninya itu, beliau berkata, mangsa cedera di kepala dan terpaksa menerima tujuh jahitan, selain lebam dan luka di badan.

Tambahnya, polis yang menerima laporan mengenai kes itu telah menahan suspek pada pukul 5 petang hari yang sama di sekitar Kuala Sungai Baru.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan dengan salah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130331/je_04/Remaja-terjun-kereta-elak-dirogol-terima-7-jahitan#ixzz2P7acCqT3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isteri hamil nyaris dipijak – Sinar Harian


Isteri hamil nyaris dipijak

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2013
Jane
Jane

ALOR GAJAH – Gara-gara bermalam di rumah ibunya sendiri, seorang isteri yang hamil enam bulan nyaris dipijak suaminya yang berang sebelum diugut bunuh dengan keris perhiasan dalam kejadian 6.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jane, 33, mendakwa sudah mendapatkan keizinan suaminya yang berusia 30 tahun itu sebelum pulang ke rumah ibunya selama tiga hari.

Jane berkata, sebaik pulang ke rumah yang disewa di sekitar daerah ini, secara tiba-tiba suami memarahinya.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya bertindak melawan untuk mempertahankan diri sebelum tiga anak mereka berusia antara 6 hingga 11 tahun turut dimarahi bapa mereka.

“Suami turut mendakwa anak-anak kencing merata-rata menyebabkan rumah kotor dan saya menafikannya kerana saya tahu anak tidak akan melakukan sedemikian.

“Malah lebih memilukan apabila suami tidak mengakui kandungan saya ini bukan anaknya sendiri selain menuduh saya mempunyai hubungan intim dengan lelaki lain,” katanya.

Katanya, berang melihat dia mempertahankan anak-anak yang mula menangis ketakutan, suaminya terus mencapai rotan buluh dan bertindak melibas anak-anak.

“Suami juga menampar anak berulang kali dan menolak mereka hingga tersungkur.

“Kasihan melihat anak diperlakukan sebegitu, saya cuba meleraikan pertelingkahan namun terjatuh akibat ditolak suami,” katanya.

Jane berkata, kemudiannya suaminya mengambil kesemua pakaian miliknya dan anak-anak lalu dicampakkan ke luar rumah sambil menghalau mereka.

“Bagaimanapun berikutan pintu rumah sudah dikunci dari luar, saya tidak dapat menyelamatkan diri sebelum suami sendiri membuka pintu dan menghalau kami keluar dari rumah,” katanya.

Difahamkan setelah dihalau, Jane dan tiga anaknya pulang ke rumah ibunya di Jasin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin menerima laporan dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumah Tangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka untuk siasatan.

Remaja ditahan edar dadah – Sinar Harian


Remaja ditahan edar dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Mac 2013

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi pengedar dadah ditahan polis ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah ladang sawit di Machap Baru, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, gerak geri suspek yang mencurigakan apabila menunggu sendirian di dalam ladang itu sudah diperhatikan kira-kira seminggu lalu menerusi Ops Tapis.

Menurutnya, suspek yang memegang satu beg plastik warna cerah bertindak membuang ke dalam semak sebaik menyedari kehadiran polis sebelum melarikan diri ke dalam ladang sawit.

“Bagaimanapun polis berjaya mengepung kawasan itu sebelum menahan suspek dan membawanya ke lokasi plastik berkenaan dicampak.

“Selepas diperiksa, polis mendapati beg plastik berkenaan berisi 27 paket plastik lutsinar mengandungi dadah heroin dianggarkan seberat 41.6 gram” katanya.

Umar Ali berkata, suspek yang tidak bersekolah dipercayai menjadi pengedar di sekitar Machap dan Durian Tunggal datang ke ladang sawit menaiki motosikal yang diletakkan berdekatan jalan besar.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek beralamat di Jasin positif dadah jenis heroin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati (mandatori) dan ditahan reman di bawah Seksyen KPJ selama tujuh hari sehingga 13 Mac ini,” katanya.

Empat ditahan curi gajet di Melaka – Bernama


Empat ditahan curi gajet di Melaka

5 Mac 2013

ALOR GAJAH – Polis berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes mencuri barangan gajet di dua daerah di Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun itu ditahan di kawasan Bachang dan Bemban di sini pada 20 dan 22 Feb lepas.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit terlibat dalam 17 kes pecah rumah di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak enam bulan lepas.

“Polis turut merampas 13 buah telefon bimbit, lima komputer riba, dua kamera, satu pemain cakera padat dan satu cakera keras mudah alih,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam kes lain, Umar Ali Saifuddin berkata seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas ditahan di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Machap di sini, semalam.

Beliau berkata remaja terbabit yang tidak lagi bersekolah ditahan bersama 27 paket berisi dadah disyaki jenis heroin dengan berat kira-kira 41.6 gram yang keseluruhannya bernilai RM2,700 pada pukul 2.15 petang ketika sedang menunggu pelanggannya di kebun berkenaan. – Bernama

Rajuk ditegur bersembang di laman sosial – Metro


Rajuk ditegur bersembang di laman sosial

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Gara-gara merajuk selepas ditegur kerana sering bersembang melalui laman sosial, seorang remaja lelaki dipercayai melarikan diri dari rumahnya, di sini, sejak empat hari lalu.

Difahamkan, Muhammad Azrul Hisham Asri, 17, keluar dari rumah jam 9.45 malam Isnin lalu, selepas ditegur ibunya Nora Ahmadi, 37, berikutan kerap menghabiskan masa di depan komputer riba milik ibunya itu.
Nora berkata, dia menegur anaknya itu petang Isnin kerana terlalu leka dan menghabiskan masa berborak kosong di laman sembang sosial.

 

“Pada sebelah malam, saya bersama anak bongsu keluar ke pekan Alor Gajah atas urusan dan pulang ke rumah jam 9.45 malam.
“Saya menyedari Muhammad Azrul yang juga anak sulung tidak membawa pakaian,” katanya.
Malah lebih membimbangkan Nora apabila anaknya menyatakan hasrat untuk ke Johor Bahru dengan rakan melalui laman sembang beberapa hari sebelum itu.

 

 

“Saya melakukan pelbagai usaha bagi mencarinya di merata tempat, termasuk di rumah rakan, tetapi tidak berjaya.
“Lebih membimbangkan apabila Muhammad Azrul masih dalam rawatan kerana kecederaan di perut akibat terbabit dalam kemalangan baru-baru ini,” katanya.

 

Nora berkata, dia tidak sangka anaknya itu sanggup meninggalkan rumah walaupun tidak pernah bertindak demikian sebelum ini.
“Saya bimbang keselamatannya yang masih belum pulih sepenuhnya dan perlukan rawatan mencuci luka di perut,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, kelmarin. Katanya, mereka yang mengetahui lokasi anak lelakinya boleh menghubungi talian 012-9325720 atau balai polis berdekatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08

Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang – Sinar Harian


Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang
Umar Ali menunjukkan gambar mangsa yang hilang sejak 21 Ogos lalu.

ALOR GAJAH  – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menjejaki seorang gadis lembam, A Vantha, 16, yang dilaporkan hilang selepas tiga hari tinggal bersama ibu saudaranya di sebuah taman, di sini, 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bapa mangsa, K Annandan, 37, menghantar mangsa pada 18 Ogos lalu untuk tinggal bersama ibu saudaranya, R Sarida, 25, di taman berkenaan.

Difahamkan, kehilangan mangsa yang juga anak sulung daripada lapan beradik itu turut dikaitkan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Bulat.

“Mangsa dihantar ke rumah ibu saudaranya di sebuah taman di sini pada 18 Ogos lalu kerana mangsa bekerja di sebuah kedai di kawasan kilang solar di Rembia sebelum disedari hilang kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Ogos.

“Kehilangan mangsa disedari ibu saudaranya yang ketika itu sibuk menguruskan bapanya yang terlantar sakit sebelum didatangi majikan mangsa yang menjemputnya di rumah setiap hari,” katanya.

Menurutnya, ibu saudara mangsa terkejut kerana menyangka mangsa keluar awal dijemput majikannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masih menuntut di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Jasin, keluar rumah sehelai sepinggang.

“Mangsa keluar dengan hanya membawa dompet berisi MyKad,” katanya.

Umar Ali berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi dijawab seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada bersamanya.

“Berdasarkan siasatan, nombor telefon bimbit mangsa masih digunakan dan dikesan di sekitar Kuala Sungai Baru,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat mangsa, diminta segera menghubungi Inspektor Shuhaida Mohd Idris menerusi talian 06-5562222.

Kemalangan: Datuk maut, abang selamatkan adik – Sinar Harian


Kemalangan: Datuk maut, abang selamatkan adik
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012

Mohd Faiq patah tangan kiri dalam kemalangan yang meragut nyawa datuknya, kelmarin.
ALOR GAJAH – Seorang abang sempat menyelamatkan adiknya selepas motosikal ditunggang datuknya dirempuh sebuah kereta di hadapan rumah mereka di Jalan Kampung Pulau, Durian Tunggal, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, mangsa, Omar Muhammad, 62, disahkan meninggal dunia selepas 12 jam menerima rawatan, sementara cucunya, Mohd Faiq Amni Mazlan, 7, patah tangan kiri akibat dirempuh kereta Proton Iswara sebelum tercampak ke jalan raya.

Difahamkan, mangsa bersama cucunya itu dalam perjalanan pulang dari kedai berdekatan, dari arah Alor Gajah kemudian dirempuh kereta yang dipandu seorang remaja berusia 18 tahun yang datang dari arah pekan Durian Tunggal ke Alor Gajah.

Anak bongsu mangsa, Azlina Omar, 31, berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah terkejut mendengar dentuman kuat.

Menurutnya, ketika itu dia melihat anak saudaranya, Mohd Fakrul Naim, 10, yang juga abang kepada Mohd Faiq menghalang kenderaan dan menarik adiknya yang menangis kesakitan di tepi jalan.

“Dalam keadaan kelam kabut itu ibu, Asmah Jalil, 55, turut keluar membantu,” katanya.

Azlina berkata, sebelum kejadian arwah bapa baru selesai menunaikan solat Jumaat bersama dua cucunya itu dan menurunkan Mohd Fakrul di tepi jalan sebelum membawa Mohd Faiq ke kedai berdekatan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

“Ayah disahkan meninggal dunia keesokan harinya berikutan kecederaan parah di kepala dan kaki kiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian berkenaan. “Mangsa yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Nelayan tiada kaitan onar di sekolah – Metro


Nelayan tiada kaitan onar di sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Nelayan berusia 17 tahun yang ditahan berhubung dakwaan cubaan merogol murid tahun tiga di tangga bangunan sebuah sekolah di Kuala Sungai Baru di sini, dibebaskan tanpa syarat selepas didapati tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, remaja lelaki itu dibebaskan pada jam 3 petang, Selasa lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati lelaki itu tidak terbabit dalam kes cubaan merogol murid tahun tiga dalam kejadian pada hari Isnin, Rabu dan Khamis, minggu lalu.

 

“Selepas siasatan dilakukan, didapati lelaki berkenaan tidak terbabit dalam dakwaan merogol dan dibebaskan tanpa syarat.
“Polis masih meneruskan siasatan dari segenap sudut untuk mengesan suspek sebenar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan (KK),” katanya di sini, semalam.
Harian Metro sebelum ini melaporkan dakwaan seorang murid tahun tiga menjadi mangsa rogol pada Isnin, Rabu dan Khamis minggu lalu ketika waktu rehat dan selepas tamat persekolahan. Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa suspek mengancam mencederakan atau membunuhnya jika perkara itu diadukan kepada sesiapa.

Lalok dalam pesta liar – Metro


Lalok dalam pesta liar

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Tiga pelajar sekolah menengah dan seorang jururawat antara 23 yang ditahan ketika menyertai pesta liar membabitkan minuman keras dan dadah di banglo dua tingkat sebuah resort dekat sini yang disewa bagi meraikan majlis sambutan hari jadi, pagi semalam.

Ketika sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah diketuai Inspektor Sobri Zakaria melakukan serbuan pada jam 2.30 pagi, difahamkan ramai peserta pesta sedang berhibur dalam keadaan khayal.

Sebahagian mereka berada di ruang tamu banglo berkenaan manakala sebahagian lagi di tingkat atas berpasangan tanpa menyedari kehadiran polis yang datang mengejut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifudin Saharudin berkata, antara 23 yang ditahan itu termasuk seorang pelajar tingkatan empat dan dua pelajar tingkatan lima serta seorang jururawat pelatih di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

 
“Ada yang datang dari Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan negeri ini atas pelawaan untuk meraikan majlis hari jadi seorang rakan yang bermula jam 9 malam diiringi muzik dikendalikan deejay.

Murid tahun satu terbunuh – Utusan


Murid tahun satu terbunuh

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusankota@utusan.com.my

 

ALOR GAJAH 15 Feb. – Seorang murid tahun satu maut manakala abangnya berusia 12 tahun parah setelah kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 213.2 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan, di sini awal pagi ini.

Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala abangnya, Amir Haziq, 12 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setelah tercampak dari kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapanya.

Bapa dua beradik itu, Nordin Mohamad Shukor, 36, dan isterinya, Siti Aisyah Othman, 36, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

“Dua beradik itu yang berada di tempat duduk belakang dipercayai tercampak keluar melalui tingkap menyebabkan mereka cedera parah di kepala.

“Siti Nurnajwa meninggal dunia sejam kemudian semasa dirawat di Hospital Melaka, manakala abangnya, Amir Haziq masih lagi dirawat di ICU,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kedua ibu bapa mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah dikebumikan di Parit Sulong,Johor, petang ini.