‘Seperti dapat durian runtuh’ – Metro


‘Seperti dapat durian runtuh’

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CHERAS: Seramai 543 pelajar dari Parlimen Cheras bersyukur menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai RM100 seorang yang dapat membantu meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Bantuan bernilai RM54,300 itu hasil usaha Pergerakan Pemuda Umno bahagian Cheras dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Cheras yang mendapat peruntukan menerusi Kerajaan Pusat.
Pembantu Perawatan Perubatan, Suhaila Jaafar, 36, berkata dia gembira kerana dua anaknya berusia sembilan tahun, Muhammad Sufi Mansor dan Muhammad Afi menerima RM100 sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan beberapa kelengkapan sekolah yang belum disediakan.

 

“Saya dan suami seperti mendapat durian runtuh kerana kami berdua tidak merancang membelikan anak pakaian sekolah baru serta menasihatkan mereka supaya menggunakan baju serta kasut lama.
“Nampaknya dapatlah mereka memakai baju baru esok (hari ini) dan sejak semalam (kelmarin) mereka tak putus-putus pesan pada saya supaya terus ke kedai beli baju sekolah baru selepas menerima RM100 nanti.
“Mereka dua beradik cukup gembira sekali,” katanya ketika ditemui, pada Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan, di sini, semalam.

 

 

Majlis sumbangan itu disampaikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor. Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdar Syed Abdullah.
Juruteknik, Muhamad Faisal Ismail, 31, berkata barangan sekolah bagi tiga anaknya sudah disediakan, bagaimanapun bantuan RM100 itu akan disimpan serta digunakan untuk kegunaan apabila sesi persekolahan bermula.

 

Menurutnya, dia menyediakan kelengkapan sekolah tiga anaknya secara sederhana dan membelanjakan hampir RM500 untuk keperluan berkenaan.
“Setiap kali sesi persekolahan bermula, banyak wang yang perlu dikeluarkan, namun dengan bantuan ini ia mampu meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Sementara itu, Mahadi berkata, program kali keenam itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial Umno Bahagian Cheras dalam usaha membantu ibu bapa menyediakan keperluan sekolah anak.
Menurutnya, kanak-kanak berumur tujuh hingga 17 tahun dipilih menerima bantuan RM100 yang mana membabitkan anak-anak daripada keluarga berpendapatan sederhana dan miskin kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02

PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali – Utusan


PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytihar cuti am Deepavali kini merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan.

Kata beliau, walaupun keputusan itu tidak memberikan kesan besar ke atas Labuan yang mempunyai jumlah penganut Hindu yang kecil, kawasan itu secara simbolik tetap layak memandangkan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, keputusan yang dicapai oleh Kabinet itu juga menunjukkan Malaysia mengamalkan dasar inklusif ke atas semua kaum.

“Orang-orang India di Malaysia tetap mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripada kerajaan Barisan Nasional,” ketika berucap dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves, dekat sini hari ini.

Sementara itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti PPP Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Selain orang ramai, kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut menyerikan lagi majlis sempena perayaan bagi masyarakat India beragama Hindu itu.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan serta kepimpinan PPP dan BN peringkat Wilayah Persekutuan.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menikmati juadah yang disediakan sebelum pulang meninggalkan majlis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_02/PM-umum-WP-Labuan-dapat-cuti-am-Deepavali#ixzz2C9CGc3Dn
© Utusan Melayu (M) Bhd