28,000 pelajar di Kubang Pasu terima bantuan persekolahan minggu ini – Bernama


28,000 pelajar di Kubang Pasu terima bantuan persekolahan minggu ini

28 Januari 2013

JITRA – Lebih 28,000 pelajar sekolah menengah dan rendah daerah Kubang Pasu dijangka menerima bantuan awal persekolahan RM100 sumbangan kerajaan pusat selewat-lewatnya Khamis ini.

Naib ketua Umno Kubang Pasu Zulfitri Yaacob berkata setakat ini 40 daripada 57 sekolah menengah dan rendah di daerah itu telah menyerahkan bantuan terbabit kepada ibu bapa dan waris pelajar.

“Kita mahu menyelesaikan pemberian wang bantuan persekolahan ini sebelum Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula dibayar pada 2 Februari,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan itu kepada 390 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di sini, hari ini.

Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata bantuan awal persekolahan adalah istimewa kerana kerajaan memberinya kepada semua pelajar sebagai galakan kepada mereka untuk belajar lebih tekun.

“Bantuan awal ini sesuai pada masanya kerana ekonomi negara dalam keadaan stabil manakala infrastruktur asas yang penting untuk memacu pembangunan negara telah disiapkan,” katanya.

Sementara itu seorang ibu tunggal, Nafsiah Jaafar, 46, terharu kerana bantuan untuk dua anaknya yang belajar di tahun lima dan enam SK Malau dapat menyelesaikan masalahnya dalam menyediakan keperluan persekolahan.

“Kakak bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bandar Darulaman bagi menyara dua anak yang bersekolah. Syukurlah dengan bantuan ini dapat juga
membeli pakaian dan beg sekolah baru untuk kedua-dua anak saya,” katanya.

Tukang kebun SK (C) Keat Hwa Kampung Perak, Alor Setar, Hashim Mohd Zain, 59, berkata beliau akan menyimpan wang untuk untuk dua anaknya bagi kegunaan pada masa depan.

Pekerja Am Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Arau, Salim Sharif, 48, pula berkata beliau juga akan menyimpan wang itu untuk pelajaran anaknya. – Bernama

Puteri UMNO rai murid sekolah Cina – Bernama


Puteri UMNO rai murid sekolah Cina

30/01/2012 4:30pm

 

CHANGLUN30 Jan. – Pergerakan Puteri UMNO Kubang Pasu hari ini meraikan 240 murid dan 20 guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yit Min di sini dalam satu majlis sambutan Tahun Baru Cina.

Ketuanya, Wan Zawiyah Wan Halim bersama ahli pergerakan itu menyediakan makanan, buah limau dan angpau kepada semua murid darjah satu hingga enam serta guru dalam satu acara sambutan ringkas namun meriah.

Kehadiran ibu bapa murid-murid memeriahkan lagi sambutan yang bermula 11.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Wan Zawiyah berkata, sambutan itu bertujuan menyemai dan menyuburkan konsep 1Malaysia dalam kalangan murid-murid sekolah agar perpaduan sesama mereka menjadi lebih utuh.

“Puteri UMNO akan terus menganjurkan program seumpama ini pada setiap perayaan kaum untuk mengeratkan hubungan kaum agar negara akan lebih makmur dan aman,” katanya.

Guru Besar SRJK (C) Yit Min, Ting Ah Tin, pula berkata, beliau dan guru-guru sekolah itu menyokong penuh sebarang program yang bertujuan baik selaras dengan konsep 1Malaysia.

Sekolah itu juga mempunyai 60 murid berbangsa Melayu, 50 berbangsa Siam, dua orang bangsa India dan seorang Iban. — BERNAMA