Yayasan Wilayah Persekutuan bantu anak mangsa kebakaran – Sinar Harian


Yayasan Wilayah Persekutuan bantu anak mangsa kebakaran

HIDAYAH HAIROM
17 November 2012

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersedia untuk menyalurkan bantuan persekolahan tiga anak Allahyarham Mohd Hakimi Zubair, 40, dan  isterinya, Leila Sahak, 40, yang terkobar dalam kebakaran di  sebuah banglo di Taiping, Perak pada 13 November lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata, pihaknya prihatin dan simpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu.

Menurutnya, bantuan berbentuk kewangan juga dihulurkan bagi mengurangkan beban yang ditanggung anak-anak arwah.

“Dua bentuk bantuan persekolahan yang boleh disalurkan iaitu untuk sesi tahun hadapan dan juga bantuan kewangan yang berterusan kepada anak-anak  mangsa.

“Selain itu, bantuan kewangan berjumlah RM3,500 juga disalurkan oleh YWP, Umno Bandar Tun Razak, dan sumbangan saya sendiri,” katanya ketika penyampaian bantuan tersebut di Dewan Merawan, Taman Len Seng, Cheras, di sini, hari ini,

Hadir sama, Pengarah Eksekutif YWP, Datuk Mohd Idris Mohd Isa; Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar dan Naib Ketua Umno Bahagian Tun Razak, Azami Mohamad.

Allahyarham Mohd Hakimi adalah seorang akauntan sebuah bank di ibu negara, yang juga Bendahari Persatuan Penduduk Alam Damai Merawan, Cheras, meninggal dunia bersama isteri serta anak bongsu mereka dalam kejadian menyayat hati itu.

Mereka meninggalkan tiga anak iaitu Luqman Hafiy, 13; Ain Najwa, 11, dan Azad Fahmi, 8.

Sementara itu, adik kepada arwah Mohd Hakimi, Azam Zubair, 38, berterima kasih atas sumbangan yang dihulurkan atas inisiatif pihak persatuan penduduk, Umno, YWP, dan Raja Nong Chik sendiri.

Katanya, dia sebelum ini menetap di United Kingdom dan pulang  ke Malaysia sebaik mengetahui kejadian yang menimpa keluarga abangnya itu.

“Kami sekeluarga masih berbincang berhubung penjagaan anak-anak arwah, juga melibatkan keluarga sebelum arwah isteri,” katanya.

Kejadian kebakaran di banglo dua tingkat yang juga rumah bapa arwah Mohd Hakimi, turut mengorbankan pembantu rumah, warga Indonesia, dikenali sebagai Rizki, 40.

Hangat sambut hari jururawat, ibu, guru – Metro


Hangat sambut hari jururawat, ibu, guru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Bagi menghangatkan lagi sambutan ulang tahun Umno ke-66, Pergerakan Puteri Umno turut meraikan sambutan Hari Jururawat, Hari Ibu dan Hari Guru yang diraikan pada bulan ini.

Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ia akan diadakan sebulan bagi meraikan jasa dan pengorbanan tiga golongan itu.
“Konvoi akan bergerak ke setiap negeri dan majlis sambutannya akan dibuat mengikut kebudayaan negeri masing-masing.

 

“Pelbagai aktiviti lain juga dianjurkan sempena ulang tahun Umno seperti bengkel pencegahan jenayah, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan melukis kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan konvoi itu di pekarangan Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Buat permulaan, konvoi 20 kereta Puteri Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mengunjungi Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur bagi meraikan 680 jururawat sempena Hari Jururawat hari ini.
Selain itu, Rosnah turut menyampaikan pelekat konvoi kepada semua ketua Puteri Umno negeri bagi menyeragamkan konvoi di negeri masing-masing.

 

 

Hari Jururawat dan Hari Ibu disambut 12 Mei manakala Hari Guru, 16 Mei.
Sementara itu, mengulas mengenai ulang tahun Umno, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Puteri akan terus berusaha membantu sayap parti memperluaskan khidmatnya kepada rakyat dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). “Memang benar kita tiada ketika Umno di awal penubuhannya dan semasa ia berjuang memerdekakan negara.

 

“Tetapi kelahiran Puteri Umno dalam era ‘millennium’ membantu parti terutamanya dalam menarik golongan muda,” katanya.