Dua kanak-kanak mati lemas dalam kolam – Utusan


Dua kanak-kanak mati lemas dalam kolam

 

BUKIT MERTAJAM 12 Sept. – Dua kanak-kanak berusia sembilan tahun mati lemas dalam kolam di Bandar Perda di sini tengah hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130912/je_16/Dua-kanak-kanak-mati-lemas-dalam-kolam#ixzz2efldXZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Baju sekolah penuh darah’ – Sinar Harian


‘Baju sekolah penuh darah’

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2013
'Baju sekolah penuh darah'
Manimaran dan laporan Sinar Harian semalam.

IPOH – “Rasa pilu ketika melihat anak tidak bernyawa dengan baju sekolahnya dipenuhi darah selain luka di leher dan kedua-dua tangannya. Tidak dapat bayang penderitaan yang dihadapinya,” demikian kata bapa mangsa bunuh, M Nathaniel, 14, yang di temui dalam semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

A Manimaran, 46, berkata, dia dimaklum oleh rakannya mengenai penemuan mayat tersebut.

“Kami sekeluarga memang terkejut dengan keadaan dia ditemui dengan banyak kesan luka. Siapa yang sanggup membunuh dia kerana setahu saya, dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia anak baik dan periang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.

Katanya, dia diberitahu oleh salah seorang rakan anaknya yang ternampak mangsa berbual dengan tiga lelaki tidak dikenali pada hari dia didapati hilang.

“Dia ingatkan rakan anak saya jadi dia terus pulang tanpa mengesyaki apa-apa. Lagipun, tiada sebarang pergaduhan atau jeritan ketika itu,” katanya  yang kali terakhir bertemu ketika keluar bekerja pada pagi hari kejadian.

Namun, Manimaran berkata, mangsa ada perselisihan faham dengan tiga lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal, Isnin minggu lalu.

“Hanya itu sahaja masalah yang dihadapinya sebelum kejadian dan tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku mungkin disebabkan perselisihan faham itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, hasil laporan bedah siasat yang dibuat ke atas mangsa akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian semalam melaporkan remaja malang berkenaan ditemui mati di kawasan semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh dengan kesan kelar di beberapa bahagian di badan dan siasatan pihak polis dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

‘Nani beritahu sering kena buli di asrama’ – Metro


‘Nani beritahu sering kena buli di asrama’

 171  5 Google +1  1  1

Mersing: “Sejak tahun lalu, Nani kerap merayu supaya kami menukarkannya ke sekolah lain di Bekok, Segamat dengan alasan tidak tahan sering dibuli di asrama,” kata Tidai Abu Bakar, 36, ibu kepada Yohanani Jati, pelajar tingkatan dua yang ditemui mati di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Nitar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, Yohanani atau mesra dengan panggilan Nani yang juga pengawas sekolah ditemui terbaring di kaki lima dipercayai tergelincir dari tingkat empat, bangunan empat tingkat sekolah berkenaan.
Tidai ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu sering meminta ditukarkan ke sekolah lain terutama di Bekok kerana mendakwa tidak tahan dibuli di asrama.

 

Malangnya, katanya, mereka tidak mampu berbuat demikian kerana jarak terlalu jauh dan memintanya bersabar.
“Kali terakhir bertemunya pada hujung minggu lalu dan seperti kebiasaan, Nani akan menyiapkan tugasan sekolah serta berehat di rumah kami di Perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Ulu Sungai Endau.
“Kami tidak sangka kejadian ini berlaku. Nani seorang yang baik dan bijak malah memperoleh 4A1B pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dia juga antara pelajar terbaik kategori Orang Asli daerah ini,” katanya.

 

Menurut Tidai, keluarga berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengenal pasti punca kejadian itu.
Bapa arwah, Jati Awang, 39, berkata, kali terakhir dia bertemu Nani ialah pada pagi semalam ketika menghantar pemacu jejari yang dimintanya di sekolah berkenaan.

 

“Nani meminta pemacu jejari itu beberapa hari lalu, namun saya hanya sempat menghantarnya pagi tadi (semalam).
“Bagaimanapun, pada jam 12 tengah hari, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian dan bergegas ke sekolah untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Remaja lelaki maut ditetak – Sinar Harian


Remaja lelaki maut ditetak

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
7 April 2012
remaja-maut

SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut ditikam selepas pulang membeli burger dalam kejadian di tapak letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, semalam.

Mayat mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui penduduk setempat kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa maut selepas ditikam di badan dengan senjata tajam dipercayai pemutar skru.

“Mayatnya ditemui lengkap berpakaian dan terbaring berhampiran kereta.

“Kita percaya mangsa dibunuh di situ berdasarkan kesan darah yang masih baru,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa tinggal di kawasan berdekatan bersama neneknya dan bersekolah di Klang.

“Kita sedang menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh,” katanya.

Zahedi berkata, siasatan Unit Forensik tidak menemui senjata digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, beliau percaya lebih daripada seorang penjenayah terlibat dalam kejadian tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Pantai Temalah ragut satu nyawa – Metro


Pantai Temalah ragut satu nyawa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA TINGGI: Suasana sedih menyelubungi Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) semalam, apabila seorang bapa menyorong anak keduanya, Mohd Nabil Syazwan, 7, dari wad menggunakan kerusi roda bagi membolehkan anaknya itu itu menatap wajah adiknya yang lemas Pantai Temalah, Sedili Besar di sini, di buat kali terakhir sebelum jenazah dibawa pulang ke Felda Linggi untuk dikebumikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu, Muhammad Nabil Iqbal, 6, murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Linggiu mandi di pantai bersama abangnya, Mohd Nabil Syazwan dan kakak sulung, Norsyazwani, 8, ketika berkelah bersama tujuh ahli keluarganya yang lain.
Bapa mereka, Samsudin Abu Sari, 40, berkata, ketika kejadian mereka sedang makan tengah hari dan melihat tiga beradik berkenaan bermain di tepi pantai.

 

“Kami percaya kejadian berlaku ketika mereka cuba mengambil pelampung yang dibawa ombak sebelum hilang.
“Norsyazwani selamat manakala Syazwan yang terkapai-kapai dalam air berjaya diselamatkan. Bagaimanapun, Iqbal hilang dibawa ombak sebelum mayatnya ditemui terapung kira-kira 1.8 batu nautika di tengah laut oleh pasukan penyelamat semalam (kelmarin),” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), semalam.

Kejadian tanah runtuh berlaku begitu pantas – Ibu mangsa


Kejadian tanah runtuh berlaku begitu pantas – Ibu mangsa

08/08/2011 5:21pm

CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sini semalam berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas selepas hujan lebat tanpa henti selama satu jam.

Munjut a/p Kelet, 69, ibu kepada Jaafar Balad, 48, berkata, semasa kejadian beliau terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom di bahagian tepi rumahnya ketika tinggal berseorangan di dalam rumah itu.

“Saya bergegas keluar dan ternampak rumah Jaafar sudah tenggelam ditimbus tanah,” katanya kepada pemberita semasa menunggu giliran proses pengecaman mayat di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika tragedi itu, Jaafar bersama isterinya Norma Gunung, 51, dan anak mereka Mohd Ikbal Jaafar, 15, sedang menyiapkan juadah untuk berbuka puasa, manakala saudaranya yang lain berada di dalam rumah menunggu waktu berbuka.

Anak lelaki Jaafar iaitu Zulkarnain, 18, ketika ditemui pemberita di hospital itu berkata, beliau mendapat berita tentang kejadian berkenaan pada 5 petang semalam.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada saudara di kampung mengatakan rumah ditimbus tanah runtuh,” katanya, yang merupakan penuntut tahun satu jurusan Diploma Sains Kesihatan di Institut As-Shifa, Taiping. – Bernama