Sekolah agama diceroboh lagi – Berita Harian


Sekolah agama diceroboh lagi
06:04:24 AM Cetak Emel Kawan

Pasir Gudang: Pihak tertentu dikesan memecah masuk Sekolah Agama (SA) Pasir Gudang 2 dekat Taman Air Biru di sini dan merosakkan pelbagai harta benda serta kelengkapan pembelajaran.

Sejak awal tahun ini, sudah tiga kali sekolah itu didakwa dipecah masuk dengan kejadian terbaru disedari pagi semalam, apabila bilik guru, pejabat pentadbiran serta kedai koperasi sekolah dipecah dan diselongkar.

Selain menyelerakkan semua buku dan peralatan dalam almari, penceroboh turut memecahkan komponen beberapa unit komputer yang ada di situ, selain menyembur cat pada carta pentadbiran sekolah terbabit.
Malah, pelbagai jenis barang keperluan yang dikumpulkan dalam koperasi sekolah oleh guru dan pengurusan, untuk diagihkan kepada anak yatim dan murid miskin turut dirosakkan dan dimusnahkan penceroboh.

Setiap kali pencerobohan berlaku, laporan polis dibuat tetapi setakat ini dalang kejadian itu belum mampu dikesan.

Guru yang buntu dengan kejadian itu percaya, pencerobohan terbabit mungkin membabitkan pelajar sekolah itu yang mempunyai masalah disiplin yang bersekongkol dengan orang luar sebagai dalang.

Guru Besar SA Pasir Gudang 2, Mohd Idhaufi Lan, berkata kejadian terbaru disedari jam 7 pagi semalam, ketika guru datang untuk memulakan sesi persekolahan dan percaya penceroboh mahu mencari wang tunai yang disimpan di sekolah itu.

3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar – Bernama


3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar

2012/02/24

KANGAR: Tiga pelajar, seorang daripadanya berusia 16 tahun, adalah antara 10 lelaki yang ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi dari 13 hingga 21 Februari lalu.

Suspek yang dipercayai anggota ‘Geng Kola’ berusia antara 16 dan 27 tahun, dengan lima daripadanya diuji positif dadah, katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

“Kami masih mengesan tiga lagi anggota kumpulan yang masih bebas berumur antara 19 tahun dan lewat 20-an,” katanya.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu juga polis menemui semula empat unit komputer riba, satu komputer netbook, lima telefon bimbit yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

Abdul Rahman berkata, kesemua mereka yang ditahan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dengan penangkapan ini juga polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana membantu menyembunyikan harta curi.
– BERNAMA