Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Di Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan – Bernama


Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Di Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan

GEORGE TOWN: Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) akan menubuhkan satu badan penulis buku-buku ilmu di kalangan pendidik bagi memperbanyakkan jumlah buku ilmu dalam koleksi penerbitan buku di negara ini.

Penasihat PPBMM, Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata bilangan penulis buku ilmu dalam negara perlu diperbanyakkan setanding negara-negara luar agar bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu hasil pembacaan bahan-bahan penerbitan seperti itu mulai sekarang.

Katanya, negara sudah terlalu banyak menghasilkan penulis dalam bidang novel, cereka, cerpen dan drama yang berbentuk kreatif tetapi masih kekurangan dalam menghasilkan penulis buku-buku ilmu untuk menambah pengetahuan rakyat.

“Kebanyakan buku ilmu yang diterbitkan adalah hasil terjemahan penulis barat yang kebanyakan ilmunya berpandukan idea dan pengetahuan barat,” katanya ketika menutup mesyuarat agung PPBMM yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu.

Justeru, katanya, satu usul telah diluluskan sebulat suara supaya PPBMM menubuhkan badan penulis buku ilmu di kalangan pendidik termasuk dari kalangan pensyarah dan pelajar universiti, institusi pendidikan perguruan dan guru sekolah yang kemudian boleh digunapakai sebagai bahan rujukan kepada pelajar dan murid di institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Abdullah berkata dalam mesyuarat itu PPBMM meluluskan sebulat suara usul menjalin kerjasama persefahaman dengan universiti luar negara terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, Jerman dan China dalam bidang bahasa mulai tahun ini.

Katanya, dengan usaha itu Bahasa Melayu boleh diperluaskan ke peringkat antarabangsa selain membuka peluang kepada anggota PPBMM mempelajari bahasa asing.

Sementara itu, Prof Madya Dr Hashim Othman dari USM mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PPBMM bagi sesi 2013-2015. BERNAMA

TAWARAN PERMOHONAN CUTI BELAJAR TANPA GAJI TANPA BIASISWA (CBTG TB) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN AMBILAN TAHUN 2013


TAWARAN PERMOHONAN CUTI BELAJAR TANPA GAJI TANPA BIASISWA (CBTG TB) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN AMBILAN TAHUN 2013

20 February 2013

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,
Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuka peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang ingin mengikut
Program Cuti Belajar Tanpa Gaji Tanpa Biasiswa (CBTG TB) Ambilan Tahun 2013 bagi mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.
Sehubungan itu, PPP yang sedang berkhidmat dengan KPM dan berminat untuk mengikuti program ini boleh mengemukakan permohonan tersebut kepada
Bahagian Tajaan Pendidikan (BT)  bagi mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),
Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta Universiti Luar Negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
Sekian, terima kasih.

 

Muat Turun
Makluman Iklan Tawaran Program CBTG TB 2013
Surat Edaran
LAMPIRAN A
LAMPIRAN B
LAMPIRAN C
LAMPIRAN D
Senarai Semak Permohonan Cuti Belajar
Borang Permohonan Cuti Belajar PPP
Borang Perakuan Ketua Jabatan PPP
Borang Perakuan Kedudukan Kewangan PPP
Borang maklumat Pinjaman Pendidikan
Borang Maklumat Politik PPP

Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara – Utusan


Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara

ALOR GAJAH 12 Jan. – Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka (Imtiaz Melaka) yang lulus beberapa ujian khas termasuk ujian IQ berpeluang melanjutkan pelajaran ke salah daripada 20 universiti terkenal dunia.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berkelayakan iaitu mendapat kesemua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain markah 400 ke atas bagi ujian IQ akan terus diserapkan ke salah sebuah universiti terkenal dunia termasuk Oxford dan Havard.

“Ini berikutan Pusat Kecemerlangan Y2G yang bertanggungjawab menguruskan Imtiaz Melaka mempunyai hubungan secara terus dengan 20 universiti terkenal dunia bagi mewujudkan program berkembar.

“Selain memastikan mereka yang cemerlang ini dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam aliran tertentu, ia sekali gus menjadikan mereka bukan hanya berpengetahuan dalam bidang agama, tetapi juga bidang lain.

“Melalui kerjasama program berkembar ini, mereka akan terus ke peringkat ijazah pertama dalam kursus profesional yang dikenalpasti dan semua ini akan dilakukan untuk tempoh tiga tahun daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Ramah Mesra Sambutan Pelajar Baru Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis meraikan seramai 80 orang pelajar baru itu ialah Panglima Markas 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abd. Majid.

Kata Ahmad Zahid, pelajar-pelajar Imtiaz Melaka diharapkan boleh menjadi contoh yang cemerlang kepada pelajar lain memandangkan mereka yang berkemampuan menghafal al-Quran tidak akan mengalami kesukaran dalam mata pelajaran lain.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, Imtiaz Melaka yang kini mempunyai seramai 170 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua itu menyasarkan kesemua pelajar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM.

Kata beliau, Imtiaz Melaka yang kini dilengkapi beberapa makmal termasuk makmal Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, kaji hayat dan Matematik membolehkan kesemua lepasan Imtiaz Melaka mempunyai cukup persediaan ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama daripada pelbagai agensi yang mengeluarkan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amat diperlukan bagi urusan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Imtiaz Melaka yang melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_07/Pelajar-cemerlang-Imtiaz-Melaka-ke-universiti-luar-negara#ixzz2Hqm2jIGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

KSN: Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu – Bernama


KSN: Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu

28 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penjawat awam yang didapati membeli ijazah palsu, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata polis masih menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memilih jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja untuk memperolehi ijazah.

“Setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang terlibat di dalam pembelian ijazah palsu. Jika hasil siasatan mendapati ada di antara penjawat awam yang terlibat, tindakan tegas akan diambil serta merta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara di sini, hari ini.

Program lima hari itu dihadiri 117 penjawat awam yang bakal melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti di luar negara dalam tempoh terdekat bagi peringkat Sarjana dan Sarjana Muda.

Sebelum ini, media melaporkan ijazah itu dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud.

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary).

Pada majlis yang sama, Ali turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada sektor swasta sebanyak RM1,578 (USD500) kepada setiap penuntut yang terlibat dalam insiden kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di Ames, Iowa, Amerika Syarikat, pada Ahad lepas.

“Ini merupakan susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru supaya pihak swasta mengambil bahagian di dalam aktiviti seperti ini sempena Ramadan mulia ini.

“Secara tidak langsung dapat menggandingkan pihak kerajaan serta swasta dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi bantuan kepada setiap penuntut terbabit berjumlah antara RM6,313 dan RM7,892 (USD2,000-USD2,500).

Ali berkata daripada 17 penuntut terbabit, 10 adalah penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), enam ditaja Mara manakala seorang penuntut persendirian.

“Bantuan yang sama akan diberi kepada penuntut persendirian memandangkan keluarga penuntut itu menanggung beban yang sama seperti penuntut tajaan kerajaan,” katanya.

Sejurus selepas kebakaran itu, katanya sebanyak RM13,132 (USD4160) dikumpul melalui kutipan derma Biro Agama dan Kebajikan Kedutaan Besar Malaysia, Washington, Pertubuhan Malaysian Islamic Study Group serta orang persendirian.

“Kementerian Luar Negeri bersama agensi lain sentiasa memantau keadaan penuntut-penuntut tersebut serta memberi bantuan yang diperlukan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga telah meminta Duta Khas ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaludin Jarjis untuk menyelaras bantuan kepada penuntut terbabit.

Sementara itu, penuntut tajaan JPA Hazwan Izzuddin Hashim, 21, berasa amat bersyukur serta berterima kasih kepada pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan kepada beliau dan penuntut lain.

“Syukur, ini merupakan rezeki Ramadan setelah saya menerima dugaan kerugian akibat kebakaran baru-baru ini,” kata pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu. – Bernama