Ungku Aziz: Belajar sastera dalam semua bahasa – Bernama


Ungku Aziz: Belajar sastera dalam semua bahasa

24 Ogos 2012
Ungku Aziz: Belajar sastera dalam semua bahasa
Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid diberi penerangan mengenai lukisan yang dihasilkan oleh pelukis solo, Sivam Selvartnam. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Subjek kesusasteraan dalam sistem pembelajaran di sekolah tidak harus bertumpu kepada sastera Inggeris semata-mata, sebaliknya wajar meliputi semua bahasa dunia.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata menerusi langkah itu, rakyat negara ini akan dapat memahami budaya bangsa lain di dunia ini.

“Sebab dalam masa 50 tahun dari sekarang mungkin budaya Inggeris tidak begitu penting dan diganti budaya lain. It’s only temporary and it’s already in decline as budaya (Budaya itu hanya sementara dan sudahpun merosot sebagai budaya),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan pameran lukisan solo artis veteran Sivem Selvaratnam, di Universiti Malaya.

Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan pembelajaran subjek kesusasteraan Inggeris peringkat sekolah menengah menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional. – Bernama

Saintis cilik BASF – Kosmo


Saintis cilik BASF

 

Oleh BASIR ABU BAKAR

 

KANAK-KANAK berpeluang mencuba eksperimen sains sambil dibimbing sukarelawan BASF.

 

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana sisa kotoran diasingkan daripada air kumbahan, memisahkan warna berbeza dalam dakwat atau membuat losen badan sendiri?

Adakah anda mengenali bahan perantara yang boleh menyerap cecair 1,000 kali beratnya sendiri?

Bagi menjawab persoalan tersebut, kira-kira 1,500 kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun telah belajar mengenai kaitan bahan kimia dengan kehidupan seharian dunia di sekeliling manusia menerusi program BASF Kids’ Lab, di pusat beli-belah 1Utama baru-baru ini.

BASF merupakan syarikat peneraju bahan kimia terbesar dunia yang berpangkalan di Jerman. Atas nama pendidikan, ia membawa dunia kimia lebih dekat kepada kanak-kanak sempena ulang tahun keenam BASF Kids’ Lab di Malaysia.

Melaluinya, kanak-kanak dididik mengenai kepentingan kimia dalam kehidupan seharian.

Acara yang diadakan di ruang Oval, pusat beli-belah 1Utama itu mempelawa kanak-kanak untuk melangkah ke dalam makmal sains interaktif. Di situ, mereka menjalankan empat eksperimen amali bersama 150 kakitangan sukarelawan BASF yang membimbing dan membantu mereka.

“Di BASF, kami mencipta kimia. Dengan keazaman tersebut, kami di BASF juga fokus pada pendidikan sains dan percaya kanak-kanak hari ini adalah pemikir, penginovasi dan pemimpin hari esok.

“Melalui program Kids’ Lab, kami berharap dapat memupuk minat dan tanggapan positif tentang kimia dalam kalangan generasi muda,” kata Daniel Loh, Pengarah Urusan BASF (Malaysia) Sdn. Bhd.

Empat eksperimen yang selamat dan menyeronokkan di BASF Kids’ Lab adalah di bawah pengawasan teliti kakitangan sukarelawan BASF serta sukarelawan dari Universiti Malaya.

PARA ‘saintis’ muda ini diberikan buku hipotesis dan laporan tentang uji kaji yang mereka jalankan.

 

Semarakkan minat

Eksperimen itu direka bertujuan untuk menyemarakkan minat kanak-kanak terhadap bahan kimia yang digunakan di sekeliling mereka.

“Kanak-kanak akan melihat sisi yang menarik mengenai bahan kimia melalui pendekatan teknik sentuh, rasa dan lihat semasa menjalankan eksperimen.

“Kami gembira menyaksikan lima tahun kebelakangan ini, kanak-kanak telah belajar dan meneroka lebih mendalam dalam tentang sains dan kimia melalui Kids’ Lab.

“BASF berharap dapat memberikan impak ketara dalam meningkatkan minat kanak-kanak dalam inovasi saintifik dan konsep perkembangan mampan untuk masa akan datang,” tambah Daniel.

Kids’ Lab telah menjadi acara tahunan BASF di Malaysia semenjak tahun 2006.

Syarikat itu juga menjadi penaja global untuk Tahun Kimia Antarabangsa 2011 dan menyokong inisiatif tersebut dengan mengembangkan fungsi dan pengisian BASF Kids’ Lab di Malaysia tahun ini.

Untuk kali pertama sejak dilancarkan, Kids’ Lab diadakan di kawasan pusat beli-belah keluarga untuk tempoh lima hari dan dibuka kepada orang awam untuk memberi kanak-kanak dan ibu bapa peluang mempelajari kimia dengan lebih mendalam lagi.

Program tersebut menawarkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun peluang untuk menerokai dunia kimia melalui eksperimen kimia yang bersifat akademik, mudah dan selamat.

BASF Kids’ Lab telah diperkenalkan di rantau Asia Pasifik pada tahun 2002. Sejak itu, lebih 200,000 kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Kini, program itu turut dijalankan di 17 buah negara dan rantau di Asia Pasifik termasuk Australia, China, Hong Kong, Taiwan, India, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura dan Thailand.