Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula – Sinar Harian


Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
NIZAM ZAIN
21 Ogos 2013
  •  Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – [Video] Subjek sejarah perlu diperkenalkan semula di sekolah bagi melahirkan perpaduan kaum yang dilihat semakin rapuh sejak akhir-akhir ini.
Malah dalam beberapa isu yang ditimbulkan beberapa pihak sebelum ini juga turut mengaitkannya dengan sensitiviti kaum negara ini.

Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sejak subjek itu digantikan dengan Kajian Tempatan, anak-anak muda seolah-olah melupakan sejarah negara hingga sanggup menggadaikan perpaduan nasional dengan memuat naik kenyataan di internet yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

“Subjek Kajian Tempatan dengan Sejarah berbeza. Kajian Tempatan menggabungkan elemen-elemen ada hal ehwal semasa, sejarah, ilmu alam dan kemasyarakatan, namun gabungan itu hanya dipelajari secara umum.

“Sebab itu kita perlukan satu mekanisme atau saluran untuk melahirkan semangat berpadu itu di kalangan pelajar dari usia muda lagi supaya mereka merasakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai inspirasi yang sama untuk menyayangi negaranya,”

“Kita perlu ajar sejarah di sekolah khususnya untuk mengenal tentang asal-usul negara, tamadun dunia sekali gus melahirkan perasaan patriotisme di kalangan pelajar kerana mata pelajaran itu akan diguna pakai semua kaum dan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir anak muda yang semakin melupakan sejarah negara dengan pelbagai cubaan menjejaskan keharmonian perpaduan nasional dengan memuat naik pelbagai kenyataan kontroversi termasuk menimbulkan ketegangan kaum di laman sosial mutakhir ini.

Tambah beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, mata pelajaran sejarah itu juga akan turut memuatkan nilai-nilai murni dan membentuk jati diri supaya mereka bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Dalam buku sejarah itu, kita semaikan perasaan sayangkan negara, semangat perpaduan, bekerjasama, toleransi, hormat-menghormati, seperti lapan tonggak dalam agenda 1Malaysia, kita masukkan semua elemen itu, apabila anak-anak baca buku itu, kita dapat didik hati dan fikiran mereka tentang perlunya perpaduan, tidak lagi dilihat seperti bermusuh.

“Mereka juga perlu berasa bangga kerana itu adalah identiti Malaysia yang kita hendak semaikan dalam diri anak-anak kita melalui silibus sejarah ini,” jelasnya sambil menambah generasi baru perlu dididik dengan sikap toleransi yang tinggi dan mengelakkan permusuhan antara kaum dan menggalakkan mereka bersaing untuk memajukan diri.

Katanya, sudah masanya mata pelajaran sejarah itu dikembalikan di sekolah bagi mengatasi sindrom golongan muda yang kian melupakan dan menghayati sejarah negara baik sebelum terbentuknya Malaysia ataupun selepas kemerdekaan negara dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN

InSTAR menang tujuh pingat pertandingan inovasi antarabangsa – Utusan


InSTAR menang tujuh pingat pertandingan inovasi antarabangsa

Pasukan Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak memperagakan pingat kejayaan masing-masing yang dimenangi dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa di Pekan, Pahang baru-baru ini.

PASUKAN Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR), Pekan, Pahang berjaya mencipta nama di pertandingan inovasi peringkat antarabangsa dengan memenangi tujuh pingat di tiga benua berbeza iaitu Amerika, Eropah dan Asia.

Guru pembimbing projek inovasinya, Mohd. Fakharudin memberitahu, kejayaan pertama ditempa di tanah air sendiri dengan memenangi satu pingat emas dan satu anugerah khas daripada Malaysian Invention and Design Society (MINDS) melalui ciptaan bertajuk Eco-Air Purifier di Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada awal Mei lalu.

“Konsep projek dan hasil kajian adalah menggunakan bahan buangan yang banyak dihasilkan di negara kita ditukar kepada satu produk yang mesra alam.

“Terbukti ia membuahkan kejayaan dan ini akan mendorong kami untuk membudayakan kajian dan penyelidikan seawal di sekolah menengah lagi serta dapat menghasilkan modal insan yang boleh menyumbangkan tenaga dan idea kepada negara pada masa akan datang,” katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seterusnya, InSTAR mencipta nama melalui dua puterinya yang menggondol pingat gangsa dalam pertandingan International Sustainable Energy, Environment and Engineering Project (I-SWEEEP) di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Dua pelajar berkenaan, Anissa Abu Khalid dan Nur Ain Syafiqah Mohd. Noordin berjaya melalui penghasilan bahan komposit daripada sisa buangan nenas yang mampu mengurangkan penggunaan minyak mentah dalam penghasilan produk berasaskan plastik.

Kata Anissa, sisa buangan yang diperoleh daripada tanaman berkelompok nenas di kawasan Pekan mempunyai nilai potensi yang tinggi dalam menghasilkan produk plastik.

“Sifat gentian sisa buangan nenas ini sesuai sebagai bahan tambah kepada produk plastik kerana ia akan dapat mengurangkan penggunaan petroleum dalam penghasilan plastik serta meminimakan masalah pembakaran sisa dari ladang nenas,” jelasnya.

Kejayaan terus dikecapi oleh InSTAR yang berjaya membawa pulang dua pingat perak serta Anugerah Khas daripada Persatuan Reka Cipta Korea (KIA) di European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT), Romania.

Ia diperoleh melalui kajian bertajuk ‘ParBo‘ From Biomass Waste of Palm Oil dan Cement Board (CB) From Rice Straw.

Melalui kajian itu, produk Parbo yang dihasilkan di negara kita mampu menggantikan papan serpai yang banyak dihasilkan dari kayu pokok getah dalam industri perabot serta penghasilan CB daripada jerami padi dapat mengurangkan pembakaran terbuka di kawasan penanaman padi.

Terkini, pelajar InSTAR, Muhammad Khairi Ramli dan Muhamamd Hisyamuddin Abd Rahman memenangi pingat perak di International Environment Project Olympiad (INEPO) di Istanbul, Turki.