30,000 Orang Dijangka Sertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pasir Puteh – Bernama


30,000 Orang Dijangka Sertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Kira-kira 30,000 rakyat dijangka menyertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai di sini Khamis ini.

Pengerusi Pembangunan Parlimen Pasir Puteh Zawawi Othman berkata mereka terdiri daripada rakyat pelbagai peringkat termasuk guru, petani, nelayan, pekebun dan peniaga kecil.

Zawawi, yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, memberitahu pemberita di sini Selasa kehadiran Muhyiddin akan memberi suntikan dalam usaha Barisan Nasional (BN) untuk merampas empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau berkata ia juga memberi harapan besar untuk menawan kerusi Parlimen Pasir Puteh yang turut dimenangi PAS pada PRU Ke-12.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Cherang Rotan Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berharap kehadiran pemimpin nombor dua negara itu akan dapat memberi suntikan semangat kepada golongan petani yang masih hidup dalam kemiskinan.

Katanya sebilangan besar penduduk di Pasir Puteh terdiri daripada golongan petani yang sentiasa berharap mendapat pembelaan daripada sebuah kerajaan yang mampu mengubah taraf hidup mereka, setelah terbukti kerajaan PAS gagal berbuat demikian.

Muhyiddin dijadual memulakan lawatan sehari ke negeri ini dengan mengadakan perjumpaan tertutup bersama pemimpin BN Kelantan di Kota Baharu.

Beliau kemudian akan mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan sebelum menghadiri perjumpaan khas bersama penjawat awam persekutuan dan negeri di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. -BERNAMA

Guru Ditetak Dengan Parang – Bernama


Guru Ditetak Dengan Parang

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki cedera ditetak dengan parang oleh dua orang lelaki bertopeng di hadapan Maktab Perguruan Sultan Mizan di Besut petang semalam.

Akibat tetakan itu mangsa yang berumur 35 tahun dan berasal dari Jalan Semarak, Besut cedera di belakang badan, tangan kanan dan kaki kiri.

Pihak polis yang tidak menolak kes itu berlaku akibat dendam telah mengenal pasti salah seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata kejadian berlaku kira-kira 6.20 petang yang pada mulanya guru berkenaan yang mengajar di sebuah Sekolah Kebangsaan telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang ingin menemuinya.

“Sebaik mangsa dan adiknya sampai di tempat kejadian, mereka telah didatangi dua buah kereta bercermin gelap sebelum dua lelaki bertopeng keluar dari kereta itu dan terus menetak mangsa dengan parang.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besut oleh adiknya. Selain bertugas sebagai guru, mangsa yang masih bujang turut menjalankan perniagaan menjual barangan kosmetik,” katanya.

Selain Manoharan berkata pihak polis telah mengenal pasti suspek dan gerakan sedang dilakukan bagi memburu seorang kontraktor bagi membantu siasatan.

“Kita sedang mengesan seorang kontraktor yang bernama Che Wan Sharmizie Che Wan Mat yang berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Baru Bukit Tumbuh, Besut.

“Kita telah membuat serbuan di rumah suspek, namun gagal mengesan suspek dan dipercayai suspek telah melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. BERNAMA

Kaji kaedah beri dana guru Kafa, imam – Bernama


Kaji kaedah beri dana guru Kafa, imam

JAMIL Khir Baharom (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Kamaruddin Mat Zain (kiri) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, semalam. Tiga dari kiri Mustapa Mohamed.

 

KOTA BHARU 6 Feb. – Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji kaedah pemberian dana latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta imam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bagi memastikan dana tersebut dapat memenuhi matlamat membantu golongan sasar.

Tanpa menyebut kos pembiayaan kerajaan, beliau berkata bantuan itu membabitkan 34,000 guru Kafa dan 14,000 imam di seluruh negara.

“Kita sedang mengkaji kaedah pemberian dana itu, sama ada disalurkan kepada kerajaan negeri atau diagihkan secara berpusat,” katanya selepas merasmikan sambutan Mau lidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian malam tadi.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan cek bernilai RM3.8 juta kepada Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Datuk Kamaruddin Mat Zain sebagai bantuan elaun imam di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pemberian kerajaan menerusi dana khas itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan guru Kafa dan imam kepada masyarakat melalui latihan yang diberikan selain menambah elaun kakitangan terbabit.

“Ini dapat dilaksanakan menerusi modul latihan yang diberikan melalui Institut Latihan Ilmu Islam Malaysia (ILIM) di bawah Jakim,” katanya. – BERNAMA

JAKIM kaji kaedah pemberian dana kepada guru KAFA, imam – Bernama


JAKIM kaji kaedah pemberian dana kepada guru KAFA, imam 

2012/02/06

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji kaedah pemberian dana latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta imam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata langkah itu bagi memastikan dana terbabit dapat memenuhi matlamat membantu golongan sasar.

Tanpa menyebut kos pembiayaan kerajaan, beliau berkata, bantuan itu membabitkan 34,000 guru KAFA dan 14,000 imam di seluruh negara.

“Kita sedang mengkaji kaedah pemberian bantuan kerajaan menerusi dana itu, sama ada akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri atau diagihkan secara berpusat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, di sini malam tadi. – BERNAMA