Tangguh bayar bil demi anak – Sinar Harian


Tangguh bayar bil demi anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mohd Saian (dua,kiri) dan anaknya membuka paip selepas bekalan air disambungkan semula ketika kunjungan ahli Peka sempena Program Bantuan Bekalan Air.

KUALA SELANGOR – Demi membayar kos pengajian anak sulung berjumlah hampir RM3,000, sebuah keluarga di Lot 4906, Jalan Dato Abd Aziz, Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini sanggup menangguhkan pembayaran bil air sehingga tertunggak sebanyak RM160.77 sejak hampir sebulan lalu.

Lebih menyedihkan, sepanjang bekalan air terputus, pasangan suami isteri yang mempunyai 10 anak dan sembilan daripadanya masih bersekolah itu menggunakan bekalan air hujan yang ditadah setiap hari dan jika tidak mencukupi, mereka bergantung ihsan jiran tetangga.

Pasangan itu, Mohd Saian Rojakon, 55, yang bekerja sebagai petani bergantung hidup dengan hasil tanaman dan kerja kampung dianggarkan berjumlah RM300 setiap bulan itu nekad mengutamakan pendidikan anak sehingga terpaksa menggunakan wang disimpan untuk utiliti.

“Wang dikumpulkan digunakan untuk membiayai kos pengajian anak yang kini di tahun akhir ijazah sarjana muda perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala anak kedua turut melanjutkan pelajaran ke Politeknik di Kedah.

“Wang yang ada cukup-cukup sahaja untuk menanggung tujuh lagi anak yang masih bersekolah di peringkat menengah dan sekolah rendah di sini, namun saya bernasib baik kerana isteri, Noriah Noyo, 44, membantu menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Setakat ini, kami tidak dapat bayar bil air disebabkan kekangan kewangan meskipun bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Bantuan Bekalan Air anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka).

Mohd Saian berkata, dia terharu apabila ada pihak prihatin dengan masalah kewangan dihadapinya dan menerima sumbangan air percuma sehingga enam bulan sekali gus dapat meringankan beban ditanggung selama ini.

“Saya juga difahamkan, mereka akan memantau sekiranya ada kebocoran paip bagi mengelakkan penggunaan keterlaluan dan pada masa sama, saya dapat menjimatkan wang selama enam bulan untuk membayar bil utiliti lain dan guna wang itu untuk keperluan harian.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada Peka dan Syabas yang datang ke rumah memberikan sumbangan dan mendidik anak kami untuk lebih berhemah menggunakan air pada masa akan datang,” katanya.

Setakat ini, difahamkan seramai 327 keluarga menerima manfaat melalui program Peka dan jumlah sumbangan bergantung kepada keikhlasan pemberi yang terdiri kakitangan Syabas, Puncak Niaga, badan korporat dan individu serta tidak terhad kepada mereka yang menerima subsidi air dari Kerajaan Negeri.

Sumbangan diterima berjumlah RM309,338.45 manakala sejumlah RM2,441.60 diterima secara berperingkat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan komitmen derma adalah RM311,780.05.

Seminar PMR 2012 – Berita Harian


Seminar PMR 2012
2012/06/08

PERTANYAAN boleh hubungi Urus Setia Seminar Mariyahtul Kabtiyah Ree 03-22822323 sambungan 4772 dan Hadri Harith sambungan 4769.

Pendaftaran juga boleh dibuat menggunakan borang penyertaan yang disiarkan dalam Berita Harian dan sisipan Minda.
SHAH ALAM: Pusat Tuisyen al-Hikmah, No.73A & B, Jalan Pelabur B, 23/B, seksyen 23, Shah Alam (03-55421598/03-55411771). Seminar diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) . Tarikh: 16 dan 17 Jun.
UIAM GOMBAK: Kios Pendidikan, Berita Harian, Balai Berita, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut hubungi Urus Setia (Mariyahtul Kabtiyah Ree 03-22822323 samb. 4772 dan Hadri Harith samb, 4769 atau Muhd Naufal 019-3374553/017-6685923. Tempat: Dewan Auditorium A, Fakulti Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tarikh: 23- 24 Jun.

KEDAH (UUM): Seminar akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Pertanyaan boleh menghubungi Shamsuddin Oli (017-4729890). Tarikh: 6 dan 7 Julai.

PERLIS: Hubungi Shamsuddin Oli (017-4729890). Tarikh: 7 dan 8 Julai.

KUALA LUMPUR: Seminar akan diadakan di Dewan Seminar Anjung Riong, NSTP Jalan Riong. Pertanyaan juga boleh menghubungi Urus Setia Seminar (Mariyahtul Kabtiyah Ree 03-22822323 samb. 4772 dan Hadri Harith samb, 4769. Tarikh: 30 Jun dan 1 Julai

Rombakan beri faedah kepada semua pelajar – Berita Harian


Rombakan beri faedah kepada semua pelajar

2012/03/17

Pelan pembangunan pendidikan mentransformasi generasi muda

KUALA LUMPUR: Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan memberi faedah kepada generasi muda, termasuk mentransformasikan mereka menjadi lebih bersedia untuk berdepan perubahan serta cabaran global.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Katanya, dalam proses perancangan yang dijalankan kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.

“Kita kena fikir di luar kotak kerana ini membabitkan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Oleh itu panel jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam rombakan ini tidak sepatutnya membabitkan hanya ‘orang lama’ tetapi kumpulan berbeza usia termasuk generasi muda supaya maklum balas mereka lebih menepati apa yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.
Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, pula berkata sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan menafikan bakat serta pembinaan karakter pelajar.

Katanya penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.

“Oleh itu pada peringkat pembentukan pelan ini, kerajaan perlu pastikan penilaian dilakukan dengan lebih bersepadu dan seimbang dengan menekankan meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter,” katanya.