Karuna (kanan) menemani anaknya, Yoshita mengulang kaji subjek seterusnya selepas selesai menduduki kertas peperiksaan pertama UPSR, Kertas Bahasa Malaysia 1.
KUALA TERENGGANU – Seramai 22, 359 murid tahun enam menduduki UPSR semalam di seluruh negeri ini menyaksikan pelbagai ragam ibu bapa dilihat lebih merasai debaran ketika menghantar anak menuju ke dewan peperiksaan.
Daripada tinjauan Sinar Harian ada ibu bapa yang sanggup mengambil cuti bagi memberi sokongan dan menemani anak masing-masing.
Seorang bapa, Karuna Karan, 52, berkata, dia yang bekerja di sebuah syarikat swasta telah memohon cuti sejak awal lagi bagi menemani anaknya menduduki UPSR.
Katanya, sejak dua minggu yang lalu dia mula menemani anak kedua daripada empat beradik, Yoshitaa, 12, mengulang kaji pelajaran pada waktu malam untuk memberi semangat.
“Sebagai tanda sokongan saya menemani dia belajar sehingga lewat malam. Saya bantu dia belajar subjek Bahasa Malaysia,” katanya semasa ditemui di SK Sultan Sulaiman 1, di sini.
Kata Karuna, anak keduanya itu mendapat keputusan 3A 2B dalam peperiksaan percubaan yang lalu dan dia berharap Yoshitaa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar.
Seorang pensyarah di sebuah kolej, Rohana Mat Husin, turut melakukan hal yang sama apabila sanggup mengambil cuti untuk menemani anaknya, Nor Adlina Mohd Aluwi yang menduduki peperiksaan UPSR.
“Saya yakin dia (anaknya) telah membuat persediaan dan belajar bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan lagi, cuma harapannya apabila kita ada bersama menemani akan beri lebih semangat kepadanya,” katanya,
Nor Adlina mendapat 4A1B pada peperiksaan percubaan yang lalu.
Seorang lagi ibu, Linda Hassan, 35, berharap anaknya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang apabila dia menemaninya biarpun terpaksa menghabiskan masa seharian di sekolah.