Usah tembak asal pokok bergoyang – Metro


Usah tembak asal pokok bergoyang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kejadian seorang guru maut akibat terkena tembakan abang iparnya ketika berburu di Tampin, Rabu lalu boleh dielakkan sekiranya kedudukan setiap individu yang menyertai aktiviti itu diketahui dengan teliti.

Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang memiliki senjata api untuk berburu perlu peka, berhati-hati dan tenang ketika menjalankan aktiviti berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Mereka perlu tahu kedudukan orang lain yang menemani sama ada di belakang, selari serta tidak bertentang.

 

“Ketika berburu jangan terlampau teruja, berhati-hati dan tenang kerana disebabkan perasaan membuak-membuak mahu menangkap haiwan liar, tembakan dilepaskan hanya disebabkan pokok bergoyang tanpa mengetahui mungkin ia disebabkan rakan sendiri,” katanya yang dihubungi semalam.
Akhbar semalam melaporkan seorang guru maut akibat terkena peluru penabur daripada tembakan abang iparnya ketika mereka memburu rusa bersama tiga rakan di hutan Kampung Anak Air, Durian Daun, Pondoi di Tampin, Negeri Sembilan. Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, abang ipar mangsa berusia 52 tahun dikatakan melepaskan tembakan senapang patah ke arah pokok bergoyang dalam gelap kerana menyangkakan terdapat haiwan buruan. Bagaimanapun, lelaki terbabit terperanjat besar apabila mendapati adik iparnya, Amir Ain, 40, parah di perut manakala rakan mereka, Mohd Isa Salican, 50-an yang bekerja di ladang lembu di kampung itu cedera di bahagian pinggul. Amir disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tampin akibat kecederaan parah dialaminya itu, manakala Mohd Isa kini dirujuk ke Hospital Melaka. Ramli berkata, kecuaian menjadi penyebab kejadian tertembak rakan sendiri berlaku ketika aktiviti pemburuan haiwan.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika pemilik senjata api itu berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko akibat kecuaian,” katanya.