Usah usik duit RM100 – Metro


Usah usik duit RM100

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

NILAI: Kementerian Pelajaran memberi amaran supaya pihak sekolah tidak membuat pemotongan Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 yang bakal diagihkan kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, surat pekeliling mengenai amaran pemotongan wang itu sudah dihantar ke semua sekolah di seluruh negara.
“Pihak sekolah tidak dibenarkan melakukan pemotongan wang untuk apa tujuan sekalipun termasuk tunggakan yuran sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

 

“Wang ini bertujuan meringankan beban ibu bapa murid dan kami tidak mahu mendengar aduan ibu bapa mengenai hal ini (pemotongan) bagi membolehkan bantuan sampai kepada penerima,” katanya pada sidang media selepas melawat Kolej Tunku Kurshiah (TKC) yang berpindah ke bangunan baru di Bandar Enstek, di sini, semalam.
Katanya, 5.4 juta pelajar daripada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah seluruh negara menerima bantuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2013.
“Tetapi, kami juga tidak mahu mendengar aduan sekolah membuka kaunter khas untuk bayaran tunggakan ketika pengagihan wang bantuan berkenaan.

 

 

“Bagaimanapun, terpulang kepada ibu bapa sama ada mahu membayar yuran PIBG atau tunggakan, tetapi bukan pemotongan dilakukan oleh sekolah,” tegasnya. Dalam perkembangan lain, Mohd Puad berkata, TKC menjadi satu-satunya sekolah berasrama penuh perempuan menawarkan program ‘International Baccalaureate’ (IB) kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Melalui program dua tahun itu, pelajar diberi biasiswa dengan kelas diasingkan daripada kelas pelajar lain dan tenaga pengajar pula terdiri daripada guru TKC dan guru khas,” katanya.

 

Beliau berkata, TKC memulakan pengambilan 100 pelajar IB bermula tahun depan dan ketika ini, hanya Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menawarkan program berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03