Usaha tak sia-sia – Metro


Usaha tak sia-sia

Oleh ARDYHANSAH AMAT
ardyhansah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Usaha membawa penyokong satu bas tidak sia-sia apabila berjaya menyuntik semangat Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent dari Johor Bahru untuk menjuarai pertandingan Who’s The Genius? Cabaran Nasional 2011, di sini, semalam.

Sekolah mewakili Zon Selatan itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tiga pelajarnya, Nurul Iman Athirah Ahmad Fauzi, Ungku Eisya Ereena Ungku Mohd Shahrin dan Diyanah Nasir masing-masing berumur 12 tahun, mendapat RM3,000.
Bagi Nurul Iman, semangat berpasukan serta tidak mudah berputus asa menjadi kunci utama kemenangan mereka.

 

“Kami banyak mengadakan ulang kaji serta latihan menjawab soalan bersama-sama guru pembimbing. Selain itu, ibu bapa banyak mendorong, termasuk membantu mendapatkan maklumat menerusi Internet.
“Memang kami tidak menjangkakan akan menang memandangkan peserta dari sekolah lain juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
Dengan kemenangan itu, SK Infant Jesus Convent mengalahkan tiga sekolah lain iaitu SK Sungai Duri, Seberang Prai Selatan di tempat kedua, SK St Paul, Seremban (ketiga) dan SK Kerteh, Terengganu (keempat).

 

 

Pertandingan anjuran Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) itu bermula sejak Mei lalu membabitkan 100 sekolah rendah di empat zon sekitar Semenanjung Malaysia.
Kemudian empat pemenang di setiap zon pula bertanding di peringkat akhir yang berlangsung di Jusco AU2, Setiawangsa.

 

Pengurus jenama Dutch Lady, Quah Ye Vian berkata, pertandingan itu kali pertama dianjurkan pihaknya bertujuan mengasah pemikiran kreatif di kalangan peserta.