Suami, isteri jadi contoh anak-anak – Metro


Suami, isteri jadi contoh anak-anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: “Bukan mudah untuk menjalankan tugas sebagai pekerja, ibu bapa dan pelajar dalam satu masa. Namun demi masa depan keluarga dan menjadi contoh baik kepada enam anak, kami teruskan juga.”

Demikian perasaan dikongsi pasangan suami isteri, Saiful Bahrin Husaini, 44, dan Hazlin Mohamed, 45, yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Bahasa Melayu) dalam istiadat konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-40, di sini, semalam.
Menurut Saiful, dia dan isteri tekad untuk menyambung pelajaran setakat diploma sebelum ini ke peringkat lebih tinggi bagi meningkatkan kualiti diri selain mahu memberi contoh baik kepada enam anak mereka berusia antara 11 dan 18 tahun.

 

“Setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak pada 2008, bermulalah tugas kami sebagai pelajar setiap hujung minggu kerana pada hari biasa kami sibuk bekerja.
“Situasi tahun pertama amat mencabar kerana saya masih tidak pandai membahagikan masa antara kerja, ketua keluarga, suami dan pelajar,” katanya.
Selain itu, katanya, dia juga perlu berdepan cabaran psikologi apabila ada di kalangan adik beradiknya seakan tidak yakin kemampuan dia dan isteri memikul tugas sebagai penuntut universiti pada usia lanjut.

 

 

Saiful yang juga Pembantu Pegawai Pengurusan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi berkata, tanggapan itu lama kelamaan hilang setelah mereka membuktikan pelajaran bukan sesuatu membebankan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23