Ambil tindakan tegas terhadap guru, pusat tuisyen – Utusan


Ambil tindakan tegas terhadap guru, pusat tuisyen

JOHOR BAHRU 2 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pusat tuisyen yang mengedarkan nota ringkas subjek Sejarah yang memaparkan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana telah menyentuh isu agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Menurutnya, perkara seperti itu bukanlah yang pertama berlaku tetapi telah berulang kali dan perlu dikenakan tindakan tegas sebagai iktibar kepada pihak lain.

“Saya akui negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, tetapi status Islam sebagai agama rasmi mesti dihormati dan difahami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Murid dipercayai didera menghilangkan diri – Utusan


Murid dipercayai didera menghilangkan diri

PULAU PINANG 1 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki di Sungai Nibong di sini, yang dipercayai menjadi mangsa dera bapa kandungnya dilaporkan menghilangkan diri sejak dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkifli Ismail berkata, pihaknya gagal mengesan murid tahun lima itu sejak petang semalam.

“Pagi ini, pegawai JKM pergi ke sekolahnya tetapi pihak sekolah memaklumkan dia sudah dua hari tidak hadir ke sekolah.

“Gurunya memberitahu murid terbabit ada meminta surat bertukar sekolah pada Isnin lalu, namun selepas itu dia terus tidak datang ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan seorang lelaki mengenai nasib anak saudara tirinya yang dipercayai menjadi mangsa dera sejak setahun lalu.

Kehilangan Nur Aqila bimbangkan keluarga – Utusan


Kehilangan Nur Aqila bimbangkan keluarga

NORAZURA Mohd. Arshad menunjukkan laporan polis dan gambar anak perempuannya, Nur Aqila Natasha Zaini (gambar kecil, kanan) di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, semalam. Remaja di sebelah Nur Aqila ialah kakaknya, Nur Ain.

 

KUALA LUMPUR 29 Mac – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.

Nur Aqila Natasha Zaini dikatakan tidak pulang ke rumah bapanya di Bandar Tasik Selatan di sini sebelum satu laporan polis dibuat oleh ibunya, Norazura Mohd. Arshad, 38, di Balai Polis Salak Selatan pada Isnin lalu.

Menurut Norazura, kali terakhir dia berjumpa Nur Aqila Natasha adalah pada 17 Mac lalu ketika anak keempatnya itu datang ke rumahnya di Desa Pakar Jalan Sungai Besi.

“Aqila dan abangnya, Asyrul tinggal bersama bekas suami saya di Bandar Tasik Selatan dan akan datang ke rumah saya apabila ada kelapangan.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Cabul: Tauliah jurulatih pengakap ditarik balik – Utusan


Cabul: Tauliah jurulatih pengakap ditarik balik

KUALA LIPIS 17 Mac – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menarik balik tauliah seorang jurulatih yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di ibu negara pada Jun tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, ia merupakan kes terpencil dan tiada kena mengena dengan latihan pengakap yang dilaksanakan di sekolah menengah itu.

“Setelah menerima aduan, PPM menyerahkan kepada polis membuat siasatan dan hari ini menerusi media, saya mengetahui Mahkamah Majistret melaksanakan pertuduhan berasaskan undang-undang tertentu.

“Menerusi temu bual kami dengan beberapa pihak, kes itu (cabul) adalah berasingan dan tiada kaitan dengan pengurusan serta latihan pengakap di sekolah menengah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang jurulatih pengakap yang berdepan dengan sembilan tuduhan mencabul kehormatan lapan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah, semalam sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan sama.

Mohamad Shahrom berkata, pihaknya menarik balik tauliah jurulatih dan penolong individu berkenaan sehingga Mahkamah Majistret membuat keputusan dalam kes tersebut.

“Saya anggap kes ini telah selesai di peringkat PPM dan tunggulah mahkamah membuat keputusan berasaskan undang-undang tertentu,” katanya.

Menurutnya, siasatan PPM menunjukkan, kegiatan Pengakap Remaja sekolah menengah itu mematuhi garis panduan Skim Latihan Pengakap Malaysia, termasuk prosedur lain iaitu pendaftaran, tauliah guru dan jadual latihan kokurikulum badan beruniform berkenaan.

Katanya, PPM memandang serius kejadian tersebut yang disifatkan mencalarkan imej pengakap iaitu antara pasukan beruniform sukarela tertua di negara ini.