Warga SJKT Jugra dapat bangunan baru – Sinar Harian


Warga SJKT Jugra dapat bangunan baru

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

JUGRA – Berita gembira buat warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jugra!

Mereka kini boleh tersenyum kerana bakal menerima bangunan baru setelah Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bernilai RM2.8 juta untuk pembinaannya.

Peruntukan untuk membina bangunan tiga tingkat yang mempunyai 12 buah kelas berkenaan adalah pendekatan Kerajaan Pusat dalam memastikan masyarakat India menerima pendidikan yang selesa seiring peningkatan taraf pendidikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, bagi tahun ini sahaja sebanyak RM100 juta peruntukan khas telah disalurkan untuk kerja menaik taraf kira-kira 200 sekolah Tamil di seluruh negara.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf akan dimulakan dalam masa dua bulan ini bakal memberi manfaat kepada warga sekolah berkenaan.

“Ini merupakan usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap pendidikan di sekolah Tamil seluruh negara agar setaraf dengan sekolah jenis lain di negara ini,” katanya dalam sidang media majlis perasmian bangunan berkenaan di sekolah tersebut.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan dakwaan terdapat ramai masyarakat India yang tidak berpeluang mengikuti kempen MyDaftar, beliau menegas ianya tidak benar.

“Jika benar apa dakwaan itu, saya harap mereka tampil tunjukkan bukti dan jangan hanya tahu berkata-kata.

“Kita sudah membuka pendaftaran di 85 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Malaysia dengan penglibatan seramai 1,500 sukarelawan bagi mengesan mereka yang mempunyai masalah dokumentasi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan membantu masyarakat India yang mengalami masalah berkenaan dan mereka diminta tampil untuk memudahkan urusan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasiman Sidom dan Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli.

Pada majlis sama turut diselitkan perasmian majalah sekolah berkenaan yang disempurnakan Subramaniam.

CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA – Utusan


CUEPACS tetap enggan sertai panel semak SBPA
Oleh S Anand Kumar

2012/01/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS tetap dengan pendiriannya tidak menyertai pasukan petugas khas semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan untuk menganggotai pasukan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menegaskan tindakan CUEPACS tidak sepatutnya dilihat sebagai mengugut, sebaliknya menunjukkan pihaknya amat serius untuk memberi input dalam membincangkan penambahbaikan SBPA.

“Saya akan hadir mesyuarat kedua yang dijadual 8 Februari ini, sekiranya tiga pemimpin CUEPACS tidak dibenarkan masuk, maka saya akan keluar daripada mesyuarat itu.

“Tidak adil dan tidak wajar apabila ada 19 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dalam pasukan itu, tetapi CUEPACS hanya dibenarkan menghantar satu wakil.

“Kehadiran tiga pemimpin kanan CUEPACS itu bertujuan untuk bersama-sama membangkitkan pelbagai cadangan kerana mereka juga mewakili kesatuan sekerja dan mempunyai maklum balas yang ingin disampaikan kepada pasukan petugas.

“Saya amat berharap pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor.
Omar berkata, sehingga sekarang ketiga-tiga pemimpin CUEPACS itu masih belum menerima sebarang surat jemputan daripada pasukan petugas khas dan beliau amat berharap perkara itu akan disegerakan sebelum berlangsungnya mesyuarat kedua.

Selain tiga lagi wakil, CUEPACS turut mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan antaranya mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum dan menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong pendirian Omar dan berharap kerajaan akan memberi lebih ruang kepada wakil kesatuan untuk membantu melakukan penambahbaikan skim berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya dengan kehadiran lebih ramai wakil kesatuan sekerja pelbagai isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersama tanpa sebarang masalah.

“Tiga pemimpin kanan CUEPACS itu dapat membantu Omar dalam mesyuarat selain secara bersama-sama dapat membuat keputusan bagi pihak 1.2 juta kakitangan awam,” katanya.

Anak pekerja Petronas Carigali maut terhidu gas beracun – Utusan


Anak pekerja Petronas Carigali maut terhidu gas beracun

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Anak seorang kakitangan Petronas Carigali Sdn. Bhd., maut manakala empat lagi ahli keluarganya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas beracun yang dipercayai berlaku di kediaman mereka di Turkmenbashi, Turkmenistan awal pagi inii.

Mangsa, Nurdanisha Farhana, 10, meninggal dunia beberapa jam selepas dikejarkan ke sebuah hospital di kawasan tersebut.

Menurut jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat, keluarga tersebut tinggal di Turkmenbashi yang dipercayai merupakan kawasan operasi pengeluaran gas.

Setakat ini pihak kedutaan masih lagi memantau dan menunggu laporan penuh pihak Petronas berikutan kawasan itu terletak jauh dari bandar.

“Kakitangan Petronas itu masih belum dikenal pasti, isteri dan dua lagi anaknya dilaporkan stabil dan kini menjalani rawatan di hospital yang sama.

“Kita juga belum dapat memastikan lokasi kejadian sama ada di rumah mangsa atau lain-lain tempat selain punca berlakunya insiden itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, dua anak lelaki mangsa akan dibawa ke sebuah hospital di Dubai dalam waktu terdekat bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Turut difahamkan, kakitangan Petronas itu baru setahun 10 bulan bertugas di kawasan tersebut.

Tambah jurucakap itu, berdasarkan laporan Petronas, setakat ini hanya seorang sahaja iaitu Nurdanisha Farhana yang disahkan meninggal dunia.

Katanya, usaha untuk membawa pulang jenazah Nurdanisha Farhana juga masih dalam perbincangan dan pihak kedutaan akan memaklumkan perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay ketika dihubungi lewat petang ini mengesahkan kejadian itu.