Ibu, 2 anak maut kemalangan – Utusan


Ibu, 2 anak maut kemalangan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

ORANG ramai melihat kereta Perodua Viva yang remuk setelah bertembung dengan sebuah lori ais di jalan Kota Bharu-Pasir Putih, Kota Bharu, semalam. – MINGGUAN/ROSNI MASRI

KOTA BHARU 18 Ogos – Seorang ibu dan dua anaknya maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori ais, pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi di Kampung Pak Badol, dekat sini ketika kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak itu bersama seorang lagi kanak-kanak dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani memberitahu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Maisara Mohd. Ali, 34, dan dua anaknya, Zakiah Hanim Uda, 4, dan Rashidah, 7.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Aisyah Syafikah, 7, yang merupakan anak saudara kepada Maisara.

Guru tadika dibunuh ketika tunggu kakak pulang beli persiapan Aidilfitri – Sinar Harian


Guru tadika dibunuh ketika tunggu kakak pulang beli persiapan Aidilfitri

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
17 Ogos 2012

PETALING JAYA – Seorang guru tadika dibunuh kejam dengan kesan kelar di leher di rumahnya di tingkat enam apartmen Flora Damansara di sini, awal pagi tadi.

Yasuhaidah Yoep, 22, yang berasal dari Pantai Remis, Perak ditemui mati kira-kira jam 3.30 pagi.

Mayatnya ditemui jiran yang membuat pemeriksaan selepas terdengar jeritan mangsa.

Ketika kejadian, kakak mangsa keluar membeli barangan persiapan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis percaya pembunuhan itu dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa.

“Tiada kesan umpil pada pintu dan gril. Rumah juga tidak berselerak dan tiada barangan berharga dilarikan,” katanya.

Arjunaidi berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui dalam rumah mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Polis cari remaja lelaki – Utusan


Polis cari remaja lelaki


KUALA LUMPUR 15 Ogos – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan kes remaja perempuan, Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang koma akibat dibakar di kawasan semak berhampiran Seksyen 1, Wangsa Maju di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, remaja lelaki terbabit ialah Mohd. Amir Mohd. Anuar, (gambar) 18, beralamat di Taman Keramat di sini.

“Siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dapat membantu siasatan kes tersebut yang menyebabkan mangsa terbakar 25 peratus dari muka hingga ke pusat.

“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan telah menyimbah petrol di tubuh mangsa sebelum membakar remaja itu dalam semak,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, mangsa yang belajar di tingkatan empat kini dilaporkan koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas disimbah petrol dan dibakar oleh teman lelakinya kira-kira pukul 3.15 pagi.

Cuba perkosa anak rakan – Metro


Cuba perkosa anak rakan
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan cuba merogol anak perempuan rakannya berusia lapan tahun dua bulan, bulan lalu.

Choong Kong Yew, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Dia didakwa cuba merogol kanak-kanak itu di depan tandas ruang dapur sebuah rumah di Taman Sri Segambut Indah, Batu 5, Jalan Ipoh di sini, jam 5.30 petang, 29 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e)/511 Kanun Keseksaan dan memandangkan ia membabitkan mangsa berusia bawah 12 tahun, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Jayanthi membantah sebarang jaminan, namun dibantah peguam mewakili tertuduh, S Narasimhan.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012

Lihat anak bulan Syawal 18 Ogos – Bernama


Lihat anak bulan Syawal 18 Ogos
14:34:15 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah pada petang Sabtu, 18 Ogos bersamaan 29 Ramadan ini, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hari ini.

Menurut kenyataan itu Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab. “Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” kata kenyataan itu.
Jawatankuasa berkenaan akan melihat anak bulan Syawal di Pontian Kecil; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara; Telok Kemang, Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang).

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Star; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu; Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu.
Tempat lain ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). – BERNAMA

Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m – Metro


Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m

RAIHAM MOHD SANUSI
10 Ogos 2012
Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m
Che Ayup bersama motosikal yang dinaikinya tercampak ke dalam longkang setelah bertembung dengan Perodua Viva dalam kemalangan di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut.

CHUKAI – Seorang remaja lelaki maut tercampak sejauh lapan meter apabila motosikal yang ditungganginya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva di kawasan selekoh di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.15 petang itu, Che Ayup Aziz, 18, mengalami yang kecederaan parah dengan bahu kiri terbelah, patah paha kiri dan kaki kiri luka teruk meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, motosikal jenis Honda EX5 Dream yang ditunggangi si mati bertembung dengan kereta yang dipandu seorang pegawai teknologi maklumat wanita, berusia 27 tahun yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, yang dalam perjalanan ke Chendor untuk berbuka puasa.

Menurutnya, berikutan perlanggaran kuat berkenaan, Che Ayup yang bekerja sebagai juru selenggara dan beralamat di Kampung Paya Berenjut bersama motosikalnya, dipercayai terkena pengadang besi jalan sebelum tercampak ke dalam longkang.

Che Ayup kemudiannya tercampak sekali lagi sejauh lima meter dari motosikal yang dinaikinya sementara kereta tersebut pula tercabut tayar depan sebelah kiri.

“Pelanggaran kuat secara berdepan juga menyebabkan motosikal yang dinaiki si mati remuk teruk di bahagian depan. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat yang dilakukan pada jam 9 malam mendapati si mati meninggal akibat kecederaan dalaman,” katanya.

Mayat Allahyarham Che Ayup kemudian dituntut keluarga kira-kira jam 10 malam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.

Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir – Bernama


Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir
IPOH: Mayat murid Tahun Satu yang lemas setelah terjerlus di dalam pasir di Sungai Kampung Dusun Hulu, Parit semalam ditemui pagi Isnin.

Mayat Mohd Azhar Daneil Mohd Azwar, 7, ditemui di kawasan Pam Pasir Hj Raof, Bota Kiri kira-kira 9 pagi, lima kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata mayat telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang. Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh pasukan polis, bomba, Rela serta penduduk kampung bermula dari tengah hari semalam, katanya.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohd Azhar Daniel dipercayai turun ke sungai untuk mandi.

Dua lagi rakannya selamat kerana mereka tidak turun ke dalam sungai bersama mangsa.-BERNAMA

Remaja maut digilis lori – Metro


Remaja maut digilis lori
IPOH: Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah sejurus dirempuh dan digilis oleh sebuah lori dalam kemalangan berhampiran Jalan Lahat-Pasir Puteh, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, Fong Kar Kui, 16, dari Bandar Lahat Baru, Lahat, yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum dirempuh sebuah lori percayai dari arah Pasir Puteh ke Lahat.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, mangsa yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Lahat ke Pasir Puteh ingin membuat pusingan U ketika lampu isyarat merah sebelum dirempuh dan digilis lori yang datang dari arah Pasir Puteh ke Lahat.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut Wan Sharudddin, motosikal mangsa remuk teruk manakala pemandu lori tidak cedera.

Remaja lemas lepas bersih tebing – Sinar Harian


Remaja lemas lepas bersih tebing
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012

Priasamy (dua, kanan) menceritakan sesuatu kepada pegawai bomba di tempat kejadian.
SUNGAI SELISEK – Mayat remaja yang mati lemas selepas mandi berseorangan di Sungai Bernam berjaya ditemui jam 9.30 malam, semalam.

Operasi menyelamat kali kedua yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya menemui mayat mangsa selepas percubaan kali pertama gagal.

Mangsa, C Partiban, 16, dikatakan mandi kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas membersihkan kawasan tebing sungai itu bersama beberapa rakan dan penduduk kampung bagi persiapan sambutan Taipusam 2 Ogos ini.

Bapa mangsa, S Chandran, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di kilang besi Behrang 2020, Perak dekat sini sebelum menerima panggilan rakannya berhubung kejadian itu.

“Saya bergegas pulang dan ketika itu anggota bomba sedang mencari anak saya yang dikatakan tenggelam di lubuk sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi kejadian, K Priasamy, 53, berkata, dia cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana turut disedut air.

Menurutnya, dia cuba menarik rambut mangsa tetapi sedutan air di lubuk itu sehingga menenggelamkannya memaksa dia melepaskan rambut mangsa lalu menyelamatkan diri.

“Saya turut tenggelam disedut air jadi saya terpaksa selamatkan diri naik ke tebing.

“Sebelum itu, dua rakan Partibhan sudah cuba menyelamatkannya tapi mereka tidak pandai berenang, jadi mereka mengalah,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian dia menasihati mangsa supaya tidak mandi di sungai berkenaan namun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik, Tanjung Malim itu tidak mengendahkan tegurannya.

Jelasnya, melihat mangsa mandi dia membaling batu ke sungai sambil menjerit jangan mandi dan ketika itu mangsa dilihat tenggelam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.