Vitamin 1Malaysia untuk setengah juta murid Oktober ini – Bernama


Vitamin 1Malaysia untuk setengah juta murid Oktober ini

29/09/2011 6:16pm

 

KOTA BHARU 29 Sept. – Kerajaan akan melaksanakan Program Vitamin 1Malaysia bermula Oktober ini dalam usaha meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi murid sekolah rendah golongan miskin di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, program yang akan memanfaatkan 516,520 murid di seluruh negara itu akan dibiayai menerusi peruntukan sebanyak RM19.6 juta yang diluluskan dalam bajet tahun ini.

“Melalui program itu, Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyediakan multi vitamin berbentuk tablet dan berperisa nenas untuk murid terbabit.

“Bagaimanapun, hanya sekolah yang terlibat dengan rancangan makanan tambahan (RMT) terutama di kawasan luar bandar sahaja akan terbabit dengan program ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan untuk tempoh dua tahun sehingga 30 September 2013, dan setiap murid akan diberi multi vitamin tiga kali seminggu di bawah pemantauan guru. – Bernama