Pendidikan teknikal, vokasional dinaik taraf tarik pelajar terbaik – Bernama


Pendidikan teknikal, vokasional dinaik taraf tarik pelajar terbaik

2011/05/05

PUTRAJAYA: Kerajaan berusaha menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) sebagai pilihan utama pelajar-pelajar terbaik di negara ini seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata Jabatan Pembanguan Kemahiran akan memastikan kurikulam semua pusat latihan kemahiran memenuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan selaras dengan bidang ekonomi yang diberi keutamaan.

Sebagai langkah penyeragaman dan pengiktirafan persijilan TEVT, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan diguna pakai sebagai persijilan tunggal kebangsaan bagi TEVT.

“TEVT selepas ini diharapkan bukan lagi menjadi aliran pilihan kedua ataupun terakhir bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam pencapaian akademik sahaja tetapi akan menjadi aliran pilihan utama pelajar-pelajar terbaik di negara ini,” katanya ketika melancarkan Kempen SkillsMalaysia 2011 anjuran Kementerian Sumber Manusia di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kaunselor di sekolah menengah akan diberi tanggungjawab untuk membimbing pelajar supaya lebih ramai pelajar memilih aliran TEVT.

Penjenamaan SkillsMalaysia adalah satu daripada 19 projek permulaan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 11 Januari lalu.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyediakan peluang yang lebih luas kepada lepasan latihan kemahiran untuk meningkatkan tahap kemahiran setaraf dengan kelayakan ijazah, sarjana dan doktor falsafah.
“Melalui peluang peningkatan ini, tenaga mahir pengetahuan dapat dilahirkan selaras dengan perubahan teknologi. Amalan baik dari negara maju seperti Australia dan Jepun dijadikan sebagai rujukan dalam merancang peluang latihan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga melancarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi melahirkan pekerja berpengetahuan, iaitu 70 peratus latihan di tempat kerja sebenar di industri dan 30 peratus di pusat latihan.

Kerajaan mensasarkan seramai 27,500 perantis dilatih dengan melibatkan 967 syarikat bagi tempoh 2011 hingga 2015 di bawah SLDN.

Sejak 2006 hingga 2010, seramai 25,021 perantis dilatih membabitkan 1,028 syarikat dalam pelaksanaan SLDN.

Seiring dengan peningkatan pelajar, Muhyiddin berkata, kerajaan mensasarkan menyediakan 13,200 orang tenaga pengajar yang mahir dan berkualiti menjelang 2020 di bawah Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

“Untuk memudahkan pengambilan ini, laluan kemasukan ke profesion tenaga pengajar vokasional yang fleksibel akan diwujudkan dan syarat yang menyukarkan kemasukan mereka akan dikaji semula,” katanya. – BERNAMA