SHAH ALAM – [Dikemaskini]Pelaksanaan mewajibkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sewajarnya dilakukan dalam tempoh enam tahun akan datang menjelang 2020.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata pelaksanaannya menjelang 2016 tidak wajar diteruskan memandangkan guru belum bersedia ke arah itu.
“NUTP merasakan 2016 itu terlalu hampir, kita hanya ada dua tahun lebih saja untuk memenuhi syarat mesti wajib lulus itu dan ia bukan masanya.
“Kerajaan mesti pastikan segala keperluan dan prasarana ke arah itu dilengkapkan sepenuhnya, kemudian baru boleh wajib lulus subjek itu seawal-awalnya pada 2020,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mempersoalkan pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM menjelang 2016.
Tambah Hashim, pada masa ini kerajaan masih menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti kursus intensif sebagai persediaan awal namun ia tidak membantu dalam tempoh yang singkat.
Katanya, walaupun kerajaan menyediakan insentif menarik kepada guru yang mengajar subjek terbabit, namun jumlahnya masih tidak mencukupi.
“Jumlah guru bahasa Inggeris yang akan dihantar mengikuti kursus intensif pada Oktober depan itu pun masih tidak mencukupi, menunjukkan guru masih tidak bersedia lagi.
“Kita lihat persiapan ke arah itu belum lengkap 100 peratus, bahan bacaan pun tidak mencukupi, kalau hendak wajibkan subjek itu, kita kena pastikan bahan bacaan itu dibekalkan kepada pelajar seawal tingkatan 3 lagi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya kerajaan tidak wajar melaksanakannya secara terburu-buru memandangkan ia akan membebankan bukan sahaja guru bahkan pelajar dan ibu bapa juga akan dibebani dengan kos tambahan seperti tuisyen dan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris.
“Kemudahan tuisyen hanya terdapat di bandar besar, tidak di luar bandar.
“Tidak semua ibu bapa mampu menanggung kos tuisyen, lebih-lebih lagi selepas harga petrol dinaikkan,” katanya lagi.