Ibu tunggal trauma anak dilarikan penjenayah bersama kereta – Utusan


Ibu tunggal trauma anak dilarikan penjenayah bersama kereta

Oleh TOREK SULONG

SEORANG penduduk kampung melihat bangkai kereta Proton Wira milik Noraini Mohamad yang dipercayai dibakar penyamun di tepi sawah di Kampung Tanjung Takang, Bachok hari ini. – UTUSAN

BACHOK 19 Mac – Seorang ibu tunggal di Kampung Pauh Sembilan, dekat sini masih trauma mengenangkan insiden kehilangan anaknya yang berusia lapan tahun selama beberapa jam selepas keretanya dilarikan penyamun ketika pulang dari berniaga di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Ahad lalu.

Noraini Mohamad, 39, berkata, kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 2.30 pagi ketika dia turun dari kereta untuk membuka pintu pagar.

Kejadian itu juga jelas Noraini, menyebabkan dia kehilangan wang tunai RM4,000, barang kemas, telefon bimbit dan beberapa dokumen penting selain kereta miliknya turut dibakar penjenayah terbabit.

“Ketika itu saya terdengar bunyi orang berlari dalam keadaan gelap dan terus masuk ke dalam kereta. Anak keempat yang turut menemani saya berniaga, Nordini Amalina Mohd. Zabidi, 8, berada dalam kereta berkenaan.

“Saya tergamam dengan kejadian yang berlaku dengan terlalu pantas dan meminta bantuan orang ramai untuk membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Bachok selepas itu,” kata ibu kepada enam orang anak itu ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Noraini berkata, anak perempuannya ditemui beberapa jam kemudian di Kemumin, Pengkalan Chepa, dipercayai ditinggalkan di situ oleh penyamun terbabit. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130319/je_12/Ibu-tunggal-trauma-anak-dilarikan-penjenayah-bersama-kereta#ixzz2NzdSprr5
© Utusan Melayu (M) Bhd