Remaja lelaki ‘ghaib’ – Metro


Remaja lelaki ‘ghaib’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU KURAU: Seorang remaja lelaki `ghaib’ sejak 20 hari lalu selepas didakwa hilang ketika keluar bekerja di sebuah kilang berhampiran rumahnya di Kampung Repoh, di sini.

Kehilangan mangsa, Erman Fazli Hadi Kamin, 17, sejak 16 September lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya keluarga berikutan mangsa tidak pernah meninggalkan rumah tanpa memberitahu arah tujuan.
Abang mangsa, Zulfazly Kamin, 32, berkata, dia mula bimbang selepas menyedari adiknya masih tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang pada hari kejadian.

 

Menurutnya, dia kemudian pergi ke kilang tempat adiknya bekerja namun terkejut apabila dimaklumkan Erman tidak datang bertugas.
“Saya hairan apabila dimaklumkan pihak pengurusan kilang bahawa Erman tidak datang bekerja. Saya kemudian berusaha menghubungi telefon bimbitnya namun panggilan saya tidak dijawab.
“Kami sekeluarga mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan Erman mungkin berada di rumah kawannya. Bagaimanapun adik saya masih tidak pulang ke rumah sehingga keesokan hari,” katanya.

 

 

Dia kemudian bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
“Saya tidak yakin Erman sengaja mahu melarikan diri dari rumah berikutan Erman hanya membawa wang saku RM10. Malah tiada motif untuk dia meninggalkan kami tanpa sebab,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kehilangan remaja itu.
Individu mempunyai maklumat berhubung Erman boleh menghubungi IPD Taiping di talian 05-829 1222 atau Zulfazly di talian 012-4521130.

4 beradik sengsara – Bernama


4 beradik sengsara

27 Mei 2012

BALING – Empat beradik dari Kampung Pokok Sena, Mukim Pulai di sini terpaksa berhadapan dengan keperitan hidup sehingga pernah ke sekolah tanpa membawa wang sesen pun sementara di rumah mereka hanya memakan buah sukun rebus bagi menggantikan nasi.

Keadaan ini berlaku akibat bapa mereka yang berusia 39 tahun yang dikatakan sedang menjalani hukuman buang daerah kerana terlibat dengan dadah sejak beberapa bulan lalu  manakala ibu mereka yang berusia 35 tahun masih merengkok dalam lokap polis untuk proses soal-siasat, juga berkaitan tuduhan terbabit dengan najis dadah.

Empat beradik malang ini Nor Shafarina, 12, Mohd Sharizan, 11, Mohd Syawal, 7, dan Nor Sharifah, dua setengah tahun kini hanya bergantung hidup kepada nenek mereka Esah Abu Bakar, 60, dan ibu saudara mereka Yuslina Mohd Yusof, 36, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.

Keluarga itu hanya bergantung kepada pendapatan Yuslina yang berniaga nasi lemak di waktu pagi secara kecil-kecilan.

Yuslina yang mempunyai tiga orang anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun berkata dia terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga empat anak saudaranya itu selepas abang dan kakak iparnya ditahan.

“Saya hanya mampu menjual nasi lemak secara kecil-kecilan dengan pendapatan yang cukup makan saja. Kami tidak ada punca pendapatan lain,” katanya.

Tiga daripada empat beradik tersebut yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Baling dikatakan sering ke sekolah tanpa membawa wang saku. – Bernama

Murid sekolah rendah cedera dirempuh Hilux – Sinar Harian


Murid sekolah rendah cedera dirempuh Hilux

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2012
Murid sekolah rendah cedera dirempuh tak sempat beli mi segera
Adnan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Aiman ketika menziarahi di Kampung Tanjung Jati

KAMPUNG PARIT – Hasrat ­seorang murid sekolah rendah untuk ­membeli mi segera ­tidak ­kesampaian ­apabila dia ­dirempuh ­sebuah kenderaan ­jenis Hilux milik Syarikat Air Negeri Sembilan  (Sains) dari arah Bahau ke Kuala Pilah pada 17 April lalu.

Kejadian berlaku pada 1.30 petang di hadapan Pejabat Pos Kuala Pilah menyebabkan mangsa, Muhamad Aiman Mohd Razali, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah cedera di muka, tangan, kaki dan tiga gigi kekal patah setelah mukanya tersembam di jalan raya.

Ibunya, Norhayati Ahmad, 38, berkata, anaknya itu ke kedai bersama rakannya untuk membeli mi segera dan menyangka kenderaan itu sedang ­berhenti di tepi jalan.

“Namun sangkaannya ­meleset ­apabila kenderaan itu sebenarnya ­bergerak lalu merempuhnya ketika dia melintas jalan.

“Rakannya sempat melintas ­tetapi Muhamad Aiman dirempuh kenderaan itu,” ­katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norhayati berkata, ketika menerima panggilan dari pihak sekolah yang menyatakan anaknya terlibat ­dalam ­kemalangan, yang terlintas di fikirannya hanya hidup atau tidak.

“Petang kejadian, dia ada kelas Kafa di sekolah tersebut dan sebelum kelas bermula, dia akan membeli makanan bersama rakannya

“Saya terkejut kerana atuknya baru sahaja menghantarkan wang saku RM2 kepadanya dan ketika melawatnya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), saya seluk kocek seluar ­sekolahnya dan mendapati masih ada RM2,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Jati.

Menurutnya, dia bersyukur ­kerana keadaan Muhamad Aiman tidak teruk dan hanya mengalami luka selain menerima ­empat jahitan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Adnan Abu Hassan ­kerana melawat Muhamad Aiman, malah menghulurkan bantuan bagi menampung pembelian ubat-ubatan.

“Individu yang melanggar Muhamad Aiman juga ada datang menziarahi dan ­memberi dua persalinan baju ­sekolah,” katanya.

Namun katanya, dia sedikit ­terkilan kerana wakil daripada pihak Sains ­sendiri tidak menziarahi anaknya.

“Saya bukan mahu meminta ­apa-apa tetapi atas dasar budi bicara pihak syarikat tersebut, mereka perlu datang melihat keadaan anak saya,” katanya.

Kantin 1Malaysia sedia menu RM1 – Berita Harian


Kantin 1Malaysia sedia menu RM1
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

2012/02/11

KULAIJAYA: Menu makanan dengan minuman berharga RM1 disediakan Kantin 1Malaysia Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai, mendapat sambutan hangat lebih 900 muridnya yang mempunyai tiga waktu rehat berbeza mengikut tahap persekolahan setiap hari.

Murid Tahun Empat, Nur Naemahtul Farah, 10, menyifatkan Kantin 1Malaysia yang dilaksanakan kelmarin, cukup unik apabila menyediakan pelbagai makanan pada harga yang cukup murah.

“Ia cukup baik untuk murid sekolah luar bandar kerana kebanyakan kami daripada keluarga berpendapatan rendah. Berbekalkan RM1, kami boleh makan dengan kenyang bagi mengalas perut sebelum masuk untuk sambung belajar selepas waktu rehat,” katanya yang membeli sepinggan mi goreng.

P Yogeswaran, 10, berkata, usaha kantin menyediakan menu membabitkan cita rasa pelbagai kaum itu amat baik kepada murid-murid sekolah itu.

“Selain nasi lemak dan mi goreng, ada pula bubur nasi serta roti canai dan rojak. Semuanya pada harga RM1 termasuk minuman, jadi kami boleh menyimpan lebihan wang saku yang ibu bapa bagi, ” katanya yang memilih rojak sebagai menu pilihan.

Rakannya, Joan Kong Man Yin, 10, yang memilih bubur nasi pula, menyifatkan menu yang disediakan pengusaha kantin sekolah itu sebagai luar biasa kerana boleh dinikmati mereka pada harga yang murah.

“Saya yakin, murid sekolah lain pun pasti suka jika Kantin 1Malaysia turut dibuka di tempat mereka, ” katanya.
Sementara itu, pengendali Kantin 1Malaysia SK Kulai, Azim Mohd Dom, berkata jualan menu RM1 itu tidak menjejaskan perolehannya, sebaliknya masa sama membolehkannya meringankan beban kewangan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Saya tidak fikir pengusaha akan mengalami kerugian hanya kerana menjual hidangan menu RM1 ini yang menjadi pilihan murid daripada keluarga berpendapatan rendah, ” katanya.

Azim berkata, bagi pelajar yang berkemampuan, mereka boleh memilih membeli pelbagai makanan lain yang ditawarkan pada harga biasa.

Katanya, bahan yang digunakan bagi menyediakan menu RM1 sama seperti masakan yang dihidangkan kepada guru sekolah berkenaan cuma kuantiti yang disediakan untuk murid dikurangkan sedikit.

“Sebagai contoh, bagi hidangan mi goreng, saya memasaknya sama dengan juadah yang dihidangkan kepada guru dan tidak pernah mengurangkan ramuan yang digunakan,” katanya.

Katanya, selain menu harian nasi lemak, mi dan nasi goreng, snek bijirin dengan susu dan sekeping kuih serta minuman, pakej menu RM1 itu disediakan berbeza setiap hari.

Beliau berkata, pada Rabu setiap dua minggu sekali, pihaknya akan menyediakan hidangan pelbagai kaum seperti roti canai, bubur ayam dan rojak.

Bergilir pakai kasut sekolah – Sinar Harian


Bergilir pakai kasut sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Februari 2012
baju sekolah

KAMPUNG PAK SABAH – Gara-gara kemiskinan hidup, tiga beradik yang juga murid sekolah rendah dekat sini terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana tidak mempunyai wang saku ke sekolah.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga terpaksa memakai dua pasang kasut sekolah secara bergilir-gilir kerana bapanya yang bekerja sebagai tukang sapu masjid itu difahamkan tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah kerana terpaksa menyara lima lagi adik beradik lain.

Kemelut kehidupan melanda tiga beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dungun ini terbongkar setelah mereka bertiga dikatakan berhadapan masalah kehadiran yang tidak menentu.

Berikutan itu, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) melakukan siasatan dengan berkunjung ke rumah murid terbabit dan masalah ketiadaan uniform sekolah akibat kemiskinan keluarga dikatakan menjadi puncanya.

Menurut salah seorang murid malang itu, Hasliza Syahirah, 12, bapanya, Abdul Manaf Mat Hasan, 37, hanya mampu membeli dua pasang kasut sahaja manakala adiknya terpaksa memakai selipar jika mereka bertiga ingin ke sekolah.

Katanya, dalam sebulan, mereka terpaksa me­ngikat perut beberapa kali kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan.

Menurut Hasliza, jika bapanya mempunyai wang lebih, dia hanya dibekalkan RM1 setiap orang sebagai wang saku sekolah, namun jika sebaliknya, dia terpaksa ke sekolah tanpa wang saku, malah kadangkala terpaksa menahan lapar sehingga pulang ke sekolah.

“Kalau tak ada duit, ayah suruh kita puasalah, kalau ada duit, baru kita dapat beli makanan, itu pun cuma seringgit sahaja, kadang-kadang kena kongsi lagi.

“Kami dah biasa berpuasa, pakai kasut sekolah pun terpaksa bergilir-gilir kerana ayah tak mampu beli kasut untuk kami bertiga,” katanya.

Menurut adik lelaki Hasliza, Mohd Jefri, dalam keadaan kelaparan kerana tidak mempunyai wang saku sekolah, dia juga terpaksa berjalan kaki berulang-alik ke sekolah hampir satu kilometer setiap hari.

Namun, bagi tiga saudara ini, ia bukan halangan untuknya menimba ilmu untuk mengubah nasib keluarganya yang sering dihimpit kemiskinan itu.

“Dalam keadaan perut lapar ketika pulang dari sekolah, saya juga terpaksa berjalan jauh sebelum sampai ke rumah.

“Nak naik basikal, ayah tak mampu nak beli sebab adik beradik kami ramai, usah kata nak beli basikal, kadang-kadang di rumah pun terputus bekalan makanan. Adakalanya kami terpaksa makan sekali sahaja dalam sehari,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai tentera apabila besar nanti.

Bagaimanapun masalah ketiadaan pakaian sekolah tiga beradik ini berakhir setelah Timbalan Pengerusi PIBG SK Kuala Dungun, Rusdi Muda membawa pelajar berkenaan ke sebuah kedai pakaian di bandar ini untuk membeli pakaian baru bagi membolehkan mereka dapat ke sekolah.

Mengimbas kembali situasi menyayat hati itu, Nur Rohaya berkata, pada saat murid lain menikmati pakaian sekolah baru setiap kali musim persekolahan awal tahun bermula, dia bersama empat lagi adik beradiknya yang lain terpaksa memakai pakaian sudah lusuh, biarpun ia dikatakan sudah terlalu ketat dan tidak sesuai untuk dipakai lagi.

“Terima kasihlah sebab cikgu beli pakaian baru untuk kami bertiga, kami seronok sangat, minggu depan dapat pergi sekolah pakai baju baru, terima kasih atas sumbangan ini,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini, sumbangan boleh diberi melalui akaun Bank Simpanan Nasional Abdul Manaf Mat Hassan, 11105-29-00016588-0.