Warga emas mengaku tak bersalah rogol kanak-kanak – Sinar Harian


Warga emas mengaku tak bersalah rogol kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mei 2012
Warga emas mengaku tak bersalah rogol kanak-kanak
Mustafa dibawa keluar dari kamar mahkamah.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan, 12 Mei lalu.

Mustafa Mohd Amin, 70, yang bekerja sebagai nelayan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Tertuduh didakwa merogol seseorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di sebuah rumah rakit di Gelang Patah, di sini, sekitar jam 5 petang, pada hari berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara.

Mustafa yang sebelum ini mengaku salah atas perbuatan dilakukan ketika dituduh dalam satu prosiding di sebuah hospital kerana sedang mendapatkan rawatan kesihatan, 18 Mei lalu, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Zamri kemudiannya memerintahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 13, 14, 18 dan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengekalkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh.