Pekerja am disyaki liwat tujuh budak – Metro


Pekerja am disyaki liwat tujuh budak

 1  3 Google +0  1  0

Kuala Terengganu: Seorang pekerja am di sebuah sekolah rendah, di sini, yang berusia 56 tahun layak digelar ‘peliwat bersiri’ kerana dipercayai meliwat tujuh budak lelaki berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan sejak Januari lalu, selepas membawa mereka ke rumah sewanya di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Bagaimanapun, lelaki warga emas itu yang pernah dipenjara 10 tahun dan sebatan kerana jenayah sama sebelum ini, terbongkar dan ditahan, kelmarin, selepas seorang mangsanya mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.
Menurut sumber, ibu bapa mangsa bertambah terkejut dan berang apabila pelajar terbabit turut memaklumkan beberapa rakannya juga diliwat.

 

“Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung segera ke rumah suspek bagi mendapatkan kesahihan cerita anaknya jam 6 petang semalam (kelmarin).
“Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal kemarahan menyerang dan membelasah suspek di rumahnya.
“Pada masa sama, polis yang dimaklumkan kejadian berkenaan ke rumah suspek bagi mengawal keadaan dan menahan lelaki itu kira-kira sejam kemudian,” katanya.

 

Sumber berkata, suspek yang masih menjalani parol dipercayai menjadikan pelajar yang sering ponteng sekolah sebagai mangsa dengan mengumpan mereka ke rumahnya untuk makan sebelum memuaskan nafsu serakahnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20

Jiranku wira – Metro


Jiranku wira

 210  8 Google +0  1  0

Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Seorang suri rumah diibaratkan sebagai wira apabila menyelamatkan dua beradik orang kelainan upaya (OKU) dan seorang wanita warga emas yang juga jirannya dalam kebakaran memusnahkan tiga rumah di Taman Melaka Baru di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, Yayah Kursiyah, 36, terpaksa mengheret V Parameswari, 23, yang tidak boleh berjalan dan mengarahkan V Saruvin, 8, keluar dari rumah mereka yang terbakar.

Dia kemudian mengangkat Chan Wah Eng, 85, yang terlantar sakit di rumah bersebelahan.

Tindakan pantasnya menjerit meminta bantuan turut menyelamatkan nyawa seorang lagi warga emas yang juga jirannya, Nyapon Osman, 64, bersama tiga cucu berusia enam hingga 12 tahun di rumah bersebelahan.

FotoKEADAAN tiga deret rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Melaka Baru, Melaka.

Menurut Yayah, ketika kejadian dia memberi minuman kepada Chan yang terlantar sakit kerana kecederaan pinggang sebelum dikejutkan dengan jeritan Parameswari di rumah bersebelahan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Kanak-kanak, warga emas mohon pasport meningkat – Utusan


Kanak-kanak, warga emas mohon pasport meningkat

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Langkah kerajaan memberi diskaun 50 peratus kepada warga emas dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun untuk membuat pasport mendapat sambutan menggalakkan golongan itu pada hari pertama dilaksanakan di seluruh negara hari ini.

Pemberian diskaun yang melibatkan bayaran pemprosesan pembaharuan dan pendaftaran baharu pasport itu adalah seperti diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2013 baru-baru ini.

Menurut Timbalan Penolong Pengarah (Bahagian Pasport) Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Faridah Johan, sebanyak 300 permohonan baharu daripada golongan itu telah diterima pihaknya di ibu negara sehingga petang ini.

Katanya, kaunter permohonan pasport dibuka bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Setakat ini, pelanggan memberi maklum balas yang positif dan berpuas hati kerana boleh membuat permohonan dengan mudah selepas waktu pejabat.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130103/dn_14/Kanak-kanak-warga-emas-mohon-pasport-meningkat#ixzz2GsQRHUa4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja, warga emas terbabit judi internet – Sinar Harian


Remaja, warga emas terbabit judi internet

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 November 2012
Remaja, warga emas terbabit judi internet
Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff menunjukkan longgokkan set komputer yang dirampas hasil beberapa serbuan cegah judi internet yang dijalankan pihaknya

KUANTAN- Seorang remaja 16 tahun dan warga emas 62 tahun antara 86 individu yang ditahan dalam 17 serbuan Ops Dadu oleh Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Kontinjen Pahang dan Bukit Aman di seluruh negeri ini sejak 9 hingga 11 November lalu.

Kesemua Individu berusia 16 hingga 62 tahun termasuk tiga wanita yang ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian internet haram sama ada sebagai pemain atau penjaga premis.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, daripada jumlah ser-buan sepanjang tiga hari itu, tujuh kes di Kuantan, enam di Bera dan masing-masing  dua serbuan di Temerloh dan Rompin.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis berjaya merampas 351 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM300 ribu kerana disyaki digunakan untuk tujuan perjudian internet dan tunai dipercayai hasil pertaru-han berjumlah RM6,895.

“Kita dapati ada beberapa premis yang diserbu mengulangi kesalahan sama walaupun pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut  Seksyen 4 (1)(b) Enakmen Hiburan 1993 dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi terbuka 1953,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, jika  sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih lima tahun penjara.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada sebahagian daripada premis yang diserbu  bertindak berani apabila menjalankan kegiatan tersebut  tanpa sebarang lesen.

“Anggota kita juga ada kaedah tersendiri untuk mengekang kegiatan ini walaupun selicik mana mereka berselindung,” katanya.

Menurutnya, pihak polis memandang serius kegiatan ini kerana kewujudannya menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes jenayah termasuk pecah rumah dan sebagainya di daerah ini.

“Kita amat berharap supaya ibu bapa memantau anak masing-masing terutama golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan itu atau berada di dalam premis siber yang menyediakan permainan berunsurkan perjudian.

“Sama ada mereka bermain atau tidak, pelanggan yang berada dalam premis terlibat juga boleh dikenakan tindakan atau ditahan untuk siasatan,” katanya.

Selagi ajal belum tiba – Metro


Selagi ajal belum tiba

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: Seorang warga emas dan cucunya berusia 11 tahun parah selepas Perodua Kancil yang mereka naiki dirempuh sebelum diseret lebih 20 meter oleh lori tangki yang dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, semalam.

Kejadian di Kilometer 102.8, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Jengka Batu 13, di sini, menyebabkan warga emas terbabit, Arsad Sidek, 73, patah kedua-dua kaki manakala cucunya, Danial Hakim Zainudin, 11, cedera di muka serta beberapa bahagian badan selepas dirempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Kedua-duanya dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh dan dilaporkan stabil.

Pemandu lori berusia 20-an itu tidak cedera dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran selepas polis menemui peralatan menghisap syabu di dalam kenderaan berat berkenaan manakala ujian air kencing ke atas pemandu itu juga mendapati dia positif dadah.

 
Difahamkan, ketika kejadian jam 7.05 pagi itu, Arsad dalam perjalanan menghantar Danial Hakim ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jengka Batu 13 kerana cucunya dijadualkan menduduki peperiksaan akhir tahun yang bermula semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11

Bonus RM500, kadar pencen naik bukti kerajaan prihatin terhadap pesara – Bernama


Bonus RM500, kadar pencen naik bukti kerajaan prihatin terhadap pesara

2012/09/28 – 20:21:44 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Pemberian bonus sebanyak RM500 dan kenaikan kadar pencen minimum untuk pesara kerajaan, yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun, daripada RM720 kepada RM820 dalam Belanjawan 2013, membuktikan kerajaan tidak melupakan jasa mereka.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata buktinya, saban tahun kerajaan prihatin dengan sentiasa memberi habuan kepada pesara, sama seperti penjawat awam lain.

“Kesemua pesara amat menghargai pemberian kerajaan dan akan berusaha menggunakan wang itu secara berhemah,” katanya ketika mengulas Belanjawan 2013 bertema ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat petang tadi.

Wan Mahmood berkata, pemberian itu juga begitu berharga untuk pesara kerajaan yang hidup pada paras kemiskinan.

“Janganlah berbelanja sewenang-wenangnya,” nasihat beliau kepada 50,371 pesara kerajaan.

Mengulas pengurangan bayaran pemprosesan pasport daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh lima tahun kepada warga emas, atau dikurangkan kepada RM80 untuk tempoh dua tahun, beliau berkata, langkah itu akan menggalakkan pesara kerajaan melancong ke luar negara.

“Lawatan sambil belajar ke luar negara boleh memperkayakan pengalaman untuk faedah hidup rakyat dan negara,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman pula berterima kasih kepada kerajaan kerana menghargai jasa bekas penjawat awam dengan menaikkan kadar pencen minimum selain pemberian bonus kepada golongan itu.

“Bagaimanapun, kita berharap akan terus ada penambahbaikan dalam skim pencen untuk pesara dari semasa ke semasa,” katanya.

Di ALOR SETAR, Presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Kedah, Datuk Harun Hashim berkata, pelarasan pencen itu menunjukkan kerajaan menyanjung budi golongan pesara.

“Dengan kenaikan kadar pencen ini, ia dapat membantu meringankan beban pesara, terutama yang tidak ada punca pendapatan lain selain pencen.

“Kami berharap kerajaan akan terus prihatin dan mengambil kira jasa yang disumbangkan oleh golongan pesara ketika kami berkhidmat dengan kerajaan dahulu,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Harun berkata, pihaknya sangat menghargai pemberian bonus sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. – BERNAMA

‘Si Tanggang Moden’ diarah mohon maaf secara terbuka – Sinar Harian


‘Si Tanggang Moden’ diarah mohon maaf secara terbuka

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012

KUALA TERENGGANU- Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, mengarahkan seorang anak yang disifatkan sebagai ‘Si Tanggang Moden’ memohon maaf secara terbuka mengikut hukum syarak terhadap kedua-dua ibu bapa, dua anaknya yang diabaikan lebih lapan tahun serta ahli keluarga lain tidak lebih dari tempoh 30 hari berkuat kuasa semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Rosdi Harun turut mengarahkan Nasrun Mustafa, 38, yang kini bekerja di Bintulu, Sarawak, sebagai pengurus operasi sebuah syarikat cari gali minyak berpangkalan di Kuala Lumpur membayar tuntutan sebanyak RM400 sebulan terhadap kedua ibu bapanya serta RM400 sebulan setiap seorang terhadap dua anaknya, Mohd Amirul Nasrun, 17, dan Nur Thahirah Nasrun, 15.

Dia yang berpendapatan RM18,000 sebulan itu turut diarahkan membayar sebanyak RM1,000 setiap seorang anak dalam tempoh dua minggu setiap kali menyambut Aidilfitri sebagai persiapan.

Selain itu, responden turut diarahkan membayar sebanyak RM18,866.50 atau tunggakan perbelanjaan dan sebagai teladan kerana tidak pulang ke rumah menemui keluarga termasuk kedua-dua anaknya dalam masa lebih lapan tahun sebelum ini.

Semua tuntutan tersebut difailkan  pasangan warga emas ini, Mustafa Ismail, 65, dan Che Meriam Abdullah, 58, dari Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini, terhadap anak lelakinya, setelah mengabaikan tanggungjawab menjaga dua anaknya lebih lapan tahun selepas berlaku penceraian dengan isteri pertamanya pada 30 Disember 1998.

Malah, kini, anak lelakinya itu telah berkahwin lain dan begitu juga dengan bekas isterinya.

Dalam prosidingnya, Rosdi turut menyelar perbuatan Nasrun dengan ungkapan “Si Tanggang Moden’ yang mana tidak pernah hadir setiap perbicaraan mahkamah bermula pada 2 Mei tahun lalu dan sentiasa mengemukakan pelbagai alasan melalui peguamnya.

Warga emas, remaja maut kemalangan – Utusan


Warga emas, remaja maut kemalangan

KUANTAN 24 Ogos – Seorang wanita warga emas dan seorang pelajar tingkatan empat maut dalam dua kemalangan jalan raya di Pahang, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kejadian pertama di Kilometer (KM) 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, dekat Bera, Khadijah Tan, 60, mati selepas motosikal yang dibonceng melanggar seekor lembu.

“Kejadian berlaku pukul 3.20 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak ke atas jalan.

Katanya, mangsa cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan, sementara penunggang pula hanya cedera ringan.

Menurut Mohamed Fauzi, kemalangan kedua berlaku pukul 4 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Motosikal yang ditunggang Ahmad Raziman Ab. Razak, 16, dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak ke atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah. – BERNAMA

Polis cari anak perempuan mangsa – Metro


Polis cari anak perempuan mangsa
KLANG: Polis masih mengesan dua individu iaitu anak perempuan mangsa dan seorang rakannya yang dipercayai berada di rumah ketika seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemui mati di Kapar, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis sudah mengenal pasti wanita berusia 28 tahun dan 20-an itu serta usaha mengesan mereka giat dijalankan. Katanya, pelajar perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai mencekik ibunya ketika cuba merampas gelang emas yang dipakai mangsa kini dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan.
Semalam Harian Metro melaporkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bersama dua rakan sebayanya menjerut dan mencekik ibu angkatnya hingga mati ketika cuba merampas gelang emas dipakai wanita itu sebelum membiarkan mayat terbabit terlantar selama tiga hari di rumah mereka di Kapar, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, remaja terbabit bersama dua rakannya datang ke rumah dihuni ibu angkatnya untuk meminta wang, tetapi wanita terbabit enggan memberikannya.
Berikutan itu, remaja terbabit dan rakannya bergelut dengan mangsa hingga menjerut dan mencekik mangsa hingga pengsan sebelum meninggalkan rumah tanpa menyedari perbuatan mereka itu menyebabkan mangsa sesak nafas dan meninggal dunia.
Tiga hari selepas itu, remaja terbabit pulang semula ke rumah ibu angkatnya itu sebelum terkejut apabila menemui mayat ibunya itu dalam keadaan sudah mereput dan berbau busuk.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21

Atuk kecewa cinta hampa – Metro


Atuk kecewa cinta hampa
Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my

BUKTI…Mohd Adnan menunjukkan laporan polis dibuatnya pada 14 Jun lalu.
REMBAU: “Selepas 29 tahun menduda, saya terbuka hati untuk bernikah dengan gadis berusia 16 tahun, malah gembira apabila dia bersetuju mengahwini saya menerusi kiriman SMS menyebabkan saya sanggup menunggunya habis belajar untuk meminang. Namun kini, impian itu berkecai kerana dia sudah ada kekasih lain dan mahu memutuskan hubungan.”

Begitu luahan seorang lelaki warga emas, Mohd Adnan Hamid, 60, yang mendakwa bukan saja perasaannya dipermainkan dan ribuan ringgit wang dibelanjakannya lesap, malah lebih keji kekasihnya itu tergamak menghina dan memaki hamunnya apabila dia meminta penjelasan mengenai teman lelaki baru remaja itu.

Menurutnya, dia berkenalan dengan gadis yang mesra dipanggil Ida itu, Februari lalu di sebuah kedai makan dan pada awalnya hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan seorang datuk dan cucu.

“Dia bekerja sebagai pembantu kedai makan pada hari cuti dan sebaik mengenalinya timbul rasa kasihan dan simpati sehingga saya menawarkan diri menjadi wakil penjaga pelajar selepas dia bertukar sekolah.
“Sejak itu, kami sering berhubung melalui telefon bimbit dan bertemu. Saya minta Ida supaya berhenti kerja dan fokus terhadap pelajaran serta berjanji membantunya jika kesempitan wang,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.