Kereta bapa rempuh pokok, murid tahun satu maut – Bernama


Kereta bapa rempuh pokok, murid tahun satu maut

4 Jun 2012
KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki terbunuh manakala bapa dan adik lelakinya berusia setahun cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok palma di Jalan Teluk Sisek, Teluk Cempedak di sini, semalam.

Murid tahun satu, Muhammad Ridzwan Idris, 7, dari Taman Mutiara, Jalan Alor Akar di sini meninggal dunia sejam selepas kejadian akibat cedera parah di dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Teluk Cempedak.

Katanya setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu bapa mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak itu dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh dua batang pokok palma di situ,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata tiga beranak terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika menerima rawatan manakala bapa dan adiknya hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mohamed Fauzi berkata pada hari yang sama, seorang warga emas, Abu Bakar Mahmud, 74, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah bas ekspres ketika keluar dari sebuah simpang di Kilometer 121 Jalan Kuantan-Johor Baharu, dekat Rompin. – Bernama

Tangan patah dipukul abang – Metro


Tangan patah dipukul abang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU SELANGOR: Berang anak saudara lelakinya berusia lapan tahun dipukul bapa kanak-kanak terbabit, seorang lelaki memukul bapa kanak-kanak itu sehingga patah tangan kanan.

Difahamkan, lelaki warga emas berusia 52 tahun itu memukul adik lelakinya berusia 39 tahun yang juga bapa kanak-kanak berkenaan dari belakang.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, mangsa dipercayai merotan anak lelakinya itu dengan tujuan memberi pengajaran dan mahu mendenda anaknya itu yang melakukan kesalahan ketika di rumah keluarganya di Rasa, dekat sini.

 

Katanya, mangsa patah tangan kanan dan bengkak di badan dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pencabul anak patah tangan – Metro


Pencabul anak patah tangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Padah cuba mencabul seorang remaja perempuan, seorang lelaki warga Bangladesh patah tangan kanan dan cedera di kepala selepas dibelasah bapa remaja terbabit dengan sebatang kayu di sebuah restoran di Kampung Baru, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikatakan makan bersama keluarganya dan ketika kejadian, dia ingin mencuci tangan.
Menurut sumber, remaja berusia 14 tahun itu yang ingin mencuci tangan didatangi seorang lelaki warga Bangladesh yang memeluknya dari belakang sambil meminta wang.

 

“Melihat anak perempuannya meronta-ronta, bapa mangsa yang juga seorang warga emas mencapai sebatang kayu di pekarangan restoran berkenaan dan meluru ke arah suspek sebelum membelasahnya dengan kayu itu,” katanya.

Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu – Berita Harian


Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

2012/01/10

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang pernah menyaman anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya hampir dua tahun lalu, semalam mengemukakan empat tuntutan baru terhadap anak sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berikutan kegagalan defendan membayar nafkah dipersetujui sebelum ini.

Mustafa Ismail, 66, membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 39, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua a anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik berkenaan lapan tahun lalu sebanyak RM18,866 iaitu RM9,309 bagi anak lelaki defendan kini berusia 17 tahun dan RM9,556 bagi anak perempuan, kini 15 tahun.

Dalam tuntutan yang difailkan melalui peguam, Fazru Anuar Yusoff, Mustafa yang juga pesara sebuah syarikat cari gali turut memfailkan tuntutan duit raya sebanyak RM1,000 setahun.

Selain itu, plaintif mengemukakan tuntutan supaya defendan kembali taat dengan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa dan dua anaknya selain menuntut defendan memohon ampun kepadanya dan isteri, Che Meriam Abdullah, 58.

Warga emas itu juga memfailkan permohonan menuntut defendan yang berkhidmat sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan membayar RM400 sebulan kepadanya dan isteri sebagai saraan hidup.

Hakim Rushdi Harun menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan dua anak defendan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar pada Julai 2010 melaporkan bapa memfailkan tuntutan terhadap anak lelakinya untuk memberi nafkah kepada dua cucunya yang diabaikan defendan sejak ditinggalkan bersama plaintif tujuh tahun sebelum itu.
Dalam tuntutan itu, plaintif berkata, defendan meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama.

Lima sekeluarga termasuk warga emas dibunuh kejam – Bernama


Lima sekeluarga termasuk warga emas dibunuh kejam

03/01/2012 1:19pm

 

SIBU 3 Jan. — Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak ditemui dibunuh dengan kejam di rumah mereka di RTM Road Lane 13B1 di sini kira-kira 7 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga emas berusia 80 tahun, anak lelakinya yang merupakan ahli perniagaan berusia 36 tahun serta tiga anaknya iaitu seorang perempuan berumur 10 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia lapan dan tujuh tahun.

“Anak yang bongsu meninggal dunia dunia di Hospital Sibu sejurus selepas tiba untuk rawatan akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Shafie berkata, polis percaya pelaku lebih daripada seorang dan mereka menggunakan objek tumpul dan objek tajam untuk membunuh mangsa.

Satu sidang media akan diadakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Hong Soon petang ini berhubung kes itu, katanya. —BERNAMA