Jabatan Pelajaran johan pertandingan pantun antara jabatan kerajaan Kedah – Bernama


Jabatan Pelajaran johan pertandingan pantun antara jabatan kerajaan Kedah

29 November 2012

ALOR SETAR – Jabatan Pelajaran Kedah menjuarai pertandingan pantun antara jabatan-jabatan kerajaan di negeri ini setelah mengalahkan pasukan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) pada pusingan akhir malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, Mohd Rizal Ismail berkata johan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala pusingan, manakala naib johan menerima RM700.

Beliau berkata pertandingan itu adalah bagi melestarikan seni budaya bangsa di samping memupuk hubungan yang baik di antara petugas dan pegawai-pegawai kerajaan di negeri ini.

“Acara seumpama ini juga dapat menyemai rasa cinta dan sayang generasi muda terhadap seni dan sastera yang merupakan warisan bangsa yang sangat tinggi nilainya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Rizal berkata program anjuran bersama JKKN Kedah dengan kerjasama Jabatan Penyiaran itu akan dijadikan acara tahunan memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Peserta daripada pasukan Keda, Nurratul Aini Elias dinobatkan sebagai pemantun terbaik dalam pertandingan yang berlangsung di Jabatan Penerangan dan Penyiaran Kedah di sini. – Bernama