Kerjasama Pendidikan Guru Dibincang Dalam Pertemuan Muhyiddin-Clegg – mStar


Kerjasama Pendidikan Guru Dibincang Dalam Pertemuan Muhyiddin-Clegg

 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya Nick Clegg ketika mengadakan perbincangan dua hala di Dover House di London sempena hari ketiga lawatan kerja beliau ke United Kingdom. Perbincangan antara Muhyiddin dan Clegg berkisar mengenai hubungan perdagangan dua hala di samping turut menyentuh isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama. -Foto BERNAMA

 

LONDON: Isu kerjasama pendidikan, hubungan perdagangan dua hala dan krisis di Syria dan Mesir merupakan antara intipati perbincangan antara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari United Kingdom (UK) Nick Clegg di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata perbincangan mengenai pendidikan berkisar kepada usaha mewujudkan kerjasama jangka panjang bagi meningkatkan lagi keupayaan guru-guru Bahasa Inggeris di Malaysia.

Beliau mengambil contoh langkah membawa guru-guru dari Amerika Syarikat untuk membantu melatih guru-guru Bahasa Inggeris dalam negara yang dilaksanakan sebelum ini, yang mungkin boleh dipanjangkan dengan membawa masuk guru-guru dari UK pula.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan perbincangan dua hala dengan Clegg di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata turut dibincangkan dalam aspek pendidikan ialah mengenai keperluan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di UK.

“UK menjadi tempat ramai pelajar kita belajar, 14,000 sekarang ini kalau tak silap saya…jadi kita harap yuran pengajian di sini tidak naik, kita juga harap lebih ramai pelajar sini dapat belajar di Malaysia,” katanya.

Perjumpaan dengan Clegg merupakan antara aturcara di hari ketiga lawatan kerja lima hari Muhyiddin ke UK, yang bermula Ahad lepas.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau turut memaklumkan Clegg bahawa satu pasukan petugas sudah mengadakan mesyuarat pertama dalam usaha melihat bagaimana perdagangan dua hala dapat ditingkatkan kepada lapan bilion paun sterling, sebagaimana yang diputuskan kedua-dua negara sebelum ini.

“Memang dia (Clegg) ingin melihat kita meneliti satu persatu bidang-bidang yang kecil mana yang boleh kita majukan daripada segi perdagangan, sama ada barangan mahupun perkhidmatan, dan juga pelaburan di UK dan Malaysia,” katanya. –BERNAMA

Sukan: Sekolah kena kreatif – Utusan


Sukan: Sekolah kena kreatif

Oleh Aznan Bakar

Muhyiddin Yassin diberi taklimat oleh Presiden Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA), Dr. Thomas P. Rosandich (dua dari kanan) dan Dr T.J Rosandich (kanan) semasa melawat USSA di Alabama, Amerika Syarikat, semalam.

MOBILE (Alabama) 19 Jan. – Pengurusan sekolah perlu kreatif merangka program sukan untuk pelajar bagi membantu merealiasikan dasar 1Murid 1Sukan yang dilancarkan pada 2010.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, di pihak kerajaan, usaha telah dilakukan untuk mempertingkatkan kemudahan sama ada yang berbentuk dalaman mahu pun luaran selain membaiki prasarana sedia ada.

Bagi sekolah yang tidak mempunyai kemudahan atau kemudahan tidak lengkap, katanya, pihak sekolah perlu bijak merangka program-program yang sesuai supaya setiap pelajar terlibat dalam sukan.

“Mungkin boleh adakan sukan seperti merentas desa atau boleh gunakan dewan-dewan majlis perbandaran, sekolah-sekolah berhampiran, universiti dan sebagainya untuk aktiviti sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia ketika ditemui dalam sesi lawatan kerjanya ke Alabama di sini semalam.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut melawat sekolah di bawah Program Reben Biru Amerika Syarikat iaitu Sekolah Tinggi Daphne dan turut menerima ijazah doktor kehormat antarabangsa daripada Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA).

Menurut Muhyiddin, apa yang penting, budaya sukan mesti dipupuk dari peringkat sekolah.

“Cara macam mana untuk membudayakannya terpulang kepada pihak sekolah. Sekolah yang sudah ada kemudahan memang mudah, tetapi bagi yang tidak ada, pengurusan sekolah kena bijak.

“Terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan sekolah untuk meluaskan pembangunan sukan di sekolah-sekolah,” katanya.

Daripada segi kepakaran pula, Muhyiddin berkata, pihak kementerian berusaha untuk memastikan kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara memiliki sekurang-kurang seorang guru terlatih dalam Pendidikan Jasmani.

Untuk itu, katanya, Kementerian Pelajaran telah bekerjasama dengan USSA untuk melatih guru-guru Pendidikan Jasmani dengan peringkat awal membabit 1,018 guru dari seluruh negara.

Katanya, langkah itu penting supaya sekolah mempunyai guru Pendidikan Jasmani yang terlatih kerana pembangunan sukan negara bermula dari sekolah.

“Jika sekolah tidak ada sukan atau sukan mati di sekolah, maka usaha kita melahirkan juara-juara sukan adalah sukar. Usaha memperkemas dan memantapkan Pendidikan Jasmani di semua sekolah itu cukup penting kerana itu merupakan asas kepada pembangunan sukan.

“Ini tidak boleh dilihat secara terasing. Pembangunan sukan negara mesti bermula dengan pembangunan sukan di sekolah-sekolah.

“Cabaran besar kita adalah menyediakan guru-guru terlatih untuk membimbing pelajar. Pada masa ini kita sudah ada guru sukan, tetapi kemahiran mereka terbatas. Guru kena tengok keupayaan murid,” ujarnya.

Beliau berkata, USSA dipilih menjadi rakan dalam program tersebut kerana kurikulum mereka bertaraf antarabangsa dan sijil yang dikeluarkan pula diiktiraf di seluruh dunia.

Sementara itu, Naib Presiden USSA, Dr. T.J. Rosandich berkata, akademi itu yang terlibat dalam program pembangunan sukan di 65 buah negara di seluruh dunia telah terbabit dengan usaha memajukan sukan di Malaysia sejak di zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Sejak itu, katanya, akademi itu banyak terlibat dengan kerja-kerja pembangunan sukan di Malaysia termasuk menyediakan pelan induk pembangunan sukan di Sabah pada tahun 1983.

Malah katanya, USSA turut terlibat dalam program pembangunan untuk Majlis Sukan Kuala Lumpur ketika badan itu di bawah pimpinan Tan Sri Elyas Omar.

Kata Rosandich, USSA juga merupakan satu-satunya universiti di dunia yang menawarkan program sukan sepenuhnya melalui 21 fakulti yang ada di akademi itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130120/dn_06/Sukan-Sekolah-kena-kreatif#ixzz2IWi8nBJ6
© Utusan Melayu (M) Bhd